Bab 3 (part 2)

363 13 0
                                    

DENGAN sekali lafaz sahaja, Maya Sofea sah bergelar isteri kepada Dani Ariq. Lelaki yang pernah Maya impikan untuk hidup bersama dulu. Air mata kegembiraan mengalir di pipi. Sukar Maya percaya yang dia kini sudah menjadi milik Dani.

Selepas upacara akad nikah, Maya dan Dani menunaikan solat sunat dua rakaat di bilik tetamu. Sekali lagi air matanya jatuh berderai saat mendengar Dani mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Terasa sungguh kerdil dirinya ketika ini. Disebabkan terlalu ikutkan nafsu, dia gagal menjaga hartanya yang paling berharga.

Dani berpaling sedikit ke belakang sebaik saja selesai mengaminkan doa. Wajah manis Maya yang berhijab itu direnung lama. Dia akui Maya kelihatan sangat cantik dengan persalinan baju kurung moden berwarna putih. Mereka saling berpandangan.

“Mari kita keluar. Mereka tentu dah tunggu kini.” Dani segera berdiri. Tiba-tiba dia berasa gugup di hadapan Maya.

“Abang…”

Terkedu Dani. Makin berdebar dada Dani saat lengannya dipegang kemas.

“Terima kasih sebab sudi terima Maya. Abang tak kisah kalau Maya panggil abang?” Walaupun mereka seusia, sebagai seorang isteri, dia mahu lebih menghormati Dani.

“Err… boleh.” Gugup Dani menjawab. Sekali lagi anak mata mereka saling bertaut.

Perlahan-lahan Dani angkat tangannya. Belum sempat pipi Maya disentuh, bunyi pintu diketuk menyedarkan mereka. Maya lekas menunduk menekur lantai.

“Pengantin dah siap bersolat ke?” soal Hakim sebaik saja pintu dibuka.

“Kami nak keluarlah. Kau ni kecohlah.”

“Aku bukan apa, takut ada yang terbabas pula. Nanti-nantilah kalau nak beramah mesra pun.” Hakim menutup pintu bilik itu kembali.

Dani berdeham perlaham. Maya masih menunduk malu.

“Jom…” Dani terlebih dahulu berdiri.
Berkerut dahi Maya menahan rasa kebas di kaki. Mungkin gara-gara duduk bersimpul terlalu lama menyebabkan kakinya kebas. Baru selangkah Maya cuba berjalan, tubuhnya hampir terjatuh. Laju tangan sasa Dani merangkul pinggang si isteri.

Wajah mereka hanya berjarak beberapa inci saja. Mereka saling berpandangan. Setelah sedar kedudukan mereka sangat rapat, Maya cuba menolak dada Dani. Nasib baik mereka bersentuhan dalam keadaan masih lapik. Tak pasal-pasal terbatal juga air sembahyang mereka di sini.

“Maya keluar dulu.”

Berhati-hati Maya keluar dari bilik itu.  Dani menarik nafas panjang. Masih terasa lagi debaran di dada. Keluar dari bilik itu, Hakim sudah menunggu Dani di tepi dinding. Tersengih-sengih lelaki itu memandang Dani.

“Kenapa tersengih-sengih?” Bengang Dani dengan sikap menyakat Hakim.

“Aku dah nampak.”

Ternaik kening Hakim.

“Sejak bila pula kau ni buta,” sindir Dani.

“Maksud aku, aku nampak wajah kau yang dah jatuh cinta sekarang.”

Berbahang wajah Dani. Malu tiba-tiba dia diusik begitu. Makin kuat Hakim ketawakan Dani. Bahu Dani ditepuk perlahan.

“Tak sangka mat salih celup macam kau ni, pemalu orangnya.”

Mengecil anak mata Dani. Mahu saja dia meluku kepala Hakim. Sejak sudah bergelar ayah ni, makin menjadi-jadi perangai si Hakim.

Tidak mahu membuang masa, mereka segera ke pelamin. Upacara pembatalan air sembahyang akan dilakukan sebentar nanti.

Pertama kali Dani menyentuh jari halus Maya, perasan bahagia menyelinap ke dasar hatinya. Dia sendiri tidak tahu sejak bila perasaan itu muncul. Maya kemudian tunduk mencium tangan Dani. Saat dia mengangkat wajahnya kembali, anak mata mereka saling bertaut.
Perlahan-lahan Dani mencium dahi licin itu. Sebak perasaan Maya saat menerima ciuman pertama dari suaminya. Lama mereka berkeadaan begitu sehingga Hakim terpaksa menepuk bahu pengantin lelaki. Dani segera tersedar.

“Nak cium lagi lama, tunggu malam nanti. Sekarang ni giliran Maya pula sarung cincin,” bisik Hakim.

Mencerlung anak mata Dani. Menyesal pula dia memilih Hakim sebagai pengapit. Kali ini giliran Maya yang menyarungkan cincin. Dani cuba berlagak tenang walaupun dadanya hampir pecah menahan debar. Selesai sesi menyarung cincin dan bacaan taklik, barulah pasangan pengantin diarah untuk bergambar dengan ahli keluarga masing-masing.

Ketika sesi bergambar, Maya mencari-cari kelibat Puan Alya. Mustahil wanita itu tidak datang ke majlis bahagia Dani.

“Okay. Sekarang ni giliran keluarga pengantin lelaki.”

“Tunggu sekejap ya.” Tiba-tiba Encik Damian mencelah. Bergegas dia turun dari pelamin menuju ke pintu utama.

Dani masih sibuk membetulkan sampin di pinggangnya. Tidak lama kemudian, Encik Damian muncul bersama Puan Alya.

“Mama…” Terlepas perkataan itu dari bibir Maya.

Kaku tubuh Dani. Perlahan-lahan dia pandang ke hadapan. Melihat wajah itu muncul di sini, hatinya kembali hangat. Tergerak-gerak rahang Dani menahan rasa marah.

Maya segera meraih jari jemari Dani. Jari mereka saling bertaut. Dani toleh ke sisi. Sungguh dia terkejut dengan perbuatan Maya ketika ini.

“Hari ni, hari bahagia kita. Tak salah kita berkongsi rasa bahagia dengan semua orang di sini.” Lembut nada suara Maya.

Dani menarik nafas lemah. Terpaksalah dia mengalah demi menjaga air muka kedua-dua keluarga. Sepanjang sesi bergambar, tangan isterinya sentiasa berada dalam genggamannya. Hanya dengan cara ini  saja rasa marahnya mampu dikawal.

💗💗💗💗💗💗

Tak Mungkin Hilang ( Spin Off Dari Kala Hati Terusik)Where stories live. Discover now