Bab 4 (Part 1)

387 15 0
                                    

DANI mendongak ke arah langit. Lama dia berdiri di luar balkoni bilik untuk menenangkan fikiran. Sejak kemunculan Puan Alya, Dani tidak dapat menyembunyikan rasa benci yang bersarang di hati.

Maya yang baru masuk ke dalam bilik, mengeluh lemah. Sudah diagak, pasti Dani terkesan dengan kehadiran Puan Alya. Mujur saja kedua ibu bapanya menganggap Dani berkelakuan pelik disebabkan penat. Perlahan-lahan Maya melangkah ke arah Dani.

Dengan sedikit keberanian yang ada, pinggang Dani dirangkul kemas. Kedua tapak tangannya melekat di dada Dani. Keras kejung tubuh Dani. Terkejut dengan kehadiran isterinya secara tiba-tiba.

“Abang fikirkan apa?” Lembut nada Maya bertanya. Pipinya bersandar di belakang tubuh Dani.

Dani menarik nafas agak berat. Tangan Maya yang melekat di dadanya ditarik perlahan-lahan. Dia berpaling menghadap Maya. Mata saling bertentangan. Terkedu Dani melihat wajah Maya di hadapannya sekarang.

Pertama kali dia melihat rambut Maya. Turun naik halkum Dani melihat permandangan yang indah ini. Tanpa sedar, jari kasarnya menyelak rambut isterinya dan diselit ke belakang telinga.

“Maya dah kenal ke dengan perempuan tadi?” soalan di balas dengan soalan.

Maya terdiam seketika. Lama dia memikir untuk memberikan jawapan sebenar. Teringat tentang amaran Dani tempoh hari, Maya semakin resah. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu merosakkan hari pertama mereka bergelar isteri. Akhirnya Maya mengambil keputusan untuk berbohong.

“Tak. Hari ni, baru pertama kali Maya kenal dengan mama abang. Cantik mama abang...”

Dani tersenyum senget. Cantik tapi sayang, perangai sebenar wanita itu tidak sama dengan paras rupanya.

“Abang tak nak Maya jumpa dengan dia lagi. Anggap petang tadi kali terakhir Maya berjumpa dengan dia.”

“Tapi kenapa?” Terkejut Maya dengan permintaan Dani.

“Tak perlu tanya. Ikut aje cakap abang.” Tegas Dani memberikan arahan.

Tidak sedar panggilan abang sudah meniti di bibirnya. Terus dia terikut-ikut dengan gaya panggilan Maya.

“Maya tak faham. Kalau disebabkan mama dan papa pernah bercerai, perkara tu dah lama berlalu.”

“Tak semudah itu untuk abang maafkan!”

Tersentak Maya. Sikap Dani dan Sarah terlalu berbeza. Jika dibandingkan dengan kisah mereka berdua, rasanya kehidupan Sarah jauh lebih menderita. Tangan Dani diraih. Dani sekadar membiarkan saja tangannya digenggam Maya.

“Tak boleh ke abang cuba maafkan mama? Abang sendiri nampak cara layanan papa terhadap mama tadi. Papa tak pernah berdendam dengan mama.”

“Itu papa, bukan abang. Abang dah tak nak dengar Maya ungkit cerita ni lagi.” Kasar Dani menarik tangannya.

Dia terus masuk ke dalam bilik tanpa menghiraukan isterinya. Maya mengeluh lemah. Tidak mahu  menaikkan amarah si suami, terpaksalah Maya menurut kemahuan Dani. Sebaik saja Maya berpaling ke belakang, Dani sudah berbaring di atas katil.

Pintu bilik balkoni ditutup rapat. Maya masuk ke bilik air terlebih dahulu untuk membersihkan diri. Beberapa minit kemudian, Maya keluar dari bilik air dengan wajah yang segar. Lampu bilik dipadam. Hanya lampu di meja solek yang dibiarkan menyala.

Perlahan-lahan Maya berbaring di sisi Dani. Ada rasa gugup kerana pertama kali mereka tidur bersama. Walaupun mungkin malam pertama mereka akan dibiarkan sepi, Maya tidak pernah berharapkan apa-apa.

