Bab 8

379 15 0
                                    

Ramai rakan-rakan sekerja Dani dan Maya, hadir di majlis mereka. Walaupun ahli keluarga Dani tidak ada, majlis tetap meriah dengan kehadiran pelajar di kolej.

Keluarga mentua Sarah turut hadir di hari bahagia Maya. Maya sebenarnya agak kekok berhadapan dengan keluarga Hakim. Semasa dia bercinta dengan Hakim dulu, belum pernah lagi dia berpeluang berjumpa dengan mereka. Dari jauh, Maya dapat melihat ibu Hakim sedang berbual mesra dengan Sarah.

“Pandang siapa?”

“Ha?”

“Ralit sangat tengok Sarah. Kenapa?” Wajah manis isterinya yang disolek nipis itu, ditatap lama. Maya kelihatan anggun mengenakan gaun labuh berwarna putih. Sesuai dipadankan dengan tuxedo putih di tubuh Dani.

“Maya tengok keluarga Hakim. Kali pertama Maya kenal keluarga Hakim.”

Berkerut dahi Dani.

“Dah lama bercinta, takkan sekali pun Hakim tak pernah kenalkan.”

Maya tersenyum kelat. Hanya gelengan sahaja yang diberikan. Dani melihat ke arah keluarga itu. Jelas terpancar wajah ceria Hakim bermain dengan anaknya, Hadid.

“Sebab tu Maya minta untuk berpisah dulu?”

Terus berubah wajah Maya. Silapnya juga kerana tiba-tiba teringatkan kisah lama. Tidak sepatutnya dia mengungkit kembali sejarah cintanya yang tidak kesampaian itu. Lengan Dani dirangkul mesra.

“Lupakan aje. Yang penting, Maya dah ada abang,” kata Maya dengan nada yang manja.

“Jangan ingat lagi tentang dia. Dia dah jadi sejarah Maya,” tegas nada suara Dani mengingatkan Maya.

“Baik. Abang jangan risau. Dalam hati Maya sekarang, hanya ada nama abang.” Maya kenyitkan mata sambil tersenyum manis.

Dani turut tergelak. Pipi putih Maya dicubit geram. Bagi Dani, kisah cinta Maya yang lalu, sudah berakhir. Yang penting adalah sekarang.

“Kaki sakit lagi tak?”

“Alhamdulillah, dah kurang. Cuma kecewa tak dapat nak pakai kasut ala cinderella tu,” rungut Maya.

Disebabkan luka di kakinya masih ada, dia hanya boleh memakai kasut biasa saja. Mujur saja gaun yang dikenakan agak labuh. Kecewa juga Maya kerana tidak dapat memakai kasut tumit tinggi kegemarannya itu. Banyak juga wang yang dihabiskan untuk menempah kasut itu sebelum majlis ini berlangsung.

“Nanti kaki tu dah baik, pakai ajelah.”

“Betul juga. Nanti boleh Maya pakai bila nak pergi kerja.”

Senyuman Dani terus berubah kendur. Bercakap soal kerja, Dani hampir terlupa untuk berbincang sesuatu yang penting dengan isterinya.

“Malam nanti abang ada hal penting nak bincang.”

“Hal apa?”

“Tunggu malam nanti,” kata Dani sambil menepuk perlahan belakang tapak tangan Maya yang berada di lengannya.

Cemberut wajah Maya. Satu sikap suaminya yang dia tidak suka, selalu saja membuatkan dia tertanya-tanya.

“Dahagalah. Maya nak ambil air.”

“Tunggu sini. Biar abang yang ambil.”

Maya sekadar mengangguk. Kakinya sudah lenguh kerana berdiri terlalu lama. Hendak berjalan pun dia sudah tidak larat. Maya duduk di kerusi yang ada di situ. Sesekali dia tersenyum ke arah tetamu yang hadir. Ada juga yang datang berjumpa dengannya untuk bergambar.

Maya memandang di sekeliling dewan itu. Tiba-tiba anak mata Maya ternampak kelibat Encik Damian keluar dari dewan dalam keadaan tergesa-gesa. Terus Maya berdiri tegak. Tanpa sedar, langkahnya laju mengejar ayah mentuanya itu.

Tak Mungkin Hilang ( Spin Off Dari Kala Hati Terusik)Where stories live. Discover now