Puan Kalsom mengesat birai matanya yang basah. Hatinya terlalu sebak dan terharu.
"Danish... Mina...,"
"Mak tak sangka kamu berdua setuju,"
Danish tersenyum memujuk. "Danish akan bagi mak apa saja yang mak nak selagi Danish mampu. Lagipun Danish rasa hajat mak ni akan bawa kebaikan untuk kita semua. Kami berdua masih belum ada pasangan yang sebenar. Apa salahnya kami kahwin, bukan?," ujar Danish.
Najmina mengemam bibirnya. Pelbagai perasaan menyelubunginya. Bermacam-macam. Dia sendiri tidak tahu apa yang dia rasa. Mungkin dia rasa lega dan tenang kerana dia dapat bahagiakan hati Puan Kalsom. Ibunya.
Mereka berdua sedar... Puan Kalsom tidak pernah menyuakan kehendak hatinya pada mereka berdua. Tapi mereka tahu apa yang Puan Kalsom impikan. Impian untuk melihat Danish dan Najmina disatukan.
Sudah dua tahun lebih... Puan Kalsom cuba mendekatkan mereka. Jika mereka pulang pada waktu yang sama, mesti Puan Kalsom cuba cari cara untuk mereka berinteraksi dengan lebih lagi. Dalam dua tahun ini juga, mereka kerap pulang pada waktu cuti umum jadi kedua-duanya selalu terserempak.
Akhirnya pada suatu hari, Danish dan Najmina berhadapan dengan Puan Kalsom. Danish meminta izin untuk berkahwin dengan Najmina.
Kejutan yang sangat memberi impak pada hari jadi Puan Kalsom. Hampir menangis wanita separuh umur itu bila melihat kesungguhan anak-anaknya untuk memenuhi apa yang dia impikan dalam diam. Uhm... Walaupun jelas.
"Mak dah bagi kami kasih sayang yang tak ternilai dan tak terhingga. Tapi... kami buat keputusan ini bukan kerana itu. Kami ikhlas. Kami ikhlas nakkan hajat mak tercapai. Kami sanggup buat apa saja untuk bahagiakan mak pula. Mak izinkan ya kami cuba balas jasa mak yang mungkin kami takkan mampu balas itu," ujar Najmina dengan nada tersekat-sekat. Dia sebak.
Mereka tahu Puan Kalsom sangat inginkan perkara ini. Walaupun mereka hanyalah kenalan biasa sahaja, mereka tetap bersepakatan dalam perkara ini... untuk perkara ini. Mereka serius.
Puan Kalsom sedikit teresak-esak. Anak-anaknya...
Najmina dibawa ke dalam pelukan.
"Terima kasih, anak-anak mak,"
~~~
Dua bulan kemudian...
Majlis perkahwinan kecil-kecilan diadakan di perkarangan rumah Puan Kalsom. Tetamu yang dijemput hanyalah jiran-jiran terdekat.
Majlis kahwin Danish dan Najmina ini boleh didefinisikan sebagai sederhana. Dua hari lepas mereka bernikah di masjid dan hari ni majlis dijalankan.
Itu pun semata-mata sebagai adat supaya perkahwinan ini diketahui bagi mengelak sebarang fitnah.
Petang itu...
Majlis sudah beransur tamat. Orang-orang kampung menghulur tangan untuk membantu apa yang patut. Persediaan majlis kahwin ini juga banyak dibantu oleh jiran-jiran terdekat yang ringan tulang. Memasak dan menaikkan khemah... Semua itu dilakukan beramai-ramai. Puan Kalsom pula tiada saudara mara yang lain selain dari Najmina, anak saudaranya itu.
Puan Kalsom berdiri di tengah-tengah pasangan pengantin itu dengan senyuman bahagia. Gambar mereka bertiga ditangkap. Najmina dan Danish turut tersenyum di dalam gambar itu. Kebahagiaan Puan Kalsom, kebahagiaan mereka juga.
Rumah panjang Puan Kalsom sebagai latar belakang menambah makna gambar itu. Pokok bunga kertas yang tumbuh tinggi menjadi hiasan di dalam gambar indah tersebut.
Keesokan harinya...
Najmina menyalami Puan Kalsom. Danish pula di sisinya hanya memandang sambil menjinjit dua beg pakaian.
"Kami pergi dulu, mak," ujar Najmina dengan sebak.
Dia sendiri belum hadam yang dia sudah selamat menjadi isteri orang. Isteri Danish pula tu! Dan sekarang ni mereka akan pulang ke Kuala Lumpur dan meneruskan hidup mereka yang tak tahu macam mana nanti. Tapi depan Puan Kalsom, mereka berdua pura-pura rapat yang sopan. Dia orang tak nak susahkan hati Puan Kalsom.
"Hati-hati bawa kereta ya Danish," pesan Puan Kalsom.
Matanya yang berkaca diabaikan. Puan Kalsom menarik Najmina ke dalam pelukan erat.
"Mina dah jadi isteri orang... Jaga rumah tangga dengan Danish baik-baik ya. Mak sayangkan kamu berdua sangat-sangat," kata Puan Kalsom dengan sebak.
Najmina hanya mengangguk kerana suaranya seperti tidak terkeluar. Dia sangat beremosi ketika ini.
Kemudian, Puan Kalsom menoleh pada Danish dengan senyuman.
"Danish jaga isteri Danish baik-baik ya. Anak mak dah jadi suami orang dah...," gumam Puan Kalsom seperti tidak percaya. Dia terlalu terharu.
"Kami bertolak dulu, mak. Mak jaga diri tau. Nanti bila dah sampai kita orang telefon mak," kata Danish. Dia cuba tutup rasa sebak.
"Yalah. Jangan bawa kereta laju-laju. Sekarang dah malam. Kalau rasa mengantuk, berhenti dulu di mana-mana RnR," pesan Puan Kalsom serius. Berat betul rasa nak lepaskan anak-anaknya ini. Pasti rumahnya akan terasa sunyi semula.
"Assalamualaikum," ucap Najmina dengan senyuman manis.
"Waalaikumussalam," balas Puan Kalsom dengan berat hati.
Danish dan Najmina berpimpingan tangan sebelum berpisah untuk ke kereta masing-masing yang bersebelahan.
~~~
10 malam...
Telefon Najmina bergetar menandakan ada mesej masuk. Dia memperlahankan kelajuan keretanya dan membuka telefon tersebut.
Danish menghantar satu alamat.
Kita jumpa di tempat letak kereta dulu tau.
Pesanan dari Danish itu dibaca.
Okay.
Kemudian Najmina simpan semula telefon itu dan fokus pada pemanduan. Nampaknya dia kena tamatkan tempoh dia menyewa di rumah sewanya. Dia dan Danish akan tinggal di apartment milik Danish ke?
Najmina dah boleh bayangkan yang setiap masa dia akan berasa kekok. Haish... Habislah.
Nasib dia jenis sibuk orangnya. Danish juga begitu. Jadi harapnya mereka jarang bertembung.
YOU ARE READING
The Fall Theory
Romance[Completed] 𝙸𝚗𝚝𝚛𝚘𝚞𝚍𝚞𝚌𝚒𝚗𝚐... Danish Lee bin David Lee. The Sweet Playboy. "I know why you fell. Because it's a warning before you fall in love with me," 'Because you are you and I love you,' Pertama kali si playboy itu buat ungkapan sede...