[Teman sejati adalah ia yang datang di saat seluruh dunia pergi menjauhi kita - Jihan]
Sambung...
Jihan amat tertekan kerana karenah anaknya, Afiq. Dia menangis melihat Afiq yang masih menangis dan meragam dengan berguling guling di atas carpet di ruang tamu rumahnya.
"Afiq.... afiq," Jihan hanya mampu menyeru nama anaknya sahaja. Sudah habis cara untuk membujuk. Letih dan rasa sengal masih terasa pada tangan dan dadanya kerana merengkuh Afiq semasa hendak memasukkan dan mengeluarkan anak itu dari kereta tadi.
Jihan menghubungi suaminya Anas, yang entah ada di mana. Hari ini kan hari hujung minggu. Suaminya keluar awal pagi dengan alasan bermain golf bersama teman temannya. Jihan percaya bila melihat suaminya mengendeng beg golf.
"Abang kat mana? Balik lah... Afiq meragam lagi..."
"......"
Jihan menahan sendu dengan jawapan suaminya. Ya Tuhan, tidak kah suaminya itu sedar bahawa Afiq itu adalah darah daging mereka. Hanya Jihan yang tahu apa yang diucapkan oleh Anas tadi.
"Abang jangan cakap macam tu..." Jihan menangis lagi.
Tut tut tut.... suaminya telah memutuskan talian telefon.
Di dalam kesedihan itu Jihan terdengar bunyi bel pada pintu pagar rumahnya. Ada tetamu pastinya. Jihan segera mengenakan purdahnya. Dia memandang sekejap ke arah Afiq yang telah diam itu. Tertidur rupanya. Mungkin letih membanting dirinya sendiri tadi.
Perlahan-lahan Jihan membuka kunci rumah, dengan tujuan tidak mahu menganggu Afiq yang sedang tidur. Jihan memakai sandal lalu menuju ke pintu pagar rumah. Pintu pagar itu dibuka.
Terkesima sejenak Jihan. Tetamu itu juga terkesima melihat Jihan.
"Assalamualaikum... err Jihan kan?" soal tetamu itu tidak yakin. Telah pula hanya mata Jihan sahaja yang nampak kerana tertutup oleh purdah. Sudah lama dia tidak bertemu Jihan. Sejak Jihan lari dari rumah kerana mengikut kekasih hati. Jihan membuang keluarga dan kawan kerana lelaki bernama Anas.
Jihan angguk kepala. Kesedihan Jihan terus meningkat. Tidak sangka akan menemui kawan lamanya.
"Fia...." seru Jihan langsung memeluk Shafia. Air mata Jihan tumpah di bahu Shafia.
"Han..." balas Shafia tidak kurang terharu. Dia memeluk Jihan, mengelus bahu Jihan bagi menenangkan kawannya itu.
Setelah 5 minit begitu, Jihan melonggarkan pelukan mereka.
"Marilah masuk..." pelawa Jihan sambil menarik tangan Shafia.
Jihan menjemput Shafia duduk di sofa.
"Anak Han ke tu?" Shafia memang memanggil Jihan sebagai Han sejak dulu. Sejak mereka sekolah rendah lagi. Mereka terlalu akrab. Malah berbuat jahat juga bersamaan pada suatu masa dulu. Saling melindungi dan mempertahan antara satu sama lain apabila mereka ditangkap.
"Hermm. Nama dia Afiq. Fia tunggu kejap ye. Han buat air kejap..."
Shafia mengangguk. Jihan masuk ke dapur meninggalkan Shafia di ruang tamu.
Shafia menilik wajah Afiq yang sedang tidur. 'Elok je... tak nampak cacat pun...' desir hatinya. Dia mendapat tahu dari seseorang Jihan ada anak yang cacat. Dia pun baru tahu mengenai Jihan pada dua minggu yang lepas.
Sementara menanti Jihan, Shafia menebar pandangannya ke seluruh ruang tamu itu. Gambar perkahwinan dan gambar keluarga kecil Jihan diteliti. Dia mengigit bibirnya sendiri.
"Han buat air coklat kesukaan Fia..." Jihan kembali ke ruang tamu. Masih ingat minuman kesukaan Shafia.
Segera Shafia beralih dari gambar keluarga Jihan. Dia duduk semula ke sofa dengan senyuman manis.