TIDURKU disapa oleh cahaya biasan lampu tidur. Buka sahaja mata, aku disajikan dengan pemandangan yang sungguh indah. Macam tidak percaya dengan apa yang aku lihat kini. Satu susuk tubuh sedang berteleku di tikar sejadah. Dia membelekangiku. Dari tepi, aku dapat lihat seutas tasbih di kanan tangannya. Jari-jemarinya sedang mengira butir-butir tasbih. Tanpa aku sedari, air mata hangat meluncur laju. Selama ini, aku tidak menyangka dia seorang yang taat pada agama. Bagiku dia sama sahaja dengan lelaki-lelaki di luar sana. Bebas tanpa ada batas pergaulan. Rupanya sangkaan aku salah. Atau dia yang sengaja tidak menunjukkan sisi yang satu itu? Ternyata aku belum kenal Jibril sepenuhnya.
Aku kerling jam digital di atas meja kecil di sisi katil. Masih awal, mengikut perkiraanku, belum masuk subuh. Aku buka aplikasi azan, inginkan kepastian. Dalam sepuluh minit lagi, azan subuh bakal berkumandang.
"Sayang?"
Aku angkat wajah. Melemparkan satu senyuman buat si dia.
"Did I wake you up? Sorry...." Jibril bereaksi seolah telah melakukan kesalahan. Dia menukarkan posisi duduk dengan bersila sambil mengadap aku yang juga sedang bersila tetapi di atas katil.
"It's okay... kenapa tak kejut...?" Nak sahaja aku bahasakan 'I' dan 'you' seperti kebiasaan. Tapi tidak boleh, kerana Jibril melarang aku membahasakan diri dengan panggilan begitu lagi. Katanya, dah jadi suami isteri perlu bahasakan dengan perkataan lain pula. Dia menyuruh aku memanggilnya 'Abang' dan dia panggil aku 'Sayang'. Agak klise pada aku kerana sudah ramai pasangan guna perkataan itu. Tapi disebabkan sayang punya fasal, aku turutkan saja.
"Solat tahajud je tadi. Lagipun tak sampai hati nak kejut, sayang nampak penat aje."
"Tak adalah... okey je." Nafiku. Padahal badan masih lagi terasa penat. Nak saja aku baring semula. Tapi melihatkan Jibril siap bertahajud lagi, tak kan aku nak sambung tidur balik. Memalukan diri sendiri namanya.
"Pergilah mandi dulu... kita solat subuh sama-sama."
Seperti lembu dicucuk hidung, aku hanya menurut. Kaki diatur perlahan ke bilik mandi.
"Jangan lupa mandi junub!" Laung Jibril dari luar. Sekali dengan pakej gelak besar. Terus segar-bugar biji mata yang kuyu tadi. Aku segera mengunci diri di dalam bilik mandi.
Tangan naik sentuh kedua-dua pipi. Panas. Ya Tuhan... malunya. Kenapalah sekarang juga dia nak sebut fasal tu? Kot ya pun, tunggulah lepas solat. Dapatlah aku lari sekejap dari dia.
"Eee!! Jahat!"
Dalam masa yang sama, aku tersengih macam kambing. Ah! Sukar nak gambarkan perasaan ini. Perasaan takut, teruja, bahagia, semua bercampuk-aduk. Sudah gila gamaknya.
Aku meneliti wajah sendiri pada pantulan cermin. Ada dua tompok bekas gigitan cinta di bahu dan leher. Bukti. Inilah bukti bahawa aku mencintai Jibril. Perasaan ini masih baru dan rasanya lebih indah dari sebelum ini. Benarlah kata mereka. Bercinta selepas kahwin lebih indah dari bercinta sebelum kahwin.
Ya Allah... terima kasih.
~
Usai solat subuh, aku lekas turun ke dapur konon nak sediakan sarapan pagi untuk kali pertama sebagai seorang isteri. Sekarang misi jadi isteri mithali pula. Dengan penuh bersemangat, aku mula memasak. Menu pembuka lembaran hidup baru pada hari ini adalah....
Nasi dagang!
Sebulan sebelum bergelar isteri, gigih aku belajar masak nasi dagang dengan mak sebab setahu aku Jibril amat menggemari makanan dari Terengganu itu. Boleh dikatakan hampir setiap minggu kami sekeluarga akan makan nasi dagang hanya gara-gara aku. Jibril pula, walaupun berasal dari Melaka namun seleranya lebih ke arah selera pantai timur termasuklah Pahang dan Kelantan. Nampak gayanya aku perlu khatam semua jenis masakan dari negeri pantai timur itu. Sayang suami punya fasal.
YOU ARE READING
DEAR SOULMATE - DUHAI KEKASIH [C]
Kısa HikayeMenyakiti dan tersakiti tidak seharusnya terjadi dalam sesebuah hubungan jiwa. Namun lumrah manusia, suka mencuba sesuatu yang baru. • ✨SINOPSIS RINGKAS✨ HULYA seorang wanita berperwatakan yang menarik, boleh dikatakan gadis millenium. Seorang yang...