[Masalah itu membesar bila dibicarakan, dan ia akan mengecil bila didiamkan, ia akan terurai jika diadukan kepada Allah, dan akan tersebar jika diadukan kepada manusia.]
bersambung....
Selama ini Jihan hanyalah menguruskan anak. Mana pernah dia lakukan kerja-kerja kasar. Sejak kecil dia dimanjakan oleh ibubapanya. Bila berkahwin dia jadi surirumah. Cuma dua tiga tahun kebelakangan ini sahaja dia derita kerana wajahnya yang cacat serta pula mengurus anak yang cacat.
Oleh itu, hari ini Jihan merasa amat letih kerana tugasan mencuci longkang di hotel itu. Bukan sahaja di belakang, malah sekeliling hotel. Kerja yang tidak pernah Jihan lakukan sebelum ini. Dia sampai termuntah-muntah kerana tidak tahan bau longkang. Sebenarnya longkang itu tidak busuk pun, tapi oleh kerana dia tidak biasa, maka begitulah jadinya.
"Lepas cuci longkang, kau naik ke bilik linen kotor. Kau kira berapa helai cadar, selimut, tuala dan sarung bantal yang kotor. Lepas tu masuk dalam beg linen. Cepat....!" Arahan keluar lagi dari ketua unit yang incaj bahagian linen.
Belum lagi letih mencuci longkang hilang, sekarang dia ada tugas baru pula. Jihan ingin protes, tapi risau pula. Hari pertama sudah hendak protes pula. Jadi, dia akur.
Jihan sempat minum air mineral yang disediakan percuma untuk para pekerja.
Masuk ke bilik linen, Jihan melihat beberapa timbun kainan bercampur aduk di lantai.
"Kira. Asingkan ikut jenis. Masuk dalam karung tu. Lepas tu isi dalam borang ni. Nanti akan ada orang datang angkat ke pusat dobi. Kau kena ikut ke pusat dobi tu. Faham?" Incaj bahagian itu menerangkan apa yang Jihan perlu lakukan.
Jihan terus duduk di lantai dan mula mengasingkan kainan itu. Cadar dimasukkan ke dalam karung cadar. Tuala dimasukkan ke dalam karung tuala. Begitulah selanjutnya hingga selesai. Ada juga beberapa pekerja yang lain mengerjakan hal yang sama di timbunan kainan yang lain.
Setelah selesai Jihan mengisi borang yang diberikan kepadanya. Jihan menghembus nafas kelegaan kerana telah selesai kerja itu. Dia memandang jam. Sudah hampir ke pukul 1 petang. Perutnya sudah lapar.
"Tunggu apa lagi. Ikut dia orang ke pusat dobi."
Jihan akur. Kini Jihan sedar betapa sukar mencari duit. Dahulu dia hanya meminta dan menunggu duit belanja dari Anas sahaja.
Akhirnya, pada pukul 2 petang Jihan kembali ke bilik hotel.
"Itulah Tuan Arkan..." Seorang rakan kerja menunjuk ke arah seorang lelaki yang berpakaian kemas, berjalan dengan yakin dan sudah tentu berwajah Asia yang tampan.
Jihan hanya mengangguk. Pada perasaan Jihan dia seperti pernah melihat iras wajah itu. Jihan cuba ingati, tapi gagal.
"Jom lah kita makan. Nanti pukul 3 petang kita kena masuk kerja semula sampai pukul 7 malam..." terang rakan kerjanya lagi.
------------
Usai makan tengahari pada pukul 2 petang itu, Jihan kembali ke biliknya untuk mandi dan solat. Jihan bernasib baik kerana Puan Azima memahami. Pakaian dan kelengkapan lain disedekahkan oleh Pn Azima.
Selesai solat, Jihan merasa amat letih. Kaki dan tangannya terasa lenguh. Dia mengurut sebentar. Sesaat dia merasa ingin berhenti dan pulang ke rumah yang dia tinggal bersama Anas dahulu. Dia cuba ingati rumah itu di mana.
Namun seketika kemudian, dia merasa tidak yakin untuk menemui Anas bila teringatkan bagaimana Anas mencampakkannya dan berpaling kepada Safia.
Bila teringat Anas, Jihan akan teringat anaknya, Afiq. Akhirnya Jihan menangis lagi mengenangkan anaknya itu.