Malaysia. Enam bulan kemudian.
"IRINA! Aku dah sampai Malaysia!" Tak sempat nak memberi salam, Yasmin terus menjerit teruja melalui talian. Selain keluarganya, Irinalah orang yang paling dia tak sabar nak beritahu tentang ketibaannya.
Enam bulan sejak Irina pulang semula ke Malaysia, dan dia dah tak sabar nak berjumpa gadis itu semula.
"Wait. Yasmin? Ini Yasmin ke? An actual Yasmin?"
Tergelak kuat Yasmin dibuatnya. Gaya macam ada impostor pula si Irina ini bertanya. "Baru enam bulan tak jumpa, takkan dah lupa kawan sendiri kut?"
"Ya Allah! Yasmin!"
Cepat-cepat telefon dijarakkan dari telinga apabila suara Irina sudah memekik teruja di talian. Bibir masih galak menghambur tawa. Tubuh yang tadinya meniarap di atas katil, kini dilentangkan dengan mata menghadap ke siling.
"Kau kat mana ini, Yas?"
"Rumah."
"Kedah?"
"Ya, baru sampai. Dah selamat landing atas katil dah ini."
"Excuse me? Baru sekarang kau nak call aku? Patut kau call dari airport lagi!" Suara Irina berubah geram. Rasa nak dicekik-cekik saja Yasmin yang masih galak ketawa di talian. Ingatkan masih belum sampai Malaysia. Rupanya, dah selamat bergolek atas katil!
"So, bila aku boleh jumpa kau?" tanya Irina.
Yasmin tersenyum lebar. Turut sama teruju untuk berjumpa Irina. "Aku dapat training kat HKL. Lagi dua minggu aku masuk training. Bolehlah kita jumpa."
"Hah, cantik sangat dah itu. Aku pun kat KL. Bolehlah jumpa selalu."
Yasmin turut sama mengangguk. Banyak benda yang nak dikongsi dengan Irina setelah hampir enam bulan berpisah. Tapi, tak sempat dia hendak membuka mulut, ketukan dari muka pintu membuat kepala Yasmin spontan tertoleh ke sisi.
Muncul wajah Sharifah yang sudah berdiri di antara pintu yang sedikit terbuka. Perlahan-lahan, kaki dibawa masuk ke dalam dan dibawa ke birai katil si anak.
Menyedari niat Sharifah, cepat-cepat Yasmin menyudahkan perbualan mereka di talian. Maksudnya, ada sesuatu yang dibincangkan Sharifah dengannya.
Telefon diletak ke tepi sebelum dia membetulkan duduknya di samping Sharifah.
"Mak nak cakap sikit dengan Yas," kata Sharifah, memberi mukadimah.
Yasmin terus mengangguk. Mata sekadar memandang si ibu, menunggu apa yang hendak dibincangkan dengannya. Kalau tengok dari riak muka Sharifah sekarang ini, nampak gaya macam benda serius.
"Mak nak tanya pasal Wan."
Dengar sahaja sebaris nama itu, terus Yasmin menghela nafas panjang.
Ridwan. Anak ketua kampung yang tinggal hanya selang beberapa rumah dengan mereka, dan juga rapat dengan Yuzri, abang Yasmin.
Tapi, setakat itu sajalah hubungan mereka. Sekadar kawan kepada abangnya. Tapi, lain pula bagi Sharifah. Berkenan sungguh ibunya ini dengan Ridwan. Siap beberapa kali dinyatakan hasrat untuk mengambil lelaki itu sebagai menantu.
Masalahnya, dia langsung tak ada perasaan pada Ridwan. Bahkan, dah dianggap macam abang sendiri!
"Kenapa dengan Abang Wan?" Senada Yasmin bertanya.
"Ibu Wan tanya mak. Memandangkan Yas dah balik Malaysia semula, mungkin kita boleh pertimbangkan semula niat Wan nak jadikan Yasmin isteri dia?"
Yasmin mengeluh perlahan. "Mak, mak pun tahu keadaan Yas macam mana, kan?" tanya Yasmin perlahan.
YOU ARE READING
Cinta Berganti Nyawa
RomanceBetul kata orang, cinta tak semestinya memiliki. Gadis yang sering berkaca mata itu tidak pernah membayangkan hidupnya akan berubah dalam sekelip mata. Itulah yang terjadi tatkala dia dalam buruan seorang lelaki yang mendendaminya berpuluh tahun la...