"MACAM mana, angah?" Zara terus bertanya saat Nash melabuhkan punggung di atas sofa di sisinya. Mata bersinar-sinar menunggu jawapan si abang.
"Peliklah kawan Zara itu." Hanya itu yang Nash balas.
Mati terus senyuman di bibir Zara, sebelum dahi dikerutkan. "Pelik? Maksud angah?"
"Bila Angah sampai dekat meja, angah tengok dia macam sesak nafas. Dahi berpeluh. Muka pun pucat. Nak bercakap pun susah. Serius, macam orang tak boleh bernafas. Dia siap marah angah lagi!" kata Nash dengan dahi berkerut, cuba mengingat semula peristiwa semalam.
"Marah?" Zara sudah membetulkan duduk di atas kerusi. Setahunya, Yasmin bukan mudah nak marah orang. Nak bercakap pun susah, inikan pula nak marah-marah.
"Angah tengok dia dah sesak nafas macam itu. Jadi, Angah tepuklah bahu dia. Sebab, bila Angah panggil, dia tak dengar langsung. Tiba-tiba, terus dia tinggikan suara kat Angah."
Spontan, Zara menjulingkan anak mata. "Kalau dah sentuh anak dara orang, memang logiklah kena marah."
Refleks, sebelah kening Nash terjungkit. Triggered. "Eh, bukan Angah sengaja nak pegang pun. Niat nak tolong aje," omel Nash dengan riak tak puas hati. Gaya adiknya ini, macam nak cakap dia memang sengaja pegang-pegang anak dara orang. Cis!
"Okey, so apa jadi lepas itu? Apa jadi dengan discussion Angah?"
Nash menghela nafas. Bahu diangkat sedikit. "It went well. Angah setuju nak jadi penaja."
Dan, mata Zara terus bersinar teruja. Hampir melompat seronok daripada sofa mendengarkan berita itu. Terus lengan si abang digenggam erat dengan mata yang tak berkelip memandang. Meminta Nash melanjutkan cerita.
"Well, Angah mengaku. Kerja dia memang kemas. Angah tertarik dengan pembentangan dia. Except for the fact that she's weird, everything else is fine."
Senyuman lebar Zara tadi bertukar kepada cebikan apabila mendengar ayat terakhir itu. Tak habis-habis nak panggil Yasmin pelik.
Yasmin tak pelik. Tak juga gila. Dia hanya ada masalah sendiri. Rahsia peribadi. Bukan ke semua orang ada rahsia masing-masing?
"Dia tak peliklah, Angah. Dia cuma trauma sikit."
Kali ini, kening Nash terjungkit sebelah. Tubuh terus dipusing agar menghadap Zara. Kali ini, dia tertarik untuk mendengar.
"Trauma apa?" tanya Nash, penuh minat. Sayangnya, segala keterujaannya jatuh merudum apabila Zara mengangkat bahu dengan selamba.
"Entah. Kak Yas tak pernah cerita. She's very private when it comes to her past. Apa yang Zara tahu, dia senang gugup dengan lelaki. Ada isu dengan lelaki agaknya sebelum ini."
Nash terangguk perlahan. Terbayang kembali pertemuan mereka semalam. Memang dia akui, Yasmin nampak takut benar dengan kemunculannya. Cuma, lama-kelamaan, barulah gadis itu dapat membiasakan diri.
Tiba-tiba, terdetik satu soalan dalam kepala. "Macam mana nak bekerja sebagai doktor nanti? Nak jumpa patient?" soal Nash lagi. Pesakitnya nanti bukan boleh dikawal lelaki atau perempuan. Nak tak nak, Yasmin tetap perlu handle pesakit lelaki.
"Sebab itu, Zara cakap dia cuma senang gugup dengan lelaki sebab trauma. She is mentally stable. Bila berkaitan dengan passion Kak Yas, dia jadi senang nak overcome rasa takut dan trauma itu. She's fine in front of patients. Cuma, untuk beramah mesra itu, susah sikitlah."
Sekali lagi, Nash terangguk perlahan. Patutlah rancak saja Yasmin membentangkan kertas kerja semalam. Cuma, sebaik sahaja habis perbincangan mereka tentang isu kerja, Yasmin yang pasif itu muncul semula. Berat betul mulut nak menjawab kata-katanya.
YOU ARE READING
Cinta Berganti Nyawa
RomanceBetul kata orang, cinta tak semestinya memiliki. Gadis yang sering berkaca mata itu tidak pernah membayangkan hidupnya akan berubah dalam sekelip mata. Itulah yang terjadi tatkala dia dalam buruan seorang lelaki yang mendendaminya berpuluh tahun la...