Contemplation

1 0 0
                                    

Lama saya tidak memandu sendirian. Sebab kali pertama saya terkena serangan seperti panic attack yang saya sendiri tidak tahu apa namanya, adalah ketika memandu.

Beberapa kali saya memandu, berhenti untuk berehat tapi tidak berdaya untuk meneruskan pemanduan. Dalam kepala berfikir untuk menamatkan kehidupan. Tapi bimbang jika saya benar-benar hilang kawalan dan berlaku kemalangan. Jadi saya berhenti memandu dan menelefon seseorang untuk membawa saya pulang.

Setelah beberapa kali berulang, saya tidak berani lagi memandu sendiri. Saya juga sudah jarang-jarang memandu jauh. Tapi saya tidak pernah berhenti memandu, satu perkara yang amat saya syukuri.

Tapi tadi saya terpaksa memandu sendirian ke Kajang atas urusan kerja. Siang hari memang saya rehat secukupnya untuk bekerja malam. Bimbang serangan berlaku jika saya tidak cukup rehat.

Tanpa sedar saya mula berfikir tentang kehidupan sambil memandu. Saya mula tersedar betapa lama saya berhenti berfikir. Dahulu, memang ketika memandu sendirian saya akan mengambil masa untuk berfikir.

Walaupun banyak masa di rumah kerana sudah tidak bekerja tetap, tapi saya tidak dapat membaca buku mahupun berfikir. Apa yang termampu adalah membaca Al-Quran sedikit demi sedikit.

Nikmat membaca, berfikir dan menulis adalah anugerah yang sangat indah. Lebih indah dari nikmat makanan yang lazat. Kepuasan yang sukar untuk digambarkan.

Walaupun sebentar, saya rasa lebih tenang. Merenung kehidupan yang seketika dan betapa banyak yang boleh saya lakukan untuk mengisinya.

Memang banyak masa yang telah berlalu pergi, banyak yang telah dibazirkan begitu saja. Semoga Allah mengampunkan dosa hambaNya yang lemah ini.

Semoga ada kekuatan untuk terus berusaha, mengisi masa yang tersisa dengan lebih bermakna. Saya masih tidak pasti apa yang saya mahu lakukan. Tapi saya tidak akan pernah berhenti melangkah.

Biar perlahan dan lambat, saya berdoa ada pahala dalam setiap langkah itu. Ada bahagia yang menyinari hingga ke syurga. Dan ada keredhaan berserta keampunan Tuhan bersama.

My Healing DiaryWhere stories live. Discover now