Bab 1 ( Part 2)

417 15 0
                                    

DANI duduk di ruang tamu dalam keadaan gelap. Sengaja dia tidak memasang lampu kerana ingin menenangkan perasaannya ketika itu.

Dia pernah menyuruh seseorang untuk mengintip Maya di London. Tujuannya hanyalah satu. Dia mahu mencari bukti kecurangan Maya kepada Hakim. Tetapi tidak sangka rahsia besar Maya turut terbongkar.

Disebabkan itu juga, dia sangat bencikan Maya yang masih menagih cinta daripada Hakim. Walaupun lelaki itu sudah berkahwin, Maya sanggup menjadi orang ketiga hanya kerana ego. Perasaan benci Dani semakin tebal. Dani sanggup membuat perkara yang tidak masuk akal dengan melamar Maya. Tujuan Dani hanyalah untuk membalas dendam.

Maya sama seperti ibu kandungnnya. Perempuan yang tidak pernah puas dengan seorang lelaki. Tangannya dikepal kuat. Turun naik nafasnya menahan marah. Dia sudah merancang untuk menghuru-harakan kehidupan wanita itu selepas mereka berkahwin.

Tapi tidak sangka malam ini Maya sanggup berterus terang tentang rahsia hitamnya. Jujur hati Dani agak terusik dengan pengakuan Maya. Jelas yang wanita itu tidak mahu merahsiakan apa-apa darinya.

Nafas dihela sedikit kasar. Bengang dengan diri sendiri. Dia perasan sejak akhir-akhir ini dia sering saja teringatkan Maya. Tak mungkin dia sudah jatuh sayang dengan perempuan itu?

“Dani?”

Lenyap terus perkara yang difikirkannya tadi. Suasana di ruang tamu sudah bertukar terang.

“Kenapa duduk dalam gelap?” Tegur Encik Damian dalam pelat inggeris yang masih ada.

Wajah kacak orang tuanya itu dipandang lama. Tidak dinafikan kekacakan yang dimilikinya sekarang diwarisi dari Encik Damian.

“Tak boleh tidur, papa.”

“Tak boleh tidur?” Berkerut dahi Encik Damian. Dia duduk di sisi anaknya.

“Papa kenapa tak tidur lagi?”

“Papa nak minum air. Nampak macam ada orang dekat sini. Nyaris papa nak ketuk kepala Dani dengan payung tu.”

Tergelak Dani. Sikap Encik Damian yang terlalu berhati-hati mencuit hati Dani. Sejak dari kecil lagi Encik Damian sangat mementingkan keselamatan.

“Fikirkan pasal majlis Dani ke?”

Mati senyuman Dani. Lekas dia berdeham menghilangkan rasa gugup. Dia tidak mahu papa tahu tujuan dia berkahwin dengan Maya. Sudah pasti lelaki itu akan kecewa.

“Tak adalah.”

“Baguslah. Papa risau kalau Dani berat hati nak berkahwin.”

“Kenapa papa cakap macam tu?” soal Dani dengan perasaan gemuruh.

“Sebelum ni papa risau sangat disebabkan penyakit Dani, Dani tak nak berkahwin,” jawap Encik Damian dengan penuh makna.

“Papa, Dani dah betul-betul sihat.” Tegas Dani menyakinkan orang tuanya. Pantang jika kesihatannya masih diragui.

“Ya, papa tahu tapi… papa masih risau. Kalau betul Dani dah sembuh, kenapa sampai sekarang Dani masih bencikan mama?”

Terus berubah wajah Dani. Anak matanya dialihkan ke arah lain. Mendengar gelaran itu disebut, hati Dani semakin hangat.

“Dani tak nak jumpa mama?”

“Tak perlu. Perempuan tu tak layak jadi mama Dani.”

“Astaghfirullahalazim. Jangan cakap macam tu. Mama Dani tetap perempuan yang lahirkan Dani. Tanpa dia, Dani tak akan wujud.”

“Dan disebabkan dia juga, Dani hidup menderita. Papa tak ingat apa yang pernah perempuan tu buat pada kita?”

