INI merupakan hari bersejarah dalam hidup aku. Setelah 2 tahun lebih 'terikat' dengan Jibril, akhirnya aku merasa bebas. Bebas buat sebenar-benarnya. Sejak malam luahan hati tempoh hari, lelaki itu tidak lagi munculkan diri sampai ke hari ini. Mengikut perhitunganku, lebih kurang 8 hari. Aneh juga sebenarnya kerana hanya sepatah aku keluarkan, dia sudah menghilang. Tidak seperti kebanyakan lelaki, pasti akan mencuba lagi dan lagi. Tapi tidak mengapalah. Aku malas serabutkan kepala dengan perkara remeh begitu. Dia berhak pergi. Dan aku bahagia dengan status hubungan aku sekarang. Single.
Namun dalam bahagia, ada juga dukanya. Apakan daya.... dia bukan jodohku.
Maksudku, Adi Fahim.
Ah! Patah seribu hatiku seperti lirik lagu Shila Amzah. Ku sangkakan bukan kepunyaan sesiapa ternyata sudah ditanda oleh seseorang. Dia sudah bertunang! Sehari aku muncung dengan Arasha. Bengkak hati diberi harapan palsu.
"Hulya... I'm so sorry... I lupa nak update yang dia dah bertunang minggu lepas. I'm so sorry. I'm super busy from last week till now."
Masih segar di ingatan, Arasha menghadiahkan sejambak bunga matahari sebagai hadiah untuk memujukku. Katanya bunga matahari dapat menjadikan hari-hari suram menjadi indah. Aku cair dengan pujukkannya. Romantik mengalahkan A Knight in Shining Amour. Andai saja dia lelaki, sudah lama aku ajak kahwin. Andai sajalah.
Arasha juga hairan bagaimana aku mengetahui pertunangan Adi Fahim sedangkan hanya ahli keluarga terdekat sahaja dijemput. Jawapan aku mudah sahaja. Dengan selamba badak, aku melamar lelaki itu tanpa usul periksa. Bila diberitahu, aku tidak tahu mana nak sorok muka aku yang cantik ini. Malu teramat sangat. Bahana kerana terlalu gelojoh.
Aku menyisip kopi latte sambil menikmati pemandangan bangunan minimalis Eiffel Tower di luar restoran. Dua ban croissant masih belum dijamah. Aku masih belum puas menikmati kecantikkan makanan tersebut. Terlampau cantik untuk dimakan. Mengingatkan banyak tempat lagi aku harus ziarah, akhirnya aku makan. Sejak peristiwa lamaran tidak jadi, aku nekad untuk tidak mengejar cinta. Sebuah buku aku hadiahkan untuk diri sendiri.
Book's planner.
Di situ aku catat aktiviti buat diri sendiri. Semata-mata mahu melupakan rasa sunyi dan sedih. Dan hari ini, cuti hujung minggu padat. Semua aktiviti aku sumbat pada cuti dua hari ini. So far, so good. Hari pertama tidaklah membosankan.
Aku habiskan makanan dan berlalu. Hari ini aku bergerak solo, bak lirik lagu Jennie, Blackpink;
I'm going solo lo lo lo lo!
Well... sendirian lebih seronok. Lebih kepada pujuk hati sendiri. Hajat nak bawa Aisha, rakan lamaku, namun tidak kesampaian. Sering sahaja sibuk kerja. Padahal baru sebentar tadi aku lihat post di Instagram-nya dia sedang berada di sebuah pulau bersama teman-temannya yang lain. Disebabkan perkara begitu, aku serik nak percaya 'kawan'. Harus bagaimana lagi, orang tidak sudi. Mahu ajak orang rumah, aku tidak rapat dengam mereka. Arasha, jauh sekali. Anak-anaknya adalah penghalang utama. Reda sajalah.
Aku singgah di Bukit Jalil Nursery sekadar mencuci mata dengan kepelbagaian flora di tengah kesibukan hutan batu. Aku memilih tapak semaian pokok sebagai destinasi kedua. Melihat tumbuhan atau bunga merupakan satu terapi buat jiwa yang sedang galau. Aku berjalan perlahan menyelusuri para yang diletak pelbagai jenis tumbuhan. Kebanyakannya adalah bunga. Mata tidak lepas meneliti satu persatu bunga-bunga tersebut. Setiap bunga juga diletak nama komersial dan nama saintifik. Bagus juga begitu, sambil memilih bunga sambil belajar. Boleh tambah pengetahuan am. Langkah kaki terhenti tatkala anak mata menangkap imej bunga warna biru seakan keunguan. Aku belai kelopak bunga tersebut. Seumur hidup aku tidak pernah melihat bunga tersebut. Sungguh cantik kejadiannya.
YOU ARE READING
DEAR SOULMATE - DUHAI KEKASIH [C]
ContoMenyakiti dan tersakiti tidak seharusnya terjadi dalam sesebuah hubungan jiwa. Namun lumrah manusia, suka mencuba sesuatu yang baru. • ✨SINOPSIS RINGKAS✨ HULYA seorang wanita berperwatakan yang menarik, boleh dikatakan gadis millenium. Seorang yang...