DAYANG membawa aku duduk di sebuah taman ikan koi. Di situ sangat sarat dengan pokok-pokok bunga mengelilingi kolam ikan. Yang paling menarik perhatianku adalah pokok bunga ros putih yang tumbuh di atas tanah tidak berpasu. Ranting-ranting menjalar di pagar buatan yang berbentuk seperti pintu gerbang. Dari luar jika ke kanan rumah menuju ke kolam ikan, boleh nampak pintu gerbang bunga ros putih ini. Tidak berkedip aku melihatnya. SubhanAllah... hatiku terdetik. Tidak henti pujian aku pada Yang Maha Kuasa. Keindahan ini membuka mataku untuk lebih menghargai pemberian yang dikurniakan oleh Nya buat penduduk bumi.
"Seperti... taman syurga." Bisikku.
"Taman syurga lebih indah dari ini. Allah SWT mengurniakan sedikit keindahan di atas bumi ini supaya kita sebagai hamba-Nya berkejaran hendak masuk ke syurga untuk melihat kecantikannya." Aku terdiam. Masih mentafsir maksud di sebalik kata-katanya itu. Dayang mendekatiku yang sedang berada di bawah pintu gerbang bunga ros.
"Jika di dunia sudah memukau pandangan, pasti kita tertanya-tanya, apakah di syurga lebih indah dari apa yang ada di dunia seperti yang dikatakan dalam Al-Quran? Pasti jauh lebih indah, kerana itu Allah menjanjikan orang yang beramal soleh akan tinggal di syurga yang nan indah itu."
Terasa kerdil diri ini pabila bersama Dayang. Perempuan ini tidak seperti dirinya. Orangnya jauh berilmu berbanding aku yang serba tidak tahu ini. Ayat mudah pun susah hendak faham. Lihatlah... aku dengan dirinya bagai langit dengan bumi. Dia bertutup litup masih terlihat cantik, sedangkan dahulu aku merasa, berpakaian terbuka jauh lebih cantik. Mempertontonkan segala kecantikan yang ada pada diriku. Tapi saat ini, aku merasakan diriku tak ubah seperti makhluk asing.
"Hanya orang yang beramal soleh sahaja dapat masuk ke syurga." Ujarku namun kedengaran seperti mengeluh. Aku juga tidak mengerti apa yang aku rasa kini. Serasanya seperti... peluang untuk aku merasa keindahan syurga itu hilang serta-merta. Seperti tidak layak langsung.
"Betul. Tapi kita tidak tahu bagaimana pengakhiran hidup kita. Adakah syurga atau neraka. Kita tak tahu."
"Awak tentu masuk syurga." Kataku agak polos. Dayang tersenyum sambil menggeleng kepala.
"Tiada manusia dapat tentukan syurga neraka seseorang. Alim warak tidak menjamin syurga kalau hati kita tidak ikhlas di jalan Allah."
Dia senyum, aku turut senyum. Faham akan maksud itu. Sangat mendalam.
"Dura... Kak Tim letak kek dekat sini ya?"
"Ya, Kak Tim. Terima kasih."
Pembantu rumah meletakkan dua piring kek di atas meja. Berdekatan dengan teko. Dayang kembali duduk kemudian aku. Sepotong kek warna merah hati. Aku agak itu adalah kek red velvet. Aku menjamah sedikit tanpa dipelawa. Dah orang hidang untuk aku, aku makan sajalah. Sedap pula tu.
"Oh, dah lama kita bersembang tapi saya lupa nak tanya, awak dari mana sebenarnya?" Soal Dayang. Dia juga turut menjamah kek.
"Damansara."
"Dari Damansara ke sini, sorang-sorang. Berani juga awak ni."
"Dah biasa... orang tak ada kawan. Bukan tak ada... cuma, kawan biasa je. Bukan kawan travelling."
"Faham. Jadi awak tengah travelling lah sekarang ni? Ya Allah, saya ganggu ke?" Dia beriak risau.
"Tak-tak... it's fine. Saya saja je isi masa lapang. Tak ada buat apa dekat rumah, bosan juga. Tak sangka datang sini terus dapat kawan."
"Haha... saya pun tak sangka juga awak sudi layan saya. Sebenarnya saya bosan juga duduk rumah. Memang niat saya nak cari kawan dekat luar. Boleh tak saya cakap... kita senasib? Saya pun tak ada kawan juga. Hari-hari dihabiskan di rumah je. Nursery-rumah-nursery."
YOU ARE READING
DEAR SOULMATE - DUHAI KEKASIH [C]
Historia CortaMenyakiti dan tersakiti tidak seharusnya terjadi dalam sesebuah hubungan jiwa. Namun lumrah manusia, suka mencuba sesuatu yang baru. • ✨SINOPSIS RINGKAS✨ HULYA seorang wanita berperwatakan yang menarik, boleh dikatakan gadis millenium. Seorang yang...