sebelas

17 4 0
                                    

Lima tahun lalu, 2012.

Aku yang sedang tekun menyiapkan kerja sekolah terganggu dengan bunyi bising dari luar. Aku memandang jam loceng di hujung meja belajarku. Jam loceng berbentuk kucing yang berbaring warna putih itu menunjukkan pukul 10:30 minit malam. Biasanya pukul 10 adalah waktu untuk aku tidur. Disebabkan kerja ini dari tadi aku tak dapat jawab maka ia berlanjutan sehingga sekarang.

Lampu bilik tidak aku pasang dan hanya ditemani dengan lampu belajar sahaja. Aku takut ibu dengan ayah tahu yang aku masih belum tidur. Tak sangka masih ada bunyi lagi di luar pada waktu ini. Aku berusaha untuk menghiraukan bunyi tersebut namun ia amat mengganggu aku menyebabkan aku tak dapat fokus pada kerja sekolahku.

Aku berjengket mendekati pintu walaupun bilik aku agak malap ketika ini dan hanya meja sahaja yang kelihatan cerah. Aku menyandar di pintu dan mula melekapkan telingaku cuba mendengar bunyi dari luar.

"Saya dah tak sanggup hidup macam ni lagi!!" Suara ibu menjengah telingaku. Aku tergamam.

"Apa awak merepek, ni?!" Suara ayah pula kedengaran. Nada kedua-duanya agak tinggi ketika ini. Tak pernah aku dengar mereka bercakap dengan nada yang tinggi apabila mereka bersama.

"Awak tak payah tipu saya la, Athif! Saya nampak awak berpegangan tangan dengan Kak Amnah tadi!" Aku terkesima. Tak pernah aku dengar nama itu ditutur oleh ibu atau ayah. Siapa Kak Amnah ni?

Ayah mengeluh. "Saya tak sengaja terpegang tangan dia waktu tu. Dia tiba-tiba rebah. Awak tahu kami pernah bersuami isteri, jadi itu satu tindakan refleks!"

"Huh, refleks! Kau tak payah tipu aku lah, Athif! Aku tahu kau masih cintakan dia, kan?!" Aku terkejut mendengar panggilan ganti diri yang digunakan oleh ibu tadi. Ibu yang selalu berlembut dengan ayah itu sudah tiada. Aku hanya mampu menekup mulut.

"Kenapa kurang ajar sangat ni, Maryam?!" Soalan berbalas dengan soalan.

"Kau tak payah tukar topik la, Athif! Aku tanya kau masih cintakan Kak Amnah, kan?" Tidak kedengaran suara ayah menjawab soalan ibu itu.

"Huh! Senyap-senyap ni betul, kan?" Nada suara ibu mula kedengaran perlahan. Aku menekankan telingaku agar dapat mendengar lagi.

"Dah 12 tahun kita kahwin, Athif. Dah ada anak sorang pun. Tapi kenapa awak masih tak boleh lepaskan dia?" Panggilan diri ibu mula berubah kepada yang asal. Suara ibu juga kedengaran bergetar.

"Sayang.., awak silap. Saya sayangkan awak. Kami berjumpa sekejap saje tadi sebab---"

"Tak payah nak berdalih la Athif. Saya tahu Kak Amnah tu dah berkahwin. Yang masalahnya adalah awak! Gigih mencari cinta lama!" Bicara ayah dipotong ibu dan digantikan dengan nada percakapan ibu yang kembali meninggi.

"Maryam, awak sila---"

"Ceraikan saya!!" Aku menekup mulut kemas apabila ayat ibu yang memotong percakapan ayah kedengaran. Tubir mataku mula berair. Aku tahu maksud cerai itu dan aku tak sanggup ibu dan ayah bercerai.

"Maryam binti Abdullah!! Tolong mengucap!" Ayah mula menjerit nama ibu.

"Aku tak sanggup diduakan!!! Ceraikan aku!!!" Ibu kedengaran meracau. Air mata mula berlinangan di pipiku. Tak mampu aku untuk menahannya lagi. Aku mula menjauhkan diri dari pintu dan mula mendekatkan diri dengan katil. Aku menyimpuh di sisi katil lalu menyembamkan mukaku di atas tilam. Teresak-esak aku menangis di situ.

Tak lama kemudian, aku terdengar bunyi hempasan pintu dari luar. Di sebalik tingkap bilikku yang berdekatan dengan pintu luar rumah, aku ternampak bayangan seorang lelaki berjalan dengan laju dari arah rumahku ke luar.

Jam menunjukkan pukul 11 malam. Waktu di mana kebiasaanya aku tertidur. Mata mula memberat. Dengan ditemani esakan, aku mula tertidur di sisi katil itu.

I LOVE YOU.Where stories live. Discover now