2022
DIA melangkah keluar dari bilik bedah dengan langkah yang longlai. Pelitup muka yang menutup separuh wajahnya dibuka lalu dibuang ke dalam tong sampah klinikal. Lapan jam berada di dalam bilik yang bersuhu rendah itu membuatkan badannya lenguh. Dia memandang jam digital yang tergantung di dinding koridor, 10:30.
Waktu kerjanya sepatutnya tamat pada pukul 8 pagi tadi, tetapi apakan daya apabila pusat kecemasan telah menerima seorang pesakit yang mengalami masalah tulang belakang. Dan dia juga merupakan salah seorang doktor ortopedik yang berada di tempat kejadian.
Dia melangkah masuk ke dalam bilik persalinan doktor perempuan. Dia perlu menukar baju sebelum pulang. Selesai menukar baju, dia meletakkan baju scrub ke dalam bakul yang telah disediakan. Tangannya sesekali mengurut belakang tengkuknya yang lenguh. Memang balik ni dia terus terjun ke katil lah nampaknya!
"Dr. Adila!" langkahnya terhenti apabila namanya diseru dari jauh. Dia berpusing, mencari empunya suara. Apabila ternampak Linda melambai-lambai tangannya sambil berjalan laju ke arahnya, dia hanya memerhati jururawat muda itu.
"Doktor, doktor dah nak balik ke?" tanyanya. Sedikit mengah. Sudah puas dia mencari doktor muda ini, sekarang baru kelihatan.
Adila mengangguk kepalanya sekali. Dia dah tak mampu nak beri jawapan dengan lisan. Di dalam fikirannya hanya memikirkan tidurnya sahaja. Nasiblah dia dalam keadaan tidak suci sekarang, tak adalah rasa bersalah apabila dia keluar dari bilik bedah tadi kerana terlepas waktu Subuh.
"Doktor nak Hasif hantarkan tak? Dia ada kat lobi sana. Kalau doktor nak tumpang dia, saya call dia, bagitahu yang doktor nak tumpang dia." Linda memandang wajah lesu doktor yang berada di hadapannya ini. Harap-haraplah Dr. Adila setuju, kesian dia tengok doktor muda ini kepenatan. Dan bolehlah dia tolong Hasif dapatkan Dr. Adila walaupun peluang ini sangat tipis.
Adila mengerutkan hidungnya. "Hmm.... Tak apalah, saya balik sendiri je. Kereta tu siapa yang bawa balik ke rumah saya? Kalau kereta tu control car boleh lah saya nak tumpang orang. Saya dah sampai rumah, saya kawal dia guna remote," jawabnya. Tak sangka pula dia masih ada tenaga untuk bercakap panjang lebar seperti ini.
Linda di hadapannya hanya ketawa nipis. Dr. Adila ni kadang-kadang mulut pedas berapi, kadang-kadang effortless funny, kadang-kadang sopan santun bak gadis Melayu terakhir. Tapi, kalau sedang bekerja, memang garang dia kalah singa. Rasa macam bekerja dengan komander pun ada.
"So, doktor tak nak lah ni?" Linda memastikan. Apabila Dr. Adila mengangguk kepalanya beberapa kali, dia juga turut mengangguk. Memahami kepenatan Dr. Adila, dia meminta diri. Tak ada rezeki kau, Hasif!
***
SELESAI sahaja meletakkan kereta di garaj rumah, dia melangkah masuk ke dalam rumah sewanya. Nampaknya kawannya itu sudah pergi ke kerja. Apa yang kau mengarut ni, Adila? Dah pukul 11 pagi. Lagi beberapa jam dah nak masuk lunch hour. Mestilah dia dah pergi kerja!
Menyedari kedunguannya tadi, dia menepuk pipinya beberapa kali. "Dah ngantuk sangat kau ni. Pergi tukar baju semua and pergi tidur. Bahaya kalau dibiarkan lama-lama. Mahu kau jadi macam orang tak betul, Adila. Pergi tidur. Ya, tidur," dia bermonolog sendiri. Tangan kanannya menepuk-nepuk bahu kirinya. Kaki melangkah ke biliknya dengan penuh longlai. Matanya dah tak boleh nak buka sekarang ni.
Tiga jam. Tiga jam dia tidur setelah 13 jam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai doktor ortopedik. Kini, dia terjaga kerana dia sudah tidak sanggup untuk tidur dalam keadaan berlapar. Dia menuruni anak tangga untuk pergi ke dapur. Tudung saji diangkat, ingin melihat menu yang dimasak oleh rakan serumahnya. Ayam masak lemak dan sayur bening. Ada nota kecil di tepi hidangan itu.
Aku reti masak ni je. Jemputlah makan.
