ADILA meletakkan keretanya di belakang kereta Audi Q8 e-tron berwarna hitam berkilat itu. Siapa punya kereta pula ni? Bakal tunang Khairina ke? Mungkin boleh jadi. Enjin kereta Myvi berwarna merah marun itu dimatikan. Beg silangnya diambil.
Dia mengambil pakaian yang telah digosok dan beg pakaiannya di bahagian penumpang belakang dan but kereta. Dia melangkah masuk ke halaman rumah Mak Lang Safiah sambil matanya tak lepas merenung kereta mewah itu. Kaya betul bakal tunang Khairina ni!
Salam dilaung kuat. Sayup-sayup suara Mak Lang di dapur menjawab salamnya. Dia memerhati ruang tamu yang siap dikemas itu. Suasana rumah sangat sunyi. Mungkin mereka ada hal.
Dia mendaki tangga untuk meletak barangannya di bilik tetamu yang berada di tingkat atas. Memang dia selalu guna bilik ini jika dia bermalam di sini. Selesai meletak dan menggantung barangannya di dalam bilik, dia menuruni tangga rumah dua tingkat itu. Dia menuju ke dapur untuk membantu Mak Lang Safiah.
Salam diberikan sekali lagi. Mak Lang Safiah yang sedang mengisar lada kering yang sudah direbus menggunakan pengisar memandang anak saudaranya. Senyuman manis terukir.
"Waalaikumsalam. Dah letak barang dekat atas?" tanya Mak Lang Safiah. Huluran tangan Adila disambut mesra. Tudung sarungnya yang sudah ke hadapan ditarik ke belakang.
"Dah. Ini, mak lang tengah buat apa? Nak buat lada boh ke? Nak masa kapa malam ni?" tanya Adila. Dia memandang bahan-bahan yang berada di atas tabletop dan di atas meja makan. Macam nak buat nasi ayam madu. Tapi, kelibat ayam pula yang tak ada.
"Nasi ayam madu. Mula-mula, ingat nak tempah aje dengan orang tapi orangnya pula kena balik kampung. Mak dia jatuh dalam bilik air. Malas nak fikir panjang, mak lang masak ajelah untuk kenduri malam ni," balas Mak Lang Safiah panjang. Lada boh diletakkan di dalam bekas.
"Ohh.. habis tu, lada boh ni nak buat apa pula? Sambal apa? Sambal petai ke?"
"Nak buat donat sambal. Kegemaran Yana kan tu?" Mak Lang Safiah tersenyum. Dia memandang Adila yang sudah teruja dengan sengihan lebar.
"Huwaa.... Sedapnya!!!! Dah lama sebenarnya mengidam donat sambal. Nak cari dekat sini macam susah. Jadinya, buat tak tahu ajelah. Tak sangka mak lang nak buat donat sambal. Sukanyaaaaaa...." Tutur Adila gembira. Kedua-dua tapak tangannya menekup pipi. Mak Lang Safiah hanya ketawa.
"Ni, Yana nak kena tolong apa? Salad semua dah basuh belum?" tanya Adila. Keterujaan di dalam hatinya dikawal sebaik mungkin. Plastik merah yang berada di atas meja makan dibuka.
"Yang sayur-sayur tu semua nanti. Takut layu nanti. Yana masukkan baliklah dalam peti sejuk. Nanti nak hidang takut sayurnya dah tak cantik." Pengisar yang sudah siap digunakan dibasuh. Senang kalau siap guna aje basuh, tak adalah barang yang belum dibasuh bertimbun di sinki.
Adila meletakkan plastik merah itu di dalam peti sejuk. "Yang lain mana, mak lang? Sunyi rumah ni," tanya Adila.
"Pak lang ada urursan dekat kendang. Katanya ada kuda baharu baru sampai. Itu yang dia kena pergi sana. Khairina pula pergi beli bunga nak gubah jadi bunga tangan dia esok dengan bakal tunang dia. Si Khairul tu pula pergi beli ayam dengan kawan dia. Entah bila nak balik empat orang tu." Mak Lang Safiah membuka penutup periuk nasi. Nasi ayam itu digaul-gaulkan untuk memastikan ia masak sepenuhnya.
Adila mengangguk. "Khairina pergi dengan kereta dia ya, mak lang? Kereta bakal tunang dia kat depan, kan?"
"Eh, diorang guna kereta lelaki itulah. Kereta Audi dekat depan tu kawan Khairul punya. Diorang pergi pasar naik kereta Khairul aje sebab senang keluar. Rasanya belum berpunya lagi tu, Yana. Tak nak cuba ke?" Mak Lang Safiah mengangkat keningnya berkali-kali.
YOU ARE READING
Dayana's
RomancePertemuan pertama dimulakan dengan pakaian sedondon yang akhirnya memunculkan spekulasi pelbagai pihak. "Eh, anak saudara Safiah yang doktor tu dah kahwin ke? Tak jemput kita pun." "Entahlah, tak tahu pula aku. Kenapa kau cakap macam itu? Perut do...