Bab 7

13 1 0
                                    

ADILA menekan nombor yang diberikan oleh salah seorang paramedik yang bertugas tempoh hari. Nasib baiklah dia ada kenalan yang bekerja sebagai paramedik. Kawannya pula sudi menghulurkan bantuan dan kerjasama.

Telefon diletakkan di telinga. Dia menggigit jari apabila talian masih tidak bersambung. Tolong.. tolong angkat.

"Helo?" suara garau di hujung talian membuatkan Adila menegakkan badan.

Alhamdulillah!

"Helo, assalamualaikum. Ini kawan Encik Amin ke?" Debaran di dada sangat kencang.

"Waalaikumsalam. Ya, dia kawan saya. Cik siapa?"

"Saya Adila. Doktor yang rawat kawan encik. Boleh kita berjumpa sekarang? Ada hal yang saya nak bincangkan," ujarnya dengan hati-hati. Haraplah lelaki ini bersetuju.

"Boleh. Di mana?"

Senangnya...

"Nanti saya hantar lokasi. Terima kasih sebab setuju jumpa saya. Assalamualaikum." Talian diputuskan lalu dia menghantar lokasi kepada lelaki itu. Tak tahulah apa namanya.

Nombor telefon Imran ditekan. Tak sampai sepuluh saat, talian sudah bersambung. "Asslamualaikum, doktor."

"Waalaikumsalam, Im. Awak ada buat apa-apa ke?" Tak perlu tanya kerja atau tidak. Semestinya tidak kerana jadual Imran dan Adila ialah sama.

"Tak ada. Kenapa doktor? Ada apa-apa masalah ke?" prihatin dia bertanya.

"Datang dekat lokasi yang saya hantar tu sekarang. Saya pun dah nak gerak ke sana. Jangan lambat tau, Im. Kita ada misi besar ni."

"Baik, doktor. Sedia bertindak!" Talian mereka diputuskan oleh Imran.

***

"MACAM mana doktor boleh tahu?" lelaki yang bernama Syarif ini memandang pelik ke arah Adila. Dia memandang sekeliling ruangan makan restoran ini. Tipikal tempatuntuk berjumpa. Imran yang hanya mendengar dari tadi pun ikut memandang pelik kepada doktornya ini.

"Maksudnya betullah andaian saya?" Tak menjawab soalan, terus dia menyoal kembali. Riaknya serius sahaja.

Syarif menelan air liur payah. Pandangannya langsung tidak bertembung dengan mereka berdua yang duduk di hadapannya. Mengelak kebenaran atau aib kawannya terbongkar kepada orang luar.

"Andaian saya betul, Syarif." Ayat penyata.

"Siapa kata andaian doktor betul?" soalnya.

"Awak tak kata tapi mata awak yang tunjukkan jawapan. Awak kena tahu, mulut boleh menipu tapi tidak untuk mata. Mata tak dapat menyorokkan perasaan dan kebenaran yang kita nak sorokkan, Syarif. Dan kalau kebenaran ini yang awak nak sorokkan daripada kami, awak memang silap besar. Silap kerana awak biarkan kawan awak terseksa di hospital dan di rumah dia nanti Syarif."

"Kawan awak hampir sakit jiwa dengan seksaan ibu sendiri dan awak sebagai kawan dia yang tahu tentang ini hanya menyorokkan? Sampainya hati awak, Syarif. Dan saya boleh buat konklusi yang Amin bukan kemalangan jalan raya sebab berlumba tapi dia kemalangan sebab dia lari daripada mak dia. Betul tak, Syarif?"

Membulat mata dua orang lelaki itu. Syarif memandang tepat pada anak mata doktor perempuan ini. Macam mana dia boleh tahu? Sepatutnya dia tak boleh tahu tentang ini!

Akhirnya, Syarif mengalah. "Ya, betul. Apa yang doktor andaikan itu semuanya betul. Dia dipaksa membuat 'benda' itu dengan ibu sendiri dan dia kemalangan sebab dia lari daripada ibu dia. Waktu itu dia nak jumpa saya dengan tayar motosikal yang dah pancit sebab dia tak larat nak lari dengan ketakutan."

Dayana'sWhere stories live. Discover now