Bab 2 (part 1)

376 17 0
                                    

MAYA melangkah keluar dari bilik kerja dengan tubuh yang lesu. Penat seharian menanda kertas kerja pelajarnya. Sudah hampir tiga bulan dia bekerja di tempat baru. Dia tidak mahu lagi bekerja di tempat lama kerana malu berhadapan dengan Hakim. Biarlah dia menjauhkan diri buat sementara waktu.

Sejak dia bekerja di sini, kehidupannya kembali tenang. Tiada lagi rasa iri hati dan dendam terhadap Sarah. Yang ada hanyalah perasaan bersalah. Saat dia mengetahui Sarah pernah dibuang oleh ayah tirinya, jujur Maya berasa simpati dengan nasib Sarah. Kehidupan Maya ternyata lebih baik berbanding Sarah.

“Maya…”

Terhenti langkah Maya. Perlahan-lahan dia berpaling ke belakang. Berkerut dahi Maya melihat wanita yang berpakaian anggun itu sedang tersenyum manis.

“Errr, ya. Saya kenal puan ke?”

“Panggil mama.”

Tercengang Maya. Wajah itu dipandang dengan riak keliru. Tiba-tiba hati Maya terdetik sesuatu. Raut wajah wanita itu hampir mirip dengan seseorang.

“Mama Dani?”

Melihat wanita itu mengangguk, Maya segera menghulurkan tangannya. Perasaan Maya semakin gugup kerana pertama kali mereka bersua.

“Maaf, kalau mama datang ke sini tanpa beritahu Maya. Mama ada hal penting. Boleh kita berbual?” Tangan Maya masih berada di dalam genggamannya.

“Boleh. Maya pun baru habis kerja. Kita ke kafe,” cadang Maya.

Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke kafe. Setelah memesan air minuman, mereka berdua masih berdiam diri. Suasana di antara mereka kelihatan janggal.

“Maya sihat?” Akhirnya Puan Alya yang memulakan perbualan.

“Alhamdulillah, mama. Err… mama datang ke sini, seorang aje ke?”

“Ya, seorang.”

Perbualan mereka terhenti seketika sebaik saja seorang pelayan menghantar air minuman. Masing-masing menjamah dahulu air minuman yang dipesan tadi.

“Maya tahu tak hubungan mama dan Dani… tak baik?”

Terdiam Maya. Dia sebenarnya tidak tahu sangat tentang masalah keluarga Dani. Apa yang dia tahu, Dani dibesarkan oleh Encik Damian selepas bercerai.

“Ada apa-apa ke yang Maya tak tahu?” Lebih baik Maya berterus terang. Jika Puan Alya ke sini untuk berjumpa dengannya, sudah tentu ia sesuatu yang sangat penting.

“Dani bencikan mama. Sejak dari kecil lagi dia tak suka mama.”

Tak berkelip mata Maya. Terkejut dengan pengakuan Puan Alya.

“Dan mama yakin, dia tak akan suka mama hadir ke majlis kamu berdua nanti. Walaupun papa Dani ada jemput mama, mama tak ada keberanian nak ke sana,” luah Puan Alya dengan mata yang berkaca.

Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan rindunya terhadap Dani. Satu-satunya zuriat yang dia ada. Namun dia tidak pernah menyalahkan Dani. Semua yang berlaku disebabkan khilafnya juga.

“Mama bukan isteri dan mama yang baik untuk keluarga Dani dulu. Mama silap… mama sangka, pilihan mama tu betul tapi bila mama dah sedar, semuanya dah terlambat. Papa Dani seorang lelaki yang sangat baik. Mama yang sia-siakan kebaikan papa Dani.”

Tidak sedar air matanya sudah mengalir keluar. Lekas Maya menghulurkan tisu kepada Puan Alya. Hatinya turut hiba mendengar luahan wanita itu.

“Kenapa Dani nak bencikan mama?” soal Maya dengan penuh tanda tanya.

“Sebab Dani tahu keluarga kami musnah berpunca dari mama. Sejak kecil lagi, mama tak dapat bagi kasih sayang seorang ibu kepada Dani setelah mama bercerai.”

“Tapi semuanya tu dah jadi sejarah. Dani tak patut masuk campur. Itu urusan mama dan papa.”

Puan Alya menggeleng perlahan. Tangan Maya digenggam kemas.

“Jangan salahkan Dani. Mama tak kisah kalau dia bencikan mama seumur hidup. Mama punca dia menderita. Sebab tu mama nak minta Maya jaga Dani dengan baik. Mama yakin Maya sangat istimewa di hati Dani.”

Terdiam Maya. Istimewa di hati Dani? Tiba-tiba hati Maya berbunga dengan kenyataan itu. Puan Alya menyerahkan satu beg kertas kepada Maya.

“Tolong berikan hadiah ni kepada Dani. Anggap ini hadiah dari Maya. Mama tak nak Dani tahu mama yang berikan hadiah ni. Boleh?”

“Kenapa mama tak serahkan sendiri?”

“Mama tak nak sakitkan hati dia. Dani mesti tak akan terima.”

Serba salah Maya dibuatnya. Dia masih teringatkan pesanan Dani. Lelaki itu tidak suka ditipu. Namun sebaik saja melihat wajah wanita itu yang penuh berharap, Maya tidak sampai hati untuk menolak.

“Baiklah, nanti Maya serahkan.”

“Terima kasih. Mama doakan anak mama dan Maya hidup bahagia. Tolong bahagiakan anak mama. Jangan sesekali sakitkan hati dia. Cukuplah dia pernah sakit kerana mama dulu.” Air mata yang masih mengalir di pipi diseka perlahan.

“Sakit? Dani sakit apa, mama?” Laju Maya menyoal. Sepanjang dia mengenali lelaki itu, belum pernah lagi dia melihat Dani sakit.

Kaku tubuh Puan Alya. Wajah Maya dipandang dengan riak keliru.

“Maya tak tahu tentang penyakit Dani?”

Perlahan Maya menggeleng. Dadanya berdegup kencang. Takut dan risau bercampur aduk. Puan Alya kelihatan serba salah. Ternyata Dani tidak pernah menceritakan kisah silamnya kepada Maya.

💗💗💗💗💗

Agak2 apa rahsia Dani. Nnt kt bg separuh lagi bab 2. Sebb bab ni panjang sangat👉👈

Tak Mungkin Hilang ( Spin Off Dari Kala Hati Terusik)Where stories live. Discover now