Bab 2

20 2 0
                                    

GROUND crew itu sedang memastikan jet pejuang Sukhoi-30 MKM itu diberhentikan pada tempat yang betul. Di belakangnya, seorang pegawai atasan tekun memerhati jet pejuang kebanggaan negara itu memakirkannya di tempat yang betul. Kembang rasa kagum dengan anak didiknya yang semakin cemerlang dari hari ke hari.

Apabila juruterbang itu sedang menuruni tangga, Mejar Zahrin melangkah mendekati anak didiknya. Dia menerima tabik hormat daripada anak didiknya dengan perasaan bangga. Kemudian, tubuh tegap itu dibawa ke dalam pelukan dan belakang badan anak didiknya ditepuk beberapa kali.

"Good job, Kit," puji Mejar Zahrin. Tangan saling berjabat.

"Terima kasih, tuan!" Adlan memberikan tabik hormat sekali lagi. Dia hanya memerhati Mejar Zahrin yang menuju ke arah beberapa orang kru yang lain. Adlan memandang Syamiel dan beberapa kru sedang berlari-lari anak ke sini. Mungkin ingin memeriksa jet pejuang ini.

Syamiel yang perasan akan pandangan sahabatnya terus mengangkat tangan tinggi. Terus dia berlari pantas ke arah sahabatnya. Bahu sahabatnya ditepuk kuat. Senyumannya terukir lebar.

"Hebat gila kau tadi! Kau ni hebat-hebat nak pergi mana? Nak pikat gadis-gadis dekat sini ke apa?" Syamiel memegang kedua-dua bahu sahabatnya.

"Mengarutlah kau! Dah, pergi kerja sana," halau Adlan dengan tawa. Melampau betul pujian yang Syamiel ni bagi. Patutlah ramai gadis terpikat dengan dia, mesti sebab dia selalu puji gadis-gadis di luar sana berlebihan.

Adlan berjalan menuju ke bawah kawasan berbumbung. Topi keledarnya diletakkan di atas rak yang disediakan. Kerusi yang berada berdekatan di situ ditarik dan punggung dilabuhkan.

Botol mineral dibuka lalu diteguk rakus. Penat latihan dan penat melawan tekanan gravity serta cuaca yang panas terik membuatkan tekaknya lebih cepat kering. Habis satu botol mineral, dia melangkah masuk ke dalam bangunan. Ingin mendapatkan angin sejuk daripada pendingin hawa.

Botol minuman itu dibuang dalam tong sampah. Zip sut juruterbangnya ditarik ke bawah. Terus badannya terasa lebih ringan. Menampung sut yang lebih kurang 12kg itu sangatlah memenatkan. Bilik persalinan dituju. Sut itu dibuka dan hanya meninggalkan baju-T dan seluar panjang kerjanya sahaja. Lokernya dibuka, sikat diambil lalu dia menyikat rambutnya supaya menjadi lebih kemas.

Telefon yang dimatikan tadi dihidupkan semula. Bersambung-sambung bunyi notifikasi. Macam bunyi tembak-menembak pun ada. Usah dilihat siapa pengirim mesej, dia sudah tahu. Semestinya Khairul yang sangat gemar mengganggunya. Nampak sangat yang Khairul itu tidak ada buah hati. Kalau ada, mesti si gadis itu cemburu apabila melihat betapa banyaknya mesej yang dihantar oleh Khairul kepadanya.

Selesai mengemaskan diri, dia mencapai telefon pintarnya. Mesej yang dihantar oleh Khairul dibuka. Ada 40 mesej yang dihantar 1 jam yang lepas.

'Assalamualaikum, abang....'

'Eh?'

'Haaa kau datang tak nanti?'

'Helo?'

'Sayangggggg'

'Eeuuuww.... Geli'

'Datang tak?'

Dan panjang lagi mesej sama yang ditanya. 'Datang tak?' 'Mana kau?' 'Tengah latihan ke?' sehingga Adlan naik muak membacanya.

Jarinya menaip di atas skrin telefon. Membalas mesej Khairul.

'Waalaikumsalam. Aku ada latihan tadi. Mesej aku serupa aku ni buah hati kau. Umi aku pun tak mesej aku macam ni, tahu?'

'Insya-Allah, aku datang. Malam ni aku gerak ke KL. Syamiel tu rasanya tak dapat datang. Banyak kerja tak siap lagi. Nanti kau tanyalah dia sendiri.'

Dayana'sWhere stories live. Discover now