Bab 1 ( Part 1)

508 13 0
                                    

MAYA mengeluh lemah. Sejak dari tadi dia sukar melelapkan matanya. Dia bangun dari berbaring dan bersandar di kepala katil. Semakin dekat tarikh tersebut, perasaannya semakin gelisah. Perlukah dia berterus terang kepada Dani terlebih dahulu?

Sepanjang dia mengenali Dani, ada rahsia besar yang pernah dia sembunyikan daripada lelaki itu. Terutamanya tentang perasaannya terhadap Dani. Namun Maya takut jika lelaki itu akan ketawakan dia. Lagipun sudah bertahun-tahun perkara itu berlalu. Tak mungkin Dani akan percayakan dia.

Telefon bimbit di sebelahnya diambil. Dia mencari nombor telefon Dani, lelaki yang bakal menjadi suaminya dalam masa sebulan lagi. Dadanya semakin berdebar menunggu lelaki dingin itu menjawab panggilannya.

“Hello.” Serak suara Dani ketika itu.

Tegak terus tubuh Maya. Bibirnya dikemam sedikit.

“Hello… siapa ni?”

“Hello, ni Maya…”

“Ehmmm… ada apa?”

Jatuh kedua-dua bahu Maya. Reaksi lelaki itu sangat mengecewakan Maya. Nafas ditarik dalam-dalam. Maya membuat keputusan untuk berterus terang. Dia sudah bersedia jika Dani mahu membatalkan perkahwinan mereka setelah rahsia hitamnya terbongkar.

“Maya ada perkara nak beritahu Dani.” Sejak beberapa minggu yang lepas, mereka sudah menukar cara panggilan masing-masing. Ini semua atas kemahuan Maya juga. Dani sekadar menurut saja.

“Tak boleh cakap esok ke? Dani mengantuk ni…”

“Please…”

Terdengar keluhan panjang di hujung talian. Maya dapat mengagak lelaki itu kurang senang dengan permintaannya.

“Cakaplah.”

“Maya nak berterus terang. Kalau Dani nak batalkan perkahwinan kita sekali pun, Maya akan terima.”

Terdiam Dani di hujung talian. Maya yakin ketika ini Dani sedang memasang telinga.

Terpejam mata Maya. Dadanya berdegup kencang. Terasa lega saat rahsia itu akhirnya sampai ke pengetahuan Dani.

Namun Dani masih berdiam diri. Makin tidak senang duduk Maya dibuatnya. Takkan lelaki itu terlalu terkejut sehingga gagal bercakap.

“Dani dengar tak. Maya dah.”

“Dani tahu…”

Tergamam Maya. Mulutnya ternganga sedikit.

“Macam mana Dani…”

“Dani dah tahu semuanya sebelum Maya balik ke Malaysia lagi. Semua rahsia Maya di sana, Dani tahu,” celah Dani.

Laju tangannya menekup mulut sendiri. Malu kerana Dani sudah mengetahui sejarah gelapnya. Pada masa yang sama, dia semakin tertanya-tanya dari sumber mana rahsianya terbongkar.

“Siapa yang beritahu?”

“Itu tak penting. Perkara dah lepas. Masa tu, Dani cuma nak selamatkan rumah tangga Hakim. Tapi jangan risau, Hakim tak pernah tahu tentang hal ni.”

“Dan Dani masih nak berkahwin dengan Maya?” soal Maya dengan riak tak percaya.

“Ya.”

“Tapi kenapa?”

Lama Dani berdiam diri. Maya masih lagi menunggu Dani memberikan jawapan. Mustahil lelaki yang cukup sempurna itu masih mahu menyunting bunga yang sudah layu. Ditambah pula dengan wajah kacak kacukan inggeris, Dani mampu mendapat gadis yang lebih baik. Disebabkan wajah Dani itulah, Maya pernah sukakan lelaki itu dulu. Namun perasaan itu terpaksa ditutup rapat sebaik saja dia sedar lelaki itu tidak pernah ada hati terhadapnya. Rahsia itu masih tersimpan sehingga sekarang.

“Setiap orang ada masa lalunya. Dani yakin, Maya dah berubah dan tak akan ulang perkara yang sama. Tak adil untuk Dani terus menghukum Maya.”

Kolam matanya terasa hangat. Sungguh dia tersentuh dengan pengakuan Dani. Dalam dingin, masih terselit satu sisi baru yang belum pernah Maya lihat dalam diri Dani. Tidak pernah menghukumnya dengan sejarah silam.

“Terima kasih sebab terima Maya seadanya.”

“Sama-sama. Tapi ingat, tolong jangan khianati kepercayaan Dani. Dani paling pantang orang yang menipu terutamanya perempuan.” Tegas Dani memberikan arahan itu.

Maya tersenyum nipis. Tak mungkin dia akan ulang perkara yang sama. Cukuplah dia pernah menduakan Hakim sehingga dia kehilangan lelaki itu. Benar kata ibunya. Walaupun dia kehilangan Hakim, Tuhan telah hadirkan lelaki yang lebih baik seperti Dani.

“Insya-Allah. Maya tak akan musnahkan kepercayaan Dani.” Janji Maya.

“Tidurlah. Dah lewat.”

“Okay. Selamat malam.”

“Ehmmm…”

Panggilan ditamatkan begitu saja. Maya melihat skrin telefonnya yang sudah gelap. Memang inilah sikap Dani. Tak pernah menunjukkan sisi lelaki yang prihatin. Tetapi hati Maya masih inginkan lelaki itu.

Maya menarik nafas lega. Terasa ringan bebannya selepas berbual dengan Dani. Laci meja di sebelah katil ditarik perlahan. Gambar Hakim ketika bersamanya dulu ditatap lama. Dengan azam yang baru, Maya tidak mahu lagi mengingati kenangan lama. Gambar itu terus dibuang ke dalam tong sampah.

Sekeping gambar yang masih ada di dalam laci dikeluarkan juga. Gambar itu diusap perlahan. Tak sangka sehingga sekarang dia masih menyimpan gambar itu. Keluhan nipis terlepas dari bibirnya.

“Mungkin aku patut rahsiakan hal tu. Dani tak perlu tahu.”

Gambar itu disimpan kembali ke tempat asalnya. Laci ditutup rapat. Maya terus berbaring sambil memandang siling. Senyuman lebar terukir di bibirnya. Syukur kerana impiannya dulu akhirnya tercapai juga.

🥰🥰🥰🥰🥰🥰🥰

🥰🥰🥰🥰🥰🥰🥰

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Tak Mungkin Hilang ( Spin Off Dari Kala Hati Terusik)Where stories live. Discover now