SELAMA tiga hari berturut-turut Habib menghantar dan menjemputku pulang dari tempat kerja. Balik pun tidak terus pulang ke rumah tetapi dia melencong ke tempat lain. Usahanya itu semata-mata mahu mengenali sesama sendiri sekaligus ia mengeratkan lagi hubungan kami. Aku selesa berada di sampingnya. Walaupun tidak banyak persamaan kami, tapi sekurangnya ada dua. Perbezaan kami adalah Habib suka menjelajah negara sebagai pengembara manakala aku lebih suka dengan cara pelancong. Tidak ketara sangat. Masih boleh diterima. Dua-dua suka berjalan. Yang paling ketara adalah, lelaki itu suka melihat perlumbaan kereta-kereta di tepi jalan raya. Semasa dia membawa aku ke situ, aku mengucap panjang. Keadaannya hampir sama dalam filem-filem tempatan seperti KL Drift atau yang paling popular adalah Tokyo Drift. Sungguh tidak kena dengan seleraku. Rasa macam masuk ke alam lain, alam yang aku boleh katakan... alam manusia-manusia berperangai tidak seperti manusia. Kami pernah bergaduh disebabkan perkara itu. Mujurlah sekejap sahaja sebab Habib pandai pujuk. Yang membahagiakan aku adalah, Habib juga suka bersenam di gim sepertiku dan dia juga suka food hunting.
"Awak free tak hujung minggu ni?"
Aku mengiring sedikit agar dudukku lebih dekat pada Habib. Lelaki itu tenang memandu.
"Hujung minggu? Rasanya... tak ada hal, kenapa?"
"Kita pergi gim? Sebab biasanya saya akan ke gim setiap hujung minggu. Awak nak ikut tak?"
"Boleh je." Aku tersenyum girang. Membetulkan semula posisi duduk seperti tadi dan sambung berkhayal.
"Hulya, saya nak bawa awak jumpa seseorang."
"Siapa?" Mataku tertunak pada Habib.
"Nanti awak tahulah." Dia sengih padaku. Makin aku tak keruan ingin tahu.
"Kenapa saya perlu jumpa dia?"
"Sebab dia nak sangat jumpa awak."
"Tapi kenapa?"
Tidak semena, Habib ketawa kecil.
"Dia selalu macam tu, over protective. Dia tak suka kalau perempuan yang dekat dengan saya sekadar nak main-main. Dia garang tau. Tapi awak jangan risau, dia baik je." Habib masih dalam tawa.
Gulp. Liur ditelan. Mungkin yang dimaksudkan adalah maknya? Serta-merta aku gementar kecil. Jantung berdegup laju. Aku tarik nafas dan hela perlahan. Cermin kecil di hadapan dibuka. Mengemas rambut yang sudah tersedia kemas. Aku meneliti solekan pada wajah agar tidak keterlaluan. Barulah mak mentua tengok terus berkenan. Kalau nasib baik, boleh dapat lampu hijau hari ni juga.
Aku bisik pada diri sendiri;
Aku dah bersedia!
~
Habib memimpin tanganku masuk ke sebuah restoran makanan Jepun yang terletak di pusat beli-belah. Rasa gementar aku makin menjadi-jadi. Telapak tangan berpeluh sakan hingga menarik perhatian Habib.
"You're sweating. Are you okay?"
"Nah... okey je. Saya selalu macam ni. Hiperhidrosis." Aku melepaskan genggaman tangan. Takut Habib tidak selesa nanti. Belum sesaat, dia tarik balik tanganku. Genggam sangat erat. Hatiku berbunga-bunga.
Keadaan di dalam restoran lengang sahaja walaupun agak ramai juga pelanggan. Aku perhati arah mata Habib, mataku turut meliar mencari. Tidak sabar nak tengok figura yang disebut Habib tadi. Langkah kaki kami menuju ke arah sebuah meja yang diduduki oleh seorang perempuan muda. Aku teka, lingkungan usianya lebih kurang baya aku.
"Habib!" Sapa perempuan setelah perasan akan kehadiran kami. Aku tergamam sekejap tatkala melihat gelagatnya. Dia menggapai-gapai tangan ke atas seperti seorang bayi meminta untuk didukung. Begitulah, lebih kurang. Teruja benar dia lihat muka Habib.
YOU ARE READING
DEAR SOULMATE - DUHAI KEKASIH [C]
Short StoryMenyakiti dan tersakiti tidak seharusnya terjadi dalam sesebuah hubungan jiwa. Namun lumrah manusia, suka mencuba sesuatu yang baru. • ✨SINOPSIS RINGKAS✨ HULYA seorang wanita berperwatakan yang menarik, boleh dikatakan gadis millenium. Seorang yang...