Bab 7 (part 1)

383 14 0
                                    

DANI tiba di rumah keluarganya tanpa ditemani Maya. Ada sebab dia ke sini tanpa membawa isterinya bersama. Masuk saja ke dalam rumah, Dani berasa hairan melihat susun atur perabot sudah banyak berubah. Rasanya baru seminggu dia tidak tinggal di sini. Malah ada bau wangian lavender di rumah ini.

“Sejak bila pula papa suka pakai pewangi ni?”

Belum sempat Dani naik ke tingkat atas, Encik Damian muncul di tangga. Terperanjat orang tua itu melihat Dani ada di sini.

“Dani... bila sampai?” Gugup Encik Damian menyoal.

“Baru tadi.” Tangan dihulurkan kepada Encik Damian.

Sesekali anak mata Encik Damian menjeling di tingkat atas. Reaksi Encik Damian itu membuatkan Dani berasa curiga.

“Papa tengok apa?”

“Err… tak ada apa. Mana Maya?” soal Encik Damian cuba menutup rasa gugup.

“Ada di rumah. Kaki Maya masih belum sembuh. Papa dah makan? Dani belikan murtabak kegemaran papa ni.”

“Err... belum. Jom kita ke dapur. Boleh kita makan petang sama-sama.”

Bahu Dani dirangkul mesra. Mereka berjalan beriringan menuju ke dapur. Encik Damian terus duduk di kerusi makan. Sementara Dani pula sibuk menyediakan murtabak yang dibeli tadi ke dalam pinggan.

Dani perasan wajah papanya kelihatan semakin berseri sekarang. Walaupun tinggal seorang diri, Encik Damian bijak menguruskan diri sendiri. Ada rasa kasihan di hati Dani kerana papa masih belum mahu mencari pengganti yang lain.

“Air tak payah buat. Ni dah ada satu teko teh panas.”

“Panas lagi air ni. Papa baru buat ke?”

“Ha? Oo... ya. Papa buat.”

“Satu teko ni? Banyaknya. Papa biasanya buat dalam mug aje.” Berkerut dahi Dani.

“Mungkin papa dapat rasa Dani nak singgah ke sini agaknya,” seloroh Encik Damian dengan ketawa yang dibuat-buat.

Dani sekadar mengangguk. Air dituam ke dalam cawan masing-masing. Dani meneguk sedikit teh panas itu untuk membasahkan tekak. Kaku tubuh Dani. Air teh panas di cawannya direnung lama.

“Air ni... betul ke papa yang buat?”

“Kenapa? Tak sedap ke?” Encik Damian mencicip teh dicawannya. Sedap. Tak ada rasa pelik pun.

“Sedap aje.”

“Memang sedap tapi... err... tak ada apalah.” Tidak jadi Dani menghabiskan ayatnya. Mungkin kebetulan saja air teh ini sama seperti air tangan perempuan itu.

“Papa tak nak cari calon isteri ke?”

Hampir tersembur air yang diminum Encik Damian. Mencerlung anak matanya memandang Dani.

“Mentang-mentang dia dah ada isteri. Papa pula dikenakan dia…”

“Dani serius papa. Dani nak papa ada seorang isteri. Isteri yang lebih baik dari sebelum ni.”

Tersentak Encik Damian. Nafas dihela dengan panjang. Sudah acap kali dia mendengar permintaan Dani supaya mencari pengganti Puan Alya.

“Papa selesa macam ni…”

“Bukan sebab papa masih sayangkan perempuan tu?” Laju Dani mencelah.

“Kalau Dani ada di tempat papa, Dani akan faham perasaan papa. Sejahat mana pun orang yang kita sayang pernah melakukan kesilapan, pasti sukar untuk kita tanam perasaan benci tu. Mungkin ada sekelumit rasa benci tapi untuk buang rasa sayang tu, mustahil.”

Dani tergelak sinis. Sikap inilah yang paling dibenci oleh Dani. Bagi Dani, wanita itu tidak layak diberi peluang kedua.

“Kenapa datang rumah papa ni? Ada hal penting ke?”

“Takkan Dani dah tak boleh datang sini,” jawab Dani dengan nada seolah-olah berjauh hati.

Tergelak Encik Damian.

