Teaser 9

405 14 0
                                    

Teaser remuk🥺 (Tak Mungkin Hilang)

Tersenyum Maya melihat ramai pengunjung datang ke sini bersama keluarga. Timbul rasa kasihan buat si anak kerana tidak mampu memberikan keluarga yang lengkap. Namun Maya bersyukur, Danish masih mendapat kasih sayang dari semua ahli keluarganya. Malah Hakim sentiasa menjaga kebajikan Danish sama seperti anak kandungnya.

Mati langkah Maya saat ternampak kelibat seseorang. Wajahnya terus berubah pucat. Lama anak matanya menjamah wajah itu. Sebaik saja lelaki itu berpaling ke arahnya, tubuh Maya menggigil seketika.

Dani Ariq!

Ternyata lelaki itu sudah banyak yang berubah. Tubuh lelaki itu kelihatan susut berbanding dulu. Namun wajah Dani masih kekal kelihatan kacak. Baru beberapa langkah Maya ingin mendekati Dani, suara seorang wanita mematikan pergerakkannya sekali lagi. Laju dia berpaling membelakangi pasangan itu.

"Sorry, lama you tunggu I?"

"Lama juga. Sempatlah I tawaf satu bangunan ni."

Mendengar suara garau itu, hampir saja Maya menitiskan air mata. Tapak tangannya melekat ke dada. Suara gelak ketawa pasangan itu hanya membuatkan Maya bertambah terluka.

"I lapar. Jom kita makan. Lepas ni, I nak bawa you cari baju kerja. Jom."

Perlahan-lahan Maya berpaling ke belakang. Luluh hati Maya melihat tangan gadis itu merangkul erat lengan Dani. Lebih menyakitkan hati, Dani kelihatan gembira di sisi gadis itu. Tidak sedar air matanya mengalir ke pipi.

Maya terus berlari mencari tandas. Takut dia tidak mampu mengawal perasaannya ketika ini. Masuk sahaja ke dalam tandas, pintu bilik air dikunci rapat. Maya terduduk di atas tandas duduk.

Wajah ditekup dengan tapak tangannya. Semahu-mahunya dia menangis di situ. Terasa dirinya sangat bodoh kerana masih menangis untuk lelaki seperti Dani. Apa lagi yang kau harapkan Maya? Hampir tiga tahun dia ditinggalkan. Itu pun sudah cukup membuktikan Dani tidak mahu bersamanya lagi.

Lama dia berkeadaan begitu. Nafas ditarik dalam-dalam. Dia cuba menenangkan diri seketika. Setelah memastikan dia tidak menangis lagi, barulah Maya keluar dari bilik air. Maya merenung wajahnya yang kelihatan sembab di hadapan cermin. Keluhan terlepas dari bibirnya.

Laju dia mengeluarkan bedak compact dari beg tangannya. Tak mungkin dia akan keluar dengan wajah yang sembab. Sedang dia ralit menyapu bedak ke muka, ada seorang gadis masuk ke sini. Terpaku Maya melihat gadis itu adalah orang yang sama ditemuinya tadi.

Gadis itu sedang melurut rambutnya yang panjang mengurai. Sesekali dia membetulkan solekan di wajahnya. Maya masih tidak lepas memandang gadis itu. Jika dibandingkan dengan dia, gadis itu kelihatan lebih menawan dan bergaya. Tak sangka dalam sekelip mata citarasa Dani sudah berubah.

Saat anak mata mereka saling beradu, Maya segera mengalihkan anak matanya ke arah lain. Dia perlu keluar dari sini dengan segera. Tak sanggup dia terus menghadap wajah kekasih Dani ini.

"Tunggu dulu."

Tidak jadi Maya melangkah keluar. Wajah gadis itu dipandang dengan wajah berkerut.

"Kita pernah jumpa ke?"

Kaku tubuh Maya. Rasanya ini kali pertama dia berjumpa dengan gadis cina ini. Maya sekadar menggeleng.

"Maaf. Muka you nampak familiar. Sebab tu I tanya."

Maya sekadar tersenyum nipis. Tidak mahu membuang masa, Maya terus melangkah laju keluar dari situ. Terasa sempit nafasnya berpura-pura baik di hadapan gadis itu. Tipulah jika dia tidak terkesan dengan penampilan gadis itu.

Disebabkan terlalu laju berjalan, Maya tidak sedar tubuhnya terlanggar belakang tubuh seseorang. Plastik pakaian ditangannya jatuh ke lantai sehingga pakaian yang dibelinya tadi terkeluar. Kelam kabut Maya tunduk mengutip pakaian itu. Lelaki yang dilanggarnya tadi turut membantu Maya.

"Maaf, saya tak sengaja langgar encik."

Dia masih tidak mengangkat wajahnya. Pakaian Hadid dan Haufa segera dimasukkan ke dalam plastik. Habis kotor pakaian yang dibeli untuk anak-anak Sarah. Mahu saja Maya mengetuk kepala sendiri kerana terlalu cuai.

Maya berdiri tegak sambil memastikan pakaian yang dikutipnya tadi kesemuanya ada. Masih ada yang tidak cukup. Pakaian Danish!

Tiba-tiba lelaki tadi menghulurkan sehelai baju kepadanya. Maya menarik nafas lega.

"Terima ka..."

Terkedu Maya saat anak matanya bertembung dengan lelaki itu. Lebih menyakitkan hati Maya, lelaki itu kelihatan tenang saja. Langsung tidak terkesan dengan pertemuan mereka ketika ini.

"Dani, siapa tu?"

Terus Maya tersedar sebaik saja terdengar suara gadis tadi. Kali ini Maya tidak menunggu lama. Laju kakinya berjalan meninggalkan tempat itu tanpa sempat mengambil pakaian anaknya.

😬

Part paling menyakitkan hati selepas 3 tahun...

Tinggal 4 hari lagi preorder. Wasap 0129284568.

Tak Mungkin Hilang ( Spin Off Dari Kala Hati Terusik)Where stories live. Discover now