Bab 6

465 34 0
                                    

KOT doktor yang tersarung di badan ditanggalkan sebaik sahaja jam menunjukkan pukul enam petang. Syifnya untuk hari ini sudah selesai, tapi entah kenapa, lelahnya dua kali ganda daripada biasa.

Nafas dihela panjang apabila mengingatkan selepas ini, dia akan keluar dengan Nash seperti yang mereka janjikan tempoh hari. Disebabkan syifnya yang berakhir petang, maka tawaran lunch semalam bertukar kepada late hi-tea petang ini.

Dah boleh bayang betapa kekoknya keadaan antara mereka berdua nanti. Entah apalah yang Nash fikir sampai nak ajak dia keluar bersama. Bukannya dia sejenis yang peramah dan banyak mulut. Silap hari bulan, mereka lebih banyak bercakap dengan angin aje nanti.

Keluar sahaja dari biliknya, telefon bimbit dikeluarkan untuk mencari Grab ke restoran yang dipilih Nash. Ralit mata memandang satu persatu senarai harga tambang Grab yang ditawarkan, cuba mencari tawaran yang paling berbaloi dan murah.

Sehinggalah, satu suara bingit tiba-tiba kuat kedengaran dari satu arah.

Pin!

Tersentak, Yasmin laju menoleh ke arah punca suara itu. Dahi berkerut tidak senang, namun hanya sesaat sebelum matanya meluas sebaik menyedari gerangan yang cukup dikenalinya itu sedang berdiri sambil bersandar di sisi sebuah kereta.

Nash?

Turun naik mata Yasmin memandang tubuh yang segak bersarung sut kerjanya itu. Masih tak percaya Nash muncul di depan mata. Bukan ke semalam dia dah kata yang dia nak pergi sendiri dan tak perlu berjemput?

"Hai," sapa Nash. Siap dengan senyuman yang semakin lebar terukir apabila Yasmin masih terkebil-kebil memandangnya. Dia nampak surreal sangat ke di mata Yasmin?

Namun, saat mata Nash jatuh pada skrin telefon di tangan Yasmin, spontan dia ketawa kecil pula. Kepala tergeleng perlahan.

"Tak payah Grab bagai. Membazir. I datang untuk jemput you," kata Nash.

Menyedari arah pandangan mata Nash, skrin telefon digelapkan semula. Kening berkerut memandang Nash yang masih berwajah santai. "Kan saya kata, tak perlu jemput saya. Saya boleh pergi sendiri."

"Apa salahnya I jemput? Boleh jimat duit daripada bayar Grab itu. Dah, jom masuk." Enggan memanjangkan topik, terus dia mengajak Yasmin masuk ke dalam keretanya.

Yasmin mengeluh perlahan. Susah betul kalau berurusan dengan orang yang nak ikut kepala sendiri ini. Mengingatkan Nash yang sudah pun muncul di depan mata, nak tak nak, terpaksalah dia akur sahaja dengan arahan lelaki itu.

"Encik, boleh tak kita tukar restoran?" Yasmin bersuara sebaik sahaja Nash memulakan pemanduannya. Teringatkan nama restoran yang dihantar Nash melalui mesej semalam, rasa seriau dia memikirkannya. Dahsyat betul pilihan lelaki di sebelahnya ini.

Sementara itu, Nash pula kerutkan dahi. "Kenapa? You tak makan makanan Barat?" Mustahillah Yasmin tak makan makanan barat sedangkan bertahun-tahun pengajiannya dihabiskan di negara orang putih itu.

"Bukan sebab itu. Tapi, saya tak mampu nak belanja Encik di restoran yang mahal-mahal macam yang Encik cadangkan. Saya baru mula bekerja." Penuh rendah diri Yasmin bersuara. Dia belum lupa akan jawatan Nash, dan nilai yang dipinjamnya dulu bukan sedikit.

Sebelah kening Nash terjungkit spontan. "I tak suruh you belanja pun."

"Tapi, Encik kata kita keluar ini untuk bayar hutang saya. Mestilah saya yang kena bayar, kan?"

Nash ketawa perlahan. "I suruh you teman I, Yasmin. Bukan belanja I. Being a gentleman that I am, I shall pay every time we go out, Yasmin."

Cinta Berganti NyawaWhere stories live. Discover now