Bab 2 ( part 2)

342 15 0
                                    

MAYA memandu laju keretanya menuju ke rumah Dani. Dia sudah tidak peduli lagi walaupun hari sudah lewat. Pipinya yang masih basah itu diseka perlahan.

Kini baru dia faham kenapa Dani terlalu membencinya dulu. Malah semasa mereka belajar bersama, lelaki itu agak dingin dengan pelajar perempuan yang lain. Termasuklah Maya. Tidak mustahil Dani masih dibayangi dengan kisah lama.

Ketika kereta Maya berhenti di hadapan pagar rumah Dani, lelaki itu baru tiba di rumah. Wajah Dani jelas terkejut dengan kemunculan Maya di situ. Maya keluar dari kereta dengan perasaan gugup.

“Kenapa datang sini?” soal Dani sebaik saja keluar dari perut kereta. Lengan baju kemeja disinsing hingga ke siku.

“Maya…”

“Eh, Maya. Kenapa tak jemput Maya masuk je dalam?” Muncul Encik Damian dengan wajah yang ceria.

Dani tersenyum kelat. Jam di tangannya dikerling sekilas. Pelik kerana Maya boleh muncul di sini pada waktu yang tidak sesuai. Lagi beberapa minit waktu Maghrib akan masuk.

“Err… tak apa, uncle. Maya datang sekejap aje. Kebetulan Maya ada hal dengan Dani.”

“Tengok tu… panggil papa. Lagipun Maya bakal menantu papa.”

Maya tersenyum kekok. Disebabkan terlalu gugup, dia hampir terlupa dengan gelaran Encik Damian yang baru itu.

“Kami berbual sekejap aje, papa. Papa masuklah ke dalam. Nanti Dani masuk.”

“Yalah. Jangan lama sangat. Dah nak Maghrib ni.” Sempat Encik Damian memberikan pesanan sebelum dia masuk ke dalam rumah.

Dani berdiri tegak di hadapan Maya. Kedua tanganya dimasukkan ke dalam poket seluar. Maya masih ralit memandang wajah Dani. Tidak dinafikan Dani mempunyai aura yang berbeza dari Hakim. Anak mata Dani yang berwarna biru, salah satu tarikan yang ada dalam diri lelaki itu. Anak mata itu jugalah punca dia pernah sukakan Dani dalam diam.

“Sampai bila nak pandang muka Dani ni?”

Tersentak Maya. Malu kerana terlalu lama memerhati anak teruna orang. Lekas dia berdeham perlahan.

“Maya nak tahu, Dani ikhlas ke berkahwin dengan Maya?”

“Maya tak percayakan Dani?” Soalan Maya tidak dijawab. Ini kali kedua dia menerima soalan yang sama. Kedua tangannya sudah berada di pinggang.

Maya menarik nafas dalam-dalam. Mendengar kisah hidup Dani dulu daripada Puan Alya, Maya semakin jatuh kasihan dengan lelaki ini. Perasaan sayang dan cinta, muncul kembali setelah sekian lama perasaan itu ditutup. Perlahan-lahan dia mendekati Dani. Dengan sedikit keberanian yang ada, tapak tangannya menyentuh dada kiri Dani yang masih berlapik dengan kemeja.

Kaku tubuh Dani seketika. Terkebil-kebil Dani dibuatnya. Entah kenapa Dani tidak menghalang perbuatan Maya. Dadanya berdegup dengan kencang. Bau harumam Maya ketika ini sedikit mengkhayalkan Dani.

“Maya harap Dani ikhlas berkahwin dengan Maya.”

Anak mata mereka berdua saling bertaut. Masing-masing masih berdiri kaku.

“Mungkin terlalu awal untuk Maya berjanji. Maya cuma nak Dani tahu, Maya akan bahagiakan Dani.”

“Ada apa-apa yang menggangu Maya ke?” soal Dani. Mustahil Maya tiba-tiba berkelakuan pelik tanpa sebab.

“Tak… tak ada. Err… Maya balik dulu.”

Belum sempat Maya berpaling, pergelangan tangannya ditarik kuat. Tubuh Maya terdorong ke arah Dani sehingga wajahnya tersembam ke dada lelaki itu. Maya yang terlalu terkejut, cuba berundur ke belakang. Namun Dani bertindak pantas dengan merangkul pinggang Maya dengan kemas. Bulat mata Maya.