“Papa cuma tanya aje. Dah seminggu lebih Dani berkahwin. Papa tengok, Dani pun makin berseri. Syukur papa bila Dani dan Maya nampak bahagia.”

Dani tersenyum segan. Selama lebih seminggu dia bergelar suami kepada Maya, dia akui kehidupannya lebih sempurna. Jauh berbeza dengan jangkaannya sebelum ini. Malah, dia baru tahu Maya seorang yang mudah untuk dibawa berbincang. Mungkin pengalaman lalu menjadikan wanita itu berubah lebih matang.

“Alhamdulillah. Dani bahagia. Lebih bahagia dari dulu.”

Encik Damian tersenyum lebar. Memang itulah harapannya untuk melihat Dani bahagia.

“Sebenarnya, memang Dani ada hal penting nak bincang dengan papa. Tapi apa yang Dani nak bincangkan ini, lebih kepada permintaan.”

Hampir bertaut kening lelaki tua itu.

“Apa dia?”

“Kalau boleh, untuk majlis resepsi Dani nanti, tolong jangan benarkan perempuan tu muncul.”

Tegak terus tubuh Encik Damian. Terkejut dengan permintaan si anak. Di dalam hati, dia sudah mengucap panjang.

“Tapi kenapa?”

“Tak perlu Dani jelaskan. Dani tak suka orang yang Dani benci ada di majlis resepsi Dani.”

Menggeleng Encik Damian. Jauh meleset sangkaan dia selama ini. Dia sangkakan selepas Dani dan Puan Alya bertemu ketika majlis tempoh hari, Dani sudah dapat memaafkan wanita itu. Tetapi lain pula yang berlaku.

“Dani sekarang dah berkahwin. Mungkin tak lama lagi, Dani bakal bergelar ayah. Sebelum mata papa ni tertutup, besar harapan papa nak tengok Dani dan mama berbaik.”

“Dani minta maaf. Dani tak mampu nak tunaikan permintaan papa. Mungkin betul cakap papa, Dani bakal jadi ayah satu hari nanti. Tapi Dani tak akan jadi orang yang kejam sehingga sanggup tinggalkan anak  kandung demi mengejar lelaki lain.”

“Setiap orang berhak diberi peluang. Tak salah Dani cuba bagi peluang kepada mama.”

“Tak! Tak ada peluang untuk perempuan curang macam tu!”

“Dani Arif! Jaga sikit mulut Dani.” Ternaik nada suara Encik Damian. Bengang kerana ego anaknya terlalu tinggi.

Dani segera membasuh tangannya ke singki. Selepas mengesat tangannya dengan tuala bersih, dia kembali ke sisi Encik Damian.

“Dani tak ada niat nak kurang ajar dengan papa. Dani harap, papa tolong tunaikan permintaan Dani.”

“Tapi dia mama Dani. Orang yang berhak hadir di majlis Dani.” Tekan Encik Damian hampir hilang sabar.

“Dia dah hilang hak sebaik saja dia buat keputusan untuk tinggalkan kita. Papa tahukan, betapa deritanya Dani dulu.”

Merah mata Dani menahan sebak. Teringatkan kisah lalu, membuatkan Dani trauma. Dia takut dengan kenangannya di masa kecil. Disebabkan kehilangan mama, dia dihantar ke tempat lain semasa papa bekerja. Dan malang nasib Dani apabila dia bertemu dengan manusia bertopengkan manusia.

“Dani...”

“Dani balik dulu. Kalau papa sayangkan Dani, tolong tunaikan permintaan Dani,” celah Dani.

Tangan Encik Damian diraih. Selepas bersalaman, dia segera meninggalkan rumah itu. Encik Damian mengeluh lemah. Wajahnya diraup perlahan. Semua yang berlaku terhadap Dani, berpunca dari dirinya. Jika diundurkan masa, Encik Damian akan cuba menjadi suami dan papa yang lebih baik.

“Abang...”

Laju Encik Damian menoleh ke sisi. Melihat wajah keruh itu, dia yakin wanita itu sudah mendengar perbualannya tadi. Semakin menebal perasaan bersalah Encik Damian.

❤️❤️❤️❤️❤️

Tinggal seminggu lagi pratempahan. Berminat blh wasap 0129284568

Tak Mungkin Hilang ( Spin Off Dari Kala Hati Terusik)Where stories live. Discover now