Bab 2

550 43 0
                                    

SEBOTOL air minuman ditarik keluar dari peti sejuk sebelum terus dibuka dan dituang ke dalam cawan. Diteguk perlahan sehingga habis sebelum nafas panjang dihela, menghilangkan lelah setelah seharian berdiri di tapak projek.

Dalam keluhan, sebelah tangan Nash naik mengurut leher sendiri. Lenguh. Rasa nak tercabut segala tulang dalam badan. Seharian berada di tapak projek dalam musim panas sebegini sememangnya meletihkan. Hendak makan pun dia perlu mengejar masa, apatah lagi untuk berehat.

Baru cawan hendak disimpan semula, muncul satu suara dari pintu dapur, membuatkan Nash spontan menoleh ke arah empunya suara. Muncul Zara yang sedang bersandar di tebing pintu dengan sebelah kening terangkat memandangnya.

"Angah baru balik?" tanya Zara, berbasa-basi.

Nash mengangguk perlahan. "Baru lagi."

"Nak makan?"

Kening Nash berkerut. Soalan yang memang kedengaran biasa, tapi tak cukup biasa kalau keluarnya itu dari mulut Zara. Adiknya ini, mana pernah memasak. Biasanya membeli aje. Kadang-kadang, nak membeli pun malas.

"Zara masak ke?"

Terus Zara tersengih. Dia, memasak? Boleh meletup dapur agaknya.

"Zara ada beli kek. Angah nak?"

Sekali lagi, kening Nash berkerut. "Ada apa beli kek?"

Makin lebar sengihan di bibir Zara. "Zara ada benda nak cakap dengan Angah ini."

Kali ini, kening Nash terangkat pula. Tanpa suara, punggungnya dilabuhkan di atas salah sebuah kerusi lalu tangannya naik menongkat dagu. Zara dipandang atas bawah. Kenapa gaya adiknya ini mencurigakan sangat?

"Pasal apa?"

Dapat sahaja green light dari si angah, terus Zara memecut laju ke arah peti sejuk lalu sekotak kek yang dibeli tadi dikeluarkan dan diletak di hadapan Nash. Tidaklah terlalu besar, tapi cukuplah untuk mereka makan berdua.

"Nak cakap pasal apa ini, sebenarnya?" tanya Nash, dengan nada curiga. Siap hidangkan kek segala ini, memang 'sesuatu' sangat!

"Angah makanlah dulu. Angah suka chocolate cheese and hazelnut, kan? Ini Zara beli khas untuk Angah. Kesian Angah kerja berat-berat." Zara berkata sambil tersengih.

Makin mengecil mata Nash memandang si adik. Zara belikan dia kek ini, memang sangat rare. Biasanya, dia yang kena pow. Kali ini, dah terbalik pula.

Namun, dia tak bersuara. Sekadar membiarkan Zara menghidangkan kek untuknya di dalam pinggan.

"Thanks," kata Nash seraya menyambut huluran Zara. Sesudu kek disuap ke mulut sebelum bibirnya spontan mengukir senyuman. Sedap!

Zara sudah bersorak dalam hati. Sanggup dia mencari kedai kek yang paling sedap untuk mencari perisa kek yang satu ini. Harga pun bukan main mahal! Tapi, demi kak Yasmin dia, Zara sanggup!

Zara berdehem perlahan. Masa untuk cucuk jarum pula! "Zara nak minta tolong Angah. Tolong sponsor." Zara berkata sambil tersengih.

Spontan, tangan Nash yang sedang menyuap kek itu terhenti. Mata terus tajam memandang Zara yang menayang muka tak bersalah itu.

"Oh, inilah agenda Zara sebenarnya? Nak angah sponsor?" Nash berkata bersama senyuman senget. Tangan yang memegang sudu sudah dijatuhkan dan pinggan ditolak ke tepi.

Zara tersengih. "Ala, sponsor benda kecil-kecilan aje pun. Bukannya event besar," kata Zara lagi.

Diam seketika. Dagu ditongkat dengan sebelah tangan dan kening diangkat sebelah. "Sponsor apa? Berapa?" tanya Nash. Rasanya dia perlu dengar dulu apa yang adiknya ingin katakan.

Cinta Berganti NyawaWhere stories live. Discover now