Dani tidur membelakangi dirinya. Tahu sangat Maya yang suaminya masih marah dengan perkara tadi. Hampir saja tapak tangan Maya menyentuh belakang tubuh itu. Namun Maya segera menarik kembali tangannya apabila sedar tentang sesuatu.

“Selamat malam abang. Maya sayang abang,” bisik Maya dengan perlahan.

Ucapan lembut Maya itu meruntuhkan ego Dani. Perlahan-lahan dia membuka matanya. Bukan niat Dani untuk berkasar dengan Maya. Dia sekadar berjaga-jaga. Mungkin dia dianggap kejam kerana bersikap biadap dengan ibu kandungnya sendiri. Tetapi dia tidak mahu sejarah lama berulang lagi.

Setiap kali memandang wajah Puan Alya, dia pasti akan teringatkan kecurangan wanita itu. Bertahun-tahun dia hidup menderita untuk melupakan wanita yang dianggap punca kehidupannya menjadi gelap.

Perlahan-lahan Dani berpusing menghadap isterinya. Wajah lembut Maya ditatap lama. Dia masih tidak percaya wanita yang pernah bergelar kekasih kawan baiknya, kini menjadi miliknya.

Jari kasar Dani menyentuh lembut pipi yang mulus itu. Dia masih ingat kali pertama dia memukul wajah ini. Gara-gara terlalu marah, wajah ini pernah menerima tamparan darinya. Hampir sahaja dia hilang waras saat mengetahui Maya cuba memusnahkan rumah tangga Hakim dulu.

Terasa pipinya diusap, dada Maya berdebar kencang. Maya memberanikan diri membuka matanya. Anak mata mereka saling bertaut. Walaupun suasana di dalam bilik ini suram, Maya masih dapat melihat wajah suaminya dengan jelas.

“Sakit tak pipi ni dulu?”

“Ha?” Bingung Maya.

“Abang pernah tampar Maya. Ingat lagi tak?”

Tersenyum Maya. Ingatkan hal apa tadi. Maya mengangguk perlahan. Jari kasar Dani yang masih ada di pipi, disentuh perlahan.

“Ehmmm… sakit juga.” Maya masih memaniskan wajahnya. Mustahil dia dapat lupakan peristiwa itu. Berhari-hari juga dia menahan sakit di pipi akibat tamparan lelaki itu.

“Maaf, abang tak sengaja. Masa tu…”

“Maya faham. Disebabkan tamparan tu juga, Maya sedar apa yang Maya buat tu salah. Maya nyaris buat Sarah dan Hakim kehilangan anak. Maya patut berterima kasih dengan abang. Betul tak?”

Dani menarik nafas dalam-dalam. Perlahan-lahan tubuh Maya ditarik masuk ke dalam pelukannya. Walaupun sikap Maya agak keterlaluan dulu, dia tidak sepatutnya bersikap kasar.

Terkedu Maya seketika. Pertama kali dia berada begitu dekat dengan Dani. Walaupun masih gugup, Maya berasa sangat selesa berada di dalam pelukan Dani. Tangannya turut merangkul pinggang suaminya.

“Boleh Maya janji dengan abang?”

Maya mendongak sedikit ke atas.

“Janji apa?”
“Janji untuk bahagiakan abang,” kata Dani sambil tunduk merenung wajah isterinya. Terasa hangat hembusan nafas Maya dilehernya. Naluri lelakinya semakin bergetar.

Tanpa teragak-agak, Maya mengangguk laju. Memang itu yang Maya impikan. Dia mahu membahagiakan Dani.

Dani turut tersenyum. Satu ciuman dilabuhkan di dahi licin Maya. Pipi Maya dielus dengan lembut. Terpejam mata Maya menikmati sentuhan si suami.

“Izinkan abang,” pinta Dani dengan suara separuh berbisik.

Melihat anggukan si isteri, kedua-dua mata itu dikucup dengan penuh kasih. Sepotong doa dibaca sebelum bibir basah Maya disentuh lembut  Kucupan hangat itu semakin menghangatkan lagi malam pertama mereka. Saat ini, Dani sedar yang dia sudah menyintai Maya.

❤️

Tak Mungkin Hilang ( Spin Off Dari Kala Hati Terusik)Where stories live. Discover now