Adlan membaca e-mail daripada pihak pengurusan melalui komputer ribanya. Tiba-tiba sahaja dia dapat mesej daripada Mejar Zahrin, menyuruhnya untuk membuka e-mail daripada ibu pejabat. Berdebar juga dia hendak membuka e-mail itu tadi. Takut juga dia ada buat salah tanpa sedar dan dikenakan tindakan tatasusila.
Selepas membaca e-mail itu, terus dia turun ke bawah. Berjumpa dengan umi dan abinya yang sedang duduk di ruang tamu sambil menonton televisyen. Fokus betul pasangan itu sehinggakan kehadiran dia pun mereka tidak perasan. Adlan menjengah pada ruang antara umi dan abinya. Bibirnya tercebik. Patutlah tak perasan kehadiran dia, tonton televisyen sambil pegang tangan rupanya.
Sayunya hati single dia...
"Patutlah Am turun pun tak sedar, rupa-rupanya beromantis dekat depan TV." Adlan melabuhkan duduk di kerusi berangkai satu, di tepi kerusi yang Puan Mawar dan Encik Adli duduk. Matanya tak lepas memandang genggaman tangan umi dan abinya. Manis betul! Boleh potong kaki kalau setiap hari macam ini..
Encik Adli mengangkat tangan dia dan isterinya yang saling menggenggam itu. Kening diangkat beberapa kali sambil memandang ke arah Adlan. Saja nak panaskan anak dia lagi. Biar dia rasa nak kahwin cepat-cepat memandangkan umur anaknya itu hampir mencecah 30 tahun.
Adlan menggeleng kepalanya. "Umi, abi. Am nak cakp sesuatu ni." Dia mengambil perhatian kedua-dua orang tuanya.
"Selepas ini, mungkin Am jarang turun KL tau sebab Am kena pergi latihan. Am kena berlatih untuk persiapan LIMA tahun depan. Umi kalau abi pergi bawak jemaah, umi boleh ke duduk seorang? Kalau umi tak boleh, umi telefon Am. Nanti Am bawa umi ke tempat Am," ujarnya. Terus dia memberitahu pelannya kepada umi dan abinya.
Pasangan itu mengucapkan hamdalah. Syukur. Syukur kerana ini merupakan salah satu impian anaknya sejak dia memasuki bidang ini. Akhirnya, dapat juga anak mereka ini peluang untuk melibatkan diri dalam LIMA tahun hadapan.
"Umi boleh duduk seorang. Am jangan risau. Umi pun bukan buat apa sangat dekat rumah ini sebab semuanya Mak Jah yang tolong buatkan. Umi pagi pergi usrah sampai selepas waktu Zohor baru umi balik. Selepas itu, umi dah tak buat apa-apa dekat rumah," ujar Puan Mawar. Dia memandang anaknya dengan senyuman nipis.
"Tapi nanti siapa yang menghantarnya? Baik nanti awak pergi duduk dengan Am kalau saya bawa jemaah," sampuk Encik Adli.
Puan Mawar mengetuk dagunya, berfikir. "Kita tengoklah nanti macam mana. Lagi pun sebelum ini umi boleh aje duduk seorang. Insya-Allah tak ada apa-apa. Jangan risau."
Encik Adli mengangguk. Kalau itu keputusan isterinya, dia ikutkan sahaja. Insya-Allah, isterinya dilindungi. Kalau isterinya duduk dengan Adlan di Gong Kedak, takut kebosanan pula kerana tiada siapa di rumah apabila Adlan bekerja. Kenalan di sana pun tiada. Kalau di sini, Mak Jah ada untuk berborak dengan isterinya. Tak adalah bosan sangat nanti.
"Iyalah kalau awak kata macam itu. Baik kita risaukan satu perkara ini, kan?"
"Kita nak risaukan apa?" Puan Mawar memandang suaminya.
Encik Adli mendekatkan diri dengan isterinya. "Baik kita risaukan bila Am nak bawa balik bakal menantu dekat kita. Sudahlah umur nak masuk 30 tahun hujung bulan ni."
Adlan mengeluh berat.
"Bakal menantu apanya kalau calon pun tiada, abinya...." jawab Adlan meleret.
"Ada tu cuma Am saja yang tak yakin. Cuba buat isikharah, doa dekat Allah supaya diberi petunjuk. Dah yakin dengan keputusan, bincang dengan perempuan tu. cakap dengan dia nak masuk meminang. Lain-lain, abi dengan umi bereskan. Jangan risau, anakku." Encik Adli tepuk dada. Serahkan semuanya kepada dia. Dia yang uruskan.
YOU ARE READING
Dayana's
RomancePertemuan pertama dimulakan dengan pakaian sedondon yang akhirnya memunculkan spekulasi pelbagai pihak. "Eh, anak saudara Safiah yang doktor tu dah kahwin ke? Tak jemput kita pun." "Entahlah, tak tahu pula aku. Kenapa kau cakap macam itu? Perut do...