-Maya-
Dia merenung nota itu tanpa perasaan. "Kalau lapar, kau bagi telur goreng kau yang hangus tu pun aku makan, Maya. Terima kasih la ye." Walaupun rakan serumahnya tiada di sini, dia tetap bercakap seorang diri. Dia berjalan ke sinki dan membasuh tangan. Dia mengambil pinggan di rak lalu mencedok nasi.
Lauk yang sedia terhidang diambil lalu diletakkan di atas pinggan makannya. Dia membaca doa makan lalu menyuap makanan itu ke dalam mulutnya. Sedap! Tak sangka rakannya ini sudah ada peningkatan dalam bidang masakan. Bolehlah dia berehat daripada memasak kalau mereka berdua tidak kerja.
Selepas menikmati masakan Maya, dia berehat di depan televisyen. Tangannya mencapai iPhone XR hitam lalu membuka aplikasi WhatsApp. Mungkin sepanjang tiga jam dia tidur dia ada terlepas apa-apa maklumat yang penting. Grup keluarga sebelah bapanya dibuka. Rancak betul mereka berborak walaupun hari dan waktu bekerja. Maklumlah majoritinya sudah pencen.
Dibaca mesej itu satu persatu. Mula-mula mereka berbual tentang gambar yang dihantar oleh pak long. Gambar berita utama negara pada hari ini. Semestinya tentang ekonomi kemudia beralih kepada politik dan berakhir dengan sejarah negara. Disambung lagi dengan perlawanan bola semalam malam.
Adila menggeleng kepalanya membaca mesej-mesej tersebut. Satu mesej daripada mak lang membuatkan dirinya menjadi seperti sotong. Badannya melurut daripada sofa tiga rangkai ke atas karpet. Malasnya nak bersiap! Mesej itu dibaca lagi.
Assalamualaikum w.b.t ahli keluarga Hamdan dan Aminah.
Kami sekeluarga ingin menjemput semua ahli keluarga untuk menghadiri majlis doa selamat dan majlis pertunangan anak perempuan kami, Nur Khairina Binti Faiz. Segala maklumat adalah seperti di bawah:
Hari: Jumaat (Doa selamat) Sabtu (Majlis pertunangan)
Tarikh: 9 & 10 September 2022
Lokasi: Di rumah kami yang serba indah, Selangor.
Harap, semua ahli keluarga diberi kesempatan untuk menghadiri majlis kesyukuran ini. Semoga dengan majlis ini kita dapat merapatkan silaturahim antara adik-beradik, ipar, dan saudara.
Dibaca mesej ibu membalas jemputan itu.
Insya-Allah kami hadir. Kami wakilkan Dayana untuk bantu rewang nanti.
Tak mengapalah. Bukannya dia jarang datang ke rumah mak lang. Hampir setiap minggu dia bertandang ke sana. Kadang-kadang dia bermalam satu dua hari di sana untuk menemani mak lang. Nasib baiklah hari Jumaat ini di memang cuti. Kalau tak, memang dia balas 'di luar kawasan' lah walaupun dia masih di tengah bandar ini.
***
ADILA melabuhkan punggungnya di kerusi kayu itu. Buku menu dihadapannya diselak; memilih menu untuk makan tengah hari ini. Kalau semalam dia habiskan waktu di rumah dengan tidur, hari ini dia habiskan masa dengan menunggang kuda dan memanah di kandang kuda Pak Lang Faiz.
Memang rutinnya menunggang kuda dan memanah apabila ada masa lapang. Saja ingin menghidupkan sunnah nabi ﷺ di dalam dirinya. Mungkin sesetengah orang beranggapan bahawa perempuan tak bagus untuk melakukan aktiviti lasak seperti ini, tetapi Adila tetap Adila. Dia kisah ke semua itu? Bagi dia, lagi lasak lagi dia suka.
"Order?" pelayan itu bertanya.
Adila memandang pelayan lelaki itu sekilas. "Hmm... Milo ais dengan roti bakar satu."
Pelayan itu mengangguk kepala lalu menulis pesanan Adila. "Ada apa-apa lagi nak tambah?" pelayan itu tersenyum manis.
"Tak ada."
Adila memerhati pelayan itu pergi lalu matanya terkunci melihat dua orang lelaki yang sedang berbual sambil makan. Seorang berbaju kasual dengan baju T putih manakala yang berhadapannya memakai kemeja T biru cair. Kemudian diperhati sekeliling, ada beberapa gadis yang mencuri pandang ke arah dua lelaki itu.
Adila menjulingkan matanya ke atas. Merenyam betul! Kalau diorang tu laki orang, padan muka kena kejar dengan parang.

YOU ARE READING
Dayana's
RomancePertemuan pertama dimulakan dengan pakaian sedondon yang akhirnya memunculkan spekulasi pelbagai pihak. "Eh, anak saudara Safiah yang doktor tu dah kahwin ke? Tak jemput kita pun." "Entahlah, tak tahu pula aku. Kenapa kau cakap macam itu? Perut do...