Bab 10

449 16 0
                                    

SUDAH sebulan Maya menghantar surat perletakan jawatannya sebagai pensyarah. Pada awalnya memang dia agak berat hati tetapi Maya tidak mahu mengeruhkan keadaan. Mungkin lebih baik dia berhenti kerja jika itu yang mampu menggembirakan hati Dani. Selama sebulan ini, Maya dan Dani bergilir-gilir bermalam di rumah kedua ibu bapa mereka.

Menurut Dani, dia masih dalam proses membeli rumah. Tentang hal itu, Maya menyerahkan saja keputusan ke tangan suaminya. Hari ini, Maya pulang lebih awal sedikit. Sampai saja di rumah, dia terus ke dapur. Tersenyum Maya melihat Puan Maznah sedang sibuk menyediakan minum petang.

“Ibu…”

Puan Maznah berpaling ke belakang. Api dapur ditutup setelah siap menggoreng cucur bilis.

“Awal balik hari ni.”

“A’ah. Kepala Maya pening. Tu yang balik awal.” Maya duduk di kerusi makan. Kepala yang sedikit pening, dipicit perlahan.

“Dah ada isi agaknya,” seloroh Puan Maznah.

Tegak terus tubuh Maya.

“Hishh… ke situ pula. Maya cuma migrain aje, ibu. Belum ada lagi isinya.” Maya menjeling manja. Tak mungkin dia berbadan dua sedangkan baru minggu lepas dia datang bulan.

“Manalah tahu, anak ibu ni bunting pelamin.”

Maya segera menyibukkan diri dengan membantu menyediakan air minuman. Tidak mahu lagi ibu bercakap tentang soal zuriat. Dia dan Dani tidak pernah merancang. Mereka hanya berserah segalanya kepada Yang Maha Esa.

“Ibu buat cucur bilis lagi.”

“A,ah. Ni kan kegemaran Dani. Hari tu ibu buat, laju aje dia makan.”

Maya tersenyum kelat. Malu kerana dia sebagai isteri tidak sedar tentang kegemaran si suami. Walaupun mereka sudah lama berkawan sebelum berkahwin, masih ada banyak perkara yang Maya tidak tahu tentang Dani. Kadang-kadang Maya merasakan Dani terlalu perahsia orangnya.

“Maya tak tahu pun kegemaran Dani, ibu.”

Puan Maznah menjeling ke arah Maya. Jelas wajah si anak kelihatan tidak bermaya. Dia berjalan dan berdiri di sisi Maya.

“Sekarang Maya dah ada peluang untuk tahu tentang suami sendiri. Ibu dulu, sama juga macam Maya. Ibu selalu tanya ayah, apa yang dia suka, apa yang dia tak suka. Dalam rumah tangga ni, kita kena selalu berkomunikasi supaya tak ada salah faham.”

Maya mengangguk faham. Mungkin silapnya juga kerana tidak pernah cuba mengambil tahu tentang Dani. Selama mereka berkawan dulu, pernah dia beranggapan, Dani tidak suka berkawan dengan mana-mana perempuan. Mungkin disebabkan dia teman wanita Hakim, barulah Dani selesa berkawan dengannya.

“Bila hari terakhir Maya bekerja?” soal Puan Maznah.

Terhenyak Maya. Perlahan-lahan dia berpaling ke sisi. Tertelan air liur Maya.

“Ibu tahu?”

“Ayah yang beritahu ibu. Itu pun sebab Dani yang berbincang dengan ayah dulu. Dia beritahu, nak Maya berhenti kerja dan ikut dia berpindah.”

Tergamam Maya. Baru hari ini dia tahu tentang perkara ini. Dani pernah berjanji akan menceritakan tentang perbualannya bersama ayah. Boleh pula Maya terlupa untuk bertanya tentang hal tersebut.

“Ibu tak kisah ke Maya berhenti kerja?” Serba salah Maya dibuatnya.

“Itu keputusan Maya. Ibu cuma boleh bagi nasihat. Kalau Maya rasa itu yang terbaik, ikutlah cakap Dani. Cuma ibu risaukan Maya…”

Maya menarik nafas dalam-dalam. Sudah diagak perkara ini pasti akan merunsingkan Puan Maznah.

“Apa yang ibu risaukan?”

Tak Mungkin Hilang ( Spin Off Dari Kala Hati Terusik)Where stories live. Discover now