Beep! Beep! Beep!
Bunyi monitor di sebelah katil Luna berbunyi menandakan bacaan detakan jantungnya. Usai pulang dari berkelah, mereka bergegas menghantar Luna ke hospital. Luna tiba-tiba pengsan saat mereka semua sedang mengemas barang. Cemas dengan keadaan itu, Tuan Jas dan Puan Sofia terus menghantar Luna ke hospital dan berulang alik mengambil Lila dan yang lain.
Doktor dan jururawat keluar masuk wad kecemasan dengan wajah yang sukar ditafsirkan. Tuan Jas berusaha menenangkan isterinya yang tidak berhenti menangis. Mereka semua risau dengan keadaan Luna yang tidak membaik.
"Luna akan sembuh kan?" soal Puan Sofia. Tuan Jas tidak menjawab pertanyaan isterinya malah memeluknya bagi menenangkan dirinya. Dia tahu ini semua ujian yang sangat berat buat mereka sekeluarga.
Setelah beberapa jam kemudian, Dr Lee menghampiri keluarga Tuan Jas. Riak dan ekspresi wajahnya tampak sugul dan hal itu membuat mereka semua khuatir. Tetapi mereka sudah mempersiapkan hati untuk menerima apa-apa khabar daripada doktor mengenai keadaan Luna.
"Kadar oksigen dalam otaknya semakin menurun dan dukacita kami maklumkan bahawa sel kanser telah merebak ke seluruh tubuhnya dan satu-satunya cara untuk menyelamatkan Luna adalah kita akan menjalankan pembedahan. Ini adalah untuk membuang sel-sel tumor yang dari tisu otak."
Mereka terkejut mendengar penjelasan Dr Lee. Pembedahan bagi pesakit kanser adalah sesuatu yang membimbangkan walaupun kadar keberhasilan daripada cara itu adalah tinggi. Namun ada risiko yang harus ditanggung.
"Kami akan melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan cik Luna." Kata Dr Lee sebelum meninggalkan mereka.
"Mama...Luna akan sembuh kan? Lila ada baca kalau banyak pesakit yang boleh sembuh lepas pembedahan. Luna pun sama kan?" soal Lila kepada Puan Sofia. Wanita itu terus memeluk anak gadisnya itu. Mereka semua tidak mampu menahan rasa sedih dan sebak mendengar tentang keadaan Luna yang semakin kritikal.
"Kita berdoa sahaja. Semoga Luna diberikan kesembuhan," kata Tuan Jas.
"Macam mana dengan Luna, Jas?" soal Tuan Carl. Mereka sekeluarga baru sahaja sampai di hospital setelah mendapat berita mengenai pembedahan Luna. Beberapa saudara mara turut datang mengunjungi. Masing-masing memberikan kata-kata semangat kepada keluarga itu.
"Doktor cakap itu sahaja caranya sekarang memandangkan keadaan Luna kurang stabil dan kritikal. Kesan kemoterapi membuat imun badannya merosot dan kadar oksigen dalam otaknya pula makin menurun hari demi hari."
Tuan Carl menepuk-nepuk belakang Tuan Jas untuk menenangkan sahabatnya itu. Dia pasti Tuan Jas pasti sangat terpukul dengan berita itu walaupun dia pamer wajah yang tenang. Puan Sofia pula semakin lemah dan tidak bermaya. Puan Mona yang berada di sampingnya membantu menenangkannya.
Mereka semua setia menunggu di ruang menunggu. Beberapa kali mereka berdiri melihat ke arah pintu wad kecemasan. Tuan Jas mundar-mandir sebab tidak senang duduk sambil menanti doktor yang sedang menjalankan pembedahan. Beberapa pesakit di bawa masuk ke dalam wad itu juga menjadi tumpuan mereka.
"Jas, bawa bersabar." Panggil Tuan Carl. Namun rasa risaunya membuak-buak dan dia tidak dapat menenangkan perasaannya yang begitu gelisah saat itu. Puan Sofia masih lagi duduk memandang kosong lantai jubin hospital. Beberapa doktor yang melewati mereka hanya memberikan pandangan simpati. Seluruh staf hospital tahu tentang keadaan Luna dan mereka turut berasa kasihan dengannya.
Tuan Jas mengerling ke arah isterinya yang sudah tidak bersuara dari tadi. Dia mengingat perbualannya dengan Luna beberapa hari lepas sebelum mereka sekeluarga berkelah. Luna menyatakan permintaannya.
Luna nak pergi berkelah. Kita satu keluarga. Kita dah lama tak pergi ke pantai. Dengan mama, atuk dan Lila. Oh, bawa Bik Nor sekali. Mesti dia seronok. Boleh kan, papa?
YOU ARE READING
[HER S1] DHIA LUNA | completed
Ficção AdolescenteDHIA LUNA mengisahkan perjalanan hidup penuh liku seorang gadis bernama Dhia Luna. Mempunyai keluarga yang dianggap sempurna dan bahagia membuat ramai berfikir hidupnya turut bahagia. Namun tiada sesiapa tahu betapa peritnya hidup yang dijalani har...