“Jangan tipu Dani.”

“Maya tak tipu.”

“Betul?” Tekan Dani sekali lagi sambil mengetatkan lagi pelukan di pinggang Maya.

Maya semakin gementar. Takut jika ada mata-mata penghuni di sini yang melihat adegan mereka. Tangannya cuba menolak dada lelaki itu.

“Tak ada. Betul, tak ada apa-apa yang berlaku.” Hampir saja Maya menangis ketakutan. Teringatkan pesanan Puan Alya, Maya terpaksa berbohong.

“Maya tahu kan, Dani tak suka orang yang menipu.” Dagu Maya dicengkam kuat. Tiba-tiba hati Dani menjadi panas. Dia yakin Maya sedang menyembunyikan sesuatu. Menyeringai wajah Maya menahan rasa sakit.

“Sa… sakit.”

Mendengar rintihan Maya, Dani terus tersedar. Laju dia melepaskan tubuh itu. Wajahnya diraup perlahan.

“Maaf, Dani… Dani tak sengaja…”

“Tak… tak apa. Dah lewat. Maya nak balik tapi sebelum tu...”

Maya segera mengambil beg kertas yang dikirimkan oleh Puan Alya di dalam kereta. Dani masih berperang dengan rasa bersalah. Tidak sepatutnya dia mengasari Maya sebentar tadi. Tidak lama kemudian Maya kembali bersama beg kertas di tangan.

“Ini untuk Dani.”

“Apa ni?” Beg kertas itu sudah bertukar tangan. Sebaik saja dia melihat isi di dalam kandungan beg itu, wajah Dani terus berubah. Baju sejuk dari kait benang itu dikeluarkan dari beg kertas itu.

“Maya yang buat?”

Kelu lidah Maya. Inilah padahnya jika terpaksa berbohong.

“Err… tak tapi Maya yang minta orang lain tolong buatkan. Dani suka?” Senyuman manis terukir di bibir Maya. Dia cuba berlagak tenang di hadapan lelaki itu.

Dani mengangguk perlahan.

“Terima kasih.”

“Nanti Maya akan cuba belajar kaitkan baju untuk Dani. Tapi kena tunggu lepas kita kahwin.

Masing-masing saling berpandangan. Hati Dani terusik dengan kenyataan Maya.

“Ini pun dah cukup. Dani suka… pandai Maya pilih warna ni. Nanti Dani akan pakai.” Warna merah memang warna kesukaan Dani sejak dari kecil. Namun perkara itu hanya mama yang tahu. Sejak wanita itu pergi, dia cuba mengelak dari memakai pakaian berwarna merah.

Maya menarik nafas lega. Memang itulah yang diharapkan oleh Maya. Dia mahu Dani menghargai hadiah itu tanpa mengetahui siapa pengirim sebenar. Bunyi laungan azan menandakan waktu Maghrib sudah tiba. Maya segera berlalu masuk ke dalam kereta.

“Maya…”

Tidak jadi Maya menutup pintu kereta. Dani berjalan ke arahnya. Sekali lagi masing-masing hanya memandang tanpa bersuara.

“Kenapa?”

“Err… tak ada apa. Hati-hati bawa kereta. Dah sampai, call Dani.”

Tergamam Maya. Pertama kali Dani membuat permintaan seperti itu. Maya mengangguk perlahan sambil tersenyum. Dani membantu Maya dengan menutup pintu kereta.

Sebaik saja bayang kereta Maya tidak kelihatan, Dani mengeluh perlahan. Dada kirinya disentuh dengan tapak tangannya. Masih terasa hangat lagi tapak tangan Maya di situ. Tiba-tiba perasaan asing itu muncul sekali lagi.

Setiap kali dia sedar punca dia berkahwin dengan Maya, hati Dani dihambat rasa bersalah. Dia semakin keliru dengan perasaannya ketika itu. Tak mungkin dalam sekelip mata dia sudah menyintai Maya.

💗

Tak Mungkin Hilang ( Spin Off Dari Kala Hati Terusik)Where stories live. Discover now