SAKIT. Pedih. Bagaikan baru disepak terajang. Segala luka di badannya masih terasa segar. Bau darah semerbak memenuhi bilik kecil itu. Sakit yang tak mampu untuk ditanggung tubuhnya yang baru berusia lima tahun itu. Dia sudah tiada tenaga. Hanya jasad yang sudah nyawa-nyawa ikan.
"Jangan sentuh dia!" Suara teriakan seorang wanita kuat memekik di dalam kotej terpencil itu. Sayangnya, tak ada yang mendengar suara itu, dan takkan ada yang mampu mendengar.
Mereka berada di tengah hutan. Tanpa sesiapa.
"Bunuhlah aku. Tapi, bukan dia. Lepaskan dia. Dia tak bersalah." Setelah ayat itu, satu lagi sepakan mengena tepat di bahagian perutnya. Dan, dia hilang kesedaran.
Gelap-gelita. Hanya kesakitan itu yang masih terasa berterusan tanpa henti. Setiap pukulan diterima tanpa ada kesempatan untuk dia menolak apatah lagi membalas. Bahkan, mungkin kematian jauh lebih baik dari keadaan mereka saat ini.
"Maafkan mak, Yasmin."
Air mata Yasmin mengalir perlahan. Wajah Sharifah semakin hilang dari pandangan. Dan, dia hanya mampu menangi. Teresak-esak.
Sendirian, dan kelelahan.
MATA dibuka perlahan-lahan apabila kepala yang berat terasa semakin ringan. Ada beberapa suara dari sekeliling yang menariknya ke alam sedar. Sehinggalah satu cahaya menusuk pandangan sebaik sahaja matanya terbuka sempurna.
Sofa. Kerusi. TV. Water infuse. Dan, kesemuanya berwarna putih.
Pandang diri sendiri, Yasmin berkerut apabila menangkap tubuh sendiri yang terbaring di atas katil. Siap berselimut sehingga ke kaki.
Hospital?
Spontan, kepala terasa berdenyut. Tangan terus naik memicit dahi.
"Yasmin?" Satu suara menyerut lembut, dan Yasmin laju menoleh. Tersentak seketika apabila muncul Nash di sisi katilnya. Dari duduk, kaki itu sudah berdiri merapati katil pesakitnya.
"You okey? Sakit kat mana-mana?"
Yasmin menggeleng perlahan. Mulut dibuka untuk bersuara, namun tak terkeluar apabila tekak terasa kering.
Memahami gerak tubuh itu, cepat-cepat Nash mencapai secawan air lalu dibantu Yasmin untuk meneguknya perlahan-lahan. Sehinggalah cawan itu ditarik semula, dan wajah pucat itu perlahan-lahan berdarah semula.
"Berapa lama saya pengsan?" Barulah suaranya mampu dikeluarkan. Sempat kepala cuba mengingat apa yang berlaku sebelum ini. Tapi, semuanya terasa samar-samar.
"Daripada malam tadi. Sekarang dah pukul lapan pagi."
Tersentak juga Yasmin mendengarnya. Hampir semalaman juga dia pengsan? Padahal, bukannya dia cedera di mana-mana pun. Tapi, dia akui, keadaan mentalnya sangat terganggu dengan apa yang berlaku semalam. Dia jadi lelah dengan trauma sendiri.
"You ingat tak apa yang jadi semalam?" Walaupun berat, Nash tetap bertanya. Risau juga kalau Yasmin sakit semula, tapi dia perlu bertindak cepat kalau perkara ini nak dibawa ke pihak polis.
Sayangnya, Yasmin tergeleng perlahan. "Saya tak ingat sangat. Samar-samar."
"You cam muka lelaki itu?"
"Tak. Tak kenal."
"Ingat apa yang dia cakap dengan you?"
Sekali lagi, Yasmin menggeleng. Rasa macam ada sesuatu yang dia ingat, tapi dia tak pasti. Terlalu kabur.
YOU ARE READING
Cinta Berganti Nyawa
RomanceBetul kata orang, cinta tak semestinya memiliki. Gadis yang sering berkaca mata itu tidak pernah membayangkan hidupnya akan berubah dalam sekelip mata. Itulah yang terjadi tatkala dia dalam buruan seorang lelaki yang mendendaminya berpuluh tahun la...