Memang kita tidak boleh mengaitkan penyakit mental dengan lemahnya iman, tapi bagi saya setiap ujian dalam hidup adalah untuk menguji iman. Meneguhkan hati dan menarik kita kembali bergantung pada Ilahi.
Saya sangka kekusutan yang saya alami kerana banyaknya dosa yang saya lakukan, teguran Allah untuk saya kembali memperbaiki diri. Lalu, saya mencuba sedaya-upaya untuk memperbaiki amalan rohani.
Saya sangka dengan berusaha sedaya-upaya meningkatkan amalan saya boleh kembali pulih dan sihat. Tapi hidup makin kusut, fikiran makin celaru dan jiwa makin resah. Untuk beribadah dalam keadaan itu sangat sukar. Saya cuma mampu menyalahkan diri kerana terlalu lemah untuk melawan.
Akhirnya, saya terpaksa bertemu psikiatri dalam ketakutan untuk bercerita tentang apa yang tersimpan dalam jiwa sekian lama dan ketakutan jika kesan ubat yang diambil akan memberi akibat yang lebih teruk.
Namun, apa yang lebih teruk dari kehilangan nyawa. Bila saya tidak berhenti berfikir untuk menamatkan riwayat kehidupan. Mendapatkan apa saja rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa adalah kewajipan.
Selepas makan ubat, sesi terapi, dan pelbagai rawatan alternatif. Bila saya berani berdepan masa lalu, melihat masalah satu persatu dan mencariknya dari fikiran dan jiwa saya, dan menyerahkannya kepada Allah untuk diselesaikan. Hidup jadi lebih mudah.
Iman bukan sekadar soal solat, puasa, zakat dan zikir sahaja. Iman adalah keyakinan bahawa hidup bergantung hanya kepada Allah. Bahawa dunia yang sementara adalah ladang untuk meraih pahala untuk akhirat sana.
Berikhtiar untuk terus hidup dan menjadi hamba Allah yang tidak punya apa-apa adalah satu cara untuk terus beriman. Yakin, segala harta, kesihatan, kebijaksanaan, kekuatan, rezeki semuanya milik Allah. Hanya pinjaman sementara yang boleh diambil bila2 masa.
Bagi saya sakit ini adalah berita gembira, Allah masih bersama saya. Saya masih tidak sempurna, iman saya masih terlalu lemah. Tapi, saya mencuba sedaya-upaya untuk terus hidup dan tidak mengalah.
Untuk yang berdepan kekusutan hidup seperti saya, jangan takut untuk dapatkan rawatan dari mereka yang professional. Dan jangan sombong untuk kembali kepadaNya.