BAB 14

163 10 0
                                    

Kipas yang berputar ligat di atas siling dipandang kosong. Lengan diangkat menutupi dahi sambil memerhati segenap ruang bilik tidurnya. Sel neuron otak dirasakan berselirat. Buktinya banyak perkara sedang menganggu fikirannya sekarang.

"Bosannya! Patutnya sekarang aku dah duduk senang-lenang kat kerusi besar CEO tu. Ni tak, sibuk kumpul air liur basi buat perap jadi otak tepu je."

Semua posisi baring sudah dia lakukan. Bermula dari kaki dikangkang seluas-luasnya seperti rama-rama sehinggalah baring meniarap seperti bayi. Pelbagai cara sudah dicuba, masih tidak dapat menghilangkan perasaan yang resah disulam kebosanan yang melampau.

Kini, dia mengguling-gulingkan badan di atas katil pula. Habis satu katil dihenyak badan sehingga betul-betul berada di hujung birai katil. Sesaat, dia hilang keseimbangan badan lalu terjatuh.

Buk!

"Aduh, sakitnya!" Tengku Aydan mengerang kesakitan apabila badannya selamat mendarat di atas lantai yang keras lagi menyakitkan. Belakang badan yang sakit diusap perlahan. Badan dinaikkan sedikit lalu disandarkan pada katil.

Tangan yang sibuk mengusap badan sejak tadi terhenti seketika. Dari ekor mata, dia dapat melihat sesuatu di bawah katil. Sememangnya kotak yang berwarna merah jambu diikat sekali dengan reben itu berjaya menghasut nalurinya untuk mengetahui isi di dalam.

"Berhabuk. Berapa lama kotak ni ada kat bawah katil? Ada orang silap letak ke? Atau aku yang terlepas pandang?" Baru dia teringat, inilah kotak yang diberi oleh mama ketika dua hari sebelum hari penerbangannya ke London.

Permukaan kotak yang berhabuk dibersihkan dengan tangan kanan. Debu-debu kotor yang menyelaputi kotak dikipas-kipas kuat. Dadanya berkencang kuat, berdebar-debar ditambah pula kebingungan yang melanda. Penutup kotak dibuka.

"Ni..."

Sekeping gambar diambil daripada selitan beberapa helai kertas. Gambar yang benar-benar meruntun jiwanya yang kini menahan gelodak rasa. Potret yang jelas memaparkan tiga figura memberi satu rasa dalam diri Tengku Aydan.

Yang dilihatnya, dua perempuan berdiri di antara Tengku Mokhtar, si bapa pemilik hatinya hingga akhir hayat. Kedua-duanya tersenyum menayangkan kebahagiaan sedangkan dia pula sibuk menahan cemburu.

Ah! Tengku Aydan yang sebenarnya yang tidak puas hati, bukan salah budak berdua itu. Entah kenapa hatinya berasa cemburu dengan kehadiran Raisya dan Sara seperti mereka tidak layak benar untuk menumpang kasih dengan ibu bapanya.

Tiada istilah perkongsian dalam diari hidupnya lagi-lagi melibatkan kasih sayang daripada Tengku Mokhtar dan Tengku Aminah. Sepatutnya dia yang berada di sisi lelaki tua itu bukan anak pungut tak sedar diri itu.

"Surat? Papa ada sesuatu nak beritahu kat aku ke?"soal hatinya.

Kepada insan yang sering menyuluh cahaya menyinari hidup papa,

Papa!

Memang benar seperti jangkaannya. Tengku Aydan menghela nafas panjang sebelum mula menyambung isi surat yang ditulis khas buatnya.

Kepada insan yang sering menyuluh cahaya menyinari hidup papa,

Papa harap Aydan tenangkan diri masa baca surat ni. Tarik nafas perlahan-lahan dan lapangkan fikiran. Pertama sekali, papa minta maaf sebab tak luahkan sendiri pada Aydan. Mungkin papa akan menangis teruk depan Aydan.

Kalau Aydan rasa papa seorang yang tak bertanggungjawab, papa tahu salah papa. Kalau papa tak adil, semuanya salahkan pada papa. Papa tahu sejak kecil lagi Aydan tak puas hati bila papa lebihkan Raisya dan Sara. Lagi-lagi lepas Aydan tahu korang bertiga bukan adik-beradik kandung, Aydan marah kan? Aydan mesti terkilan sebab tak diberitahu dari dulu.

Kalau Sudah Tertakdir | C (IN EDITING)Where stories live. Discover now