YASMIN betulkan pakaian yang tersarung di tubuhnya sebelum nafas dihela panjang. Cuba mencari kekuatan untuk masuk ke dalam dewan kuliah untuk menerima keputusan assignment yang dihantarnya beberapa bulan lalu.
Bukan dia tak kenal sifat pensyarahnya kali ini. Dr. Rhidey bukannya calang-calang pendidik. Nak bagi markah pun susah. Penandaannya sangatlah strict. Kalau tak kena cara, memang ditolak mentah-mentah assignment yang dihantarnya.
Masuk sahaja ke dalam dewan kuliah, kelihatan ramai pelajar sudah mengambil tempat masing-masing. Dengan kepala yang menunduk, laju Yasmin bergerak ke arah meja yang biasa didudukinya sebelum telefon bimbit terus dikeluarkan dari poket seluar.
Aplikasi kalendar dibuka dan kepalanya terus laju mencongak hari. Tak lama lagi, teman serumahnya dah nak balik Malaysia. Jadi, dia akan bersendirian di sini sambil menghabiskan satu lagi semester yang masih berbaki memandangkan jumlah semester mereka berbeza disebabkan course pengajian yang berbeza.
Dia dalam bidang perubatan, sementara Irina dalam bidang seni bina.
"Jasmine."
Yasmin terkaku. Jari terus terhenti dari menyentuh skrin. Kejung sesaat apabila namanya disebut, namun sesaat kemudian, kepalanya diangkat memandang empunya suara yang memanggil.
"Yes?" Hampir tak terkeluar suara untuk bertanya apabila ada menangkap kelibat seorang lelaki sedang melangkah ke arahnya. Sehinggalah ada sekeping fail yang diletakkan lelaki itu ke atas mejanya.
"Thank you for lending me your notes. It helped a lot." Jody berkata dalam senyuman, sebagai tanda terima kasih walaupun dia taklah rapat mana dengan wanita bertudung di depannya ini.
Yasmin sekadar mengangguk sekali. Hanya sesekali dia memandang Jody, sebelum memilih untuk pura-pura membelek telefon bimbitnya.
"Sure. Glad... to help." Sepatah-sepatah Yasmin bersuara sebelum fail yang dihulur Jody tadi dicapai semula. Kepala masih kekal dilarikan dari memandang Jody.
"Can I buy you lunch? As a sign of gratitude?" tanya Jody lagi, sekadar berbahasa.
Dan, Yasmin laju menggeleng. Kaca mata di wajah terus dibetulkan seraya menegakkan duduknya di atas kerusi.
"No need. It's fine." Pantas Yasmin menolak. Terlalu mustahil untuk dia bersetuju dengan ajakan itu.
"I'll bring my girlfriend. We are not alone," ajak Jody lagi. Niatnya hanya nak membalas budi. Lagipun, dia sendiri dah berpunya. Jadi, tak adalah dia nak buat yang bukan-bukan dengan gadis Muslim di depannya ini.
Namun, sekali lagi, Yasmin menggeleng. Kali ini, lebih laju dari sebelumnya. "I don't want anything from you." Terpacul ayat itu dari bibirnya tanpa sempat dikawal.
Semerta, wajah Jody berubah. Senyuman yang terukir terus memudar sebelum bibirnya tercebik jengkel.
"What a snob," gumam Jody sebelum tanpa suara, tubuhnya terus dipusingkan untuk meninggalkan tempat Yasmin. Kalau dah orang tak nak, dia pun malas nak terus mengemis.
Sementara itu, tubuh Yasmin terus tersandar pada kerusi dengan tangan yang naik menekap dada. Apabila Jody sudah meninggalkannya, barulah dia dapat menghela nafas lega.
Dahi dipicit perlahan. Ada beberapa titis peluh yang sudah terbentuk di situ. Bersama keluhan perlahan, Yasmin mengelap dahinya perlahan sebelum botol air minuman dicapai dan diteguk sedikit.
"Rileks, Yasmin. Dia dah tak ada." Yasmin bergumam sendirian bersama sebelah tangan yang naik menepuk dada sendiri agar dapat bertenang. Bukan main laju jantungnya berdegup sekarang ini walaupun perbualan itu tadi hanya untuk beberapa saat sahaja.
YOU ARE READING
Cinta Berganti Nyawa
RomanceBetul kata orang, cinta tak semestinya memiliki. Gadis yang sering berkaca mata itu tidak pernah membayangkan hidupnya akan berubah dalam sekelip mata. Itulah yang terjadi tatkala dia dalam buruan seorang lelaki yang mendendaminya berpuluh tahun la...