Terdiam Encik Damian. Nafas ditarik perlahan. Mana mungkin dia lupakan kenangan pahit yang pernah ditinggalkan oleh bekas isterinya itu. Wanita yang paling dia cintai, akhirnya curang dengan lelaki lain atas alasan dia tidak memberi perhatian. Namun Encik Damian tidak pernah berdendam dengan wanita itu.

“Dani ikhlas ke berkahwin dengan Maya?”

“Err… mestilah.” Gugup Dani menjawab. Tiba-tiba saja dia diajukan dengan soalan begitu.

“Maya tu budak yang baik. Papa harap sangat, Dani dapat jaga dia dengan baik. Jadi suami yang baik untuk Maya. Jangan jadi macam papa.”

Dani merengus kasar. Tidak suka dengan sikap ayahnya yang satu ini. Suka sangat menyalahkan diri sendiri atas kesalahan orang lain.

“Papa tak pernah gagal tapi perempuan tu yang salah.”

“Papa pun ada salahnya juga.”

“Cukuplah, papa. Tak perlu nak sebelahkan perempuan tu lagi.”

“Apa yang berlaku dulu, masalah papa dengan mama. Dani tak patut masuk campur. Papa berkahwin dengan mama semasa kami belajar di luar negara. Kami kahwin tanpa restu orang tua mama. Papa pula masa tu, baru memeluk agama Islam. Papa gagal bimbing mama jadi isteri yang baik sebab terlalu leka dengan perkara duniawi. Fikiran papa dulu terlalu jahil. Papa peluk agama Islam semata-mata untuk berkahwin dengan mama. Kesannya, rumah tangga kami hancur disebabkan niat papa tu. Sebab tu papa nak Dani ikhlaskan hati dari awal lagi. Perkahwinan ni, bukan perkara yang mudah.”

Itulah kesilapan terbesar Encik Damian. Dia dan Puan Alya berkahwin atas dasar cinta. Demi menghalalkan hubungan, Encik Damian sanggup memeluk Islam. Kembalinya mereka ke bumi Malaysia, orang tua Puan Alya tidak menerima perkahwinan itu. Encik Damian yang mahu memberi kehidupan sempurna kepada Puan Alya, sanggup bekerja keras tanpa mengira masa.

Dia yang masih belum mendalami agama Islam, selalu tersasar dengan mengambil minuman keras. Sudah acap kali juga mereka bergaduh disebabkan tabiat minumnya. Dalam usaha dia mencari kemewahan, isterinya terabai dan akhirnya Puan Alya mencari seseorang untuk mengisi rasa bosan. Hancur luluh perasaan Encik Damian apabila Puan Alya ditangkat khalwat dengan kawan baik sendiri.

Pada awalnya, dia masih mahu menyelamatkan rumah tangganya demi Dani tetapi Pual Alya bertegas ingin bercerai. Dani yang ketika itu berusia lima tahun, sentiasa menangis kerana ditinggalkan oleh ibu kandungnya. Akibat dari peristiwa itu, pertumbuhan anak mereka menjadi tidak normal seperti kanak-kanak lain. Malah lebih teruk saat Dani menerima musibah yang lebih kejam.

“Papa…”

Tersentak Encik Damian. Lekas dia menyeka air mata yang mengalir di pipi. Terlalu jauh dia mengenankan kisah lama.

“Papa masih nak bersedih dengan kenangan lama?”

“Papa sedih sebab gagal jadi suami yang baik. Kali ni, papa nak jadi papa yang terbaik untuk Dani. Tolong jangan kecewakan papa…”

Bahu Dani ditepuk perlahan. Dia kemudian terus berlalu pergi meninggalkan Dani. Hati Dani semakin tidak senang. Seolah-olah papa tahu niatnya tidak ikhlas untuk berkahwin.

Wajahnya diraup kasar. Semuanya disebabkan Puan Alya. Kepercayaan Dani terhadap wanita musnah dalam sekelip mata. Dia tidak akan pernah melupakan penderitaan papa ketika ditinggalkan mama. Malah, dia turut terseksa kesan dari perbuatan wanita itu.

😢

Dani pun ada masa silamnya. Eloklah tu. Dua2 saling berahsia.

Tak Mungkin Hilang ( Spin Off Dari Kala Hati Terusik)Where stories live. Discover now