Puan Sofia hanya memerhati gerak-geri suaminya dalam diam. Dari pagi tadi, dia tidak mengeluarkan sepatah kata mahupun menjawab pertanyaan Tuan Jas. Dia masih lagi sakit hati dengan sikap suaminya.
"Awak ni, sampai bila nak marah? Kita dah bincang kan semalam?" soal Tuan Jas.
"Bincang? Tu awak kata bincang? Eh, orang kalau bincang, duduk sama-sama and buat keputusan sama-sama. Ni tak! Awak dah buat keputusan then baru nak tanya saya!"
Marah Puan Sofia kian membuak-buak apabila suaminya telah meletakkan nama Luna sebagai pewaris syarikat suaminya. Dia tidak faham dengan keputusan suaminya yang dirasai berat sebelah.
"Kenapa awak cakap macam ni? Apa salahnya?"
"Salah lah! Awak tahu kan Luna tu ada kakak. Lila namanya kalau awak lupa." Sindiran Puan Sofia agak menyinggung perasaan Tuan Jas.
"Saya tak fahamlah dengan perangai awak ni. Saya tahu Lila juga anak saya. Sebab tu saya wariskan sebahagian lagi harta saya dekat dia."
Walaupun sudah dijelaskan, namun Puan Sofia tetap dengan egonya. Masih cuba memenangkan pertelingkahan itu. Pening dengan perangai isterinya yang makin hari makin pelik, Tuan Jas keluar dari bilik itu.
"Awak! Saya tak habis cakap lagi ni!"
Namun Tuan Jas sudah lesap. Puan Sofia mengurut-urut dadanya yang sesak. Kepalanya turut pening kerana bertengkar dengan suaminya. Sejak Luna lahir, ada sahaja isu yang menjadi perbalahan kedua suami isteri itu.
Dari biliknya, Luna kaku berdiri. Mendengar setiap butir bicara ayah dan ibunya. Pergaduhan itu berlaku semakin kerap sejak ayahnya pulang dari luar negara. Dahulu ada saja pertengkaran berlaku namun tidak sekerap sekarang.
Mama, Luna yang salah lagi kan?
Dan dari setiap pergaduhan itu, Luna menjadi mangsa. Dia tidak berhenti mendapat leteran atau sindiran daripada ibu kandungnya. Ada satu detik Luna berfikir untuk pergi daripada rumah itu dan menjalani kehidupannya sendiri namun hatinya masih tidak siap untuk meninggalkan keluarganya.
Apa salah Luna, ma? Kenapa mama begitu benci dengan Luna?
Luna mengatur langkah menuju ke meja belajar. Buku diari lama berwarna hijau muda yang sudah pudar itu dicapai. Luna gemar menulis diari dan hal ini dia lakukan sejak kecil. Pelbagai cerita dicoret di dalamnya. Kisah-kisah kehidupannya yang penuh dengan warna ditumpahkan ke atas buku diari itu. Air matanya juga turut menitis di atas lembaran putih bergaris hitam setiap kali tangannya mencatat diari kehidupannya.
Diary Luna,
Hari ni papa dan mama gaduh lagi. Luna tidak tahu apa masalahnya, tapi Luna ada dengar mereka gaduh tentang harta warisan. Kata papa, Luna dapat aset syarikat. Mama tidak puas hati dan marah dekat papa. Apakah salah itu di mata mama? Patut kah Luna minta papa tarik balik? Papa tak akan marah kan? Luna sayang mama. Luna juga sayang papa.
Oh, hari ni Luna jumpa dengan Riana. Dia nak jadi kekasih Ian. Luna tak tahu apa yang Luna rasakan. Patut kah Luna biarkan mereka? Atau...um, tak tahulah. Luna pening!
Nenek selalu pesan dekat Luna. Setiap ujian pasti ada hikmahnya. Setiap badai yang menerpa pasti akan ada surutnya dan selepas hujan pasti ada pelangi. Hidup Luna juga begitu. Dan kerana nenek, Luna percaya hidup Luna akan baik-baik saja.
Luna menutup semula buku diari itu setelah menulis bait-bait terakhir. Luna tiada tempat mengadu. Dengan kakaknya? Tentu saja diabaikan. Puan Sofia? Wanita itu tidak pernah mendengar keluhan atau cerita daripadanya. Bahkan Luna rasa jurang antara dia dan ibunya semakin renggang. Kalau ayahnya pula, sibuk dengan kerja dan ini membuatkan Luna tidak berani memberitahu apa-apa kepada ayahnya.
YOU ARE READING
[HER S1] DHIA LUNA | completed
Fiksi RemajaDHIA LUNA mengisahkan perjalanan hidup penuh liku seorang gadis bernama Dhia Luna. Mempunyai keluarga yang dianggap sempurna dan bahagia membuat ramai berfikir hidupnya turut bahagia. Namun tiada sesiapa tahu betapa peritnya hidup yang dijalani har...