04

417 23 2
                                    

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

12.15 pagi

Daiyan yang pada mulanya diserang kantuk kian segar saat menyedari kereta dipandu Luth memasuki satu simpang menuju ke sebuah kawasan perumahan elit.

The Giardino.

Daiyan pernah dengar tentangnya. Sebuah taman perumahan terkenal di ibu kota disebabkan konsep bandar dalam taman yang diamalkan. Tidak dilupakan juga, fasaliti bertaraf lima bintang yang disediakan khas untuk para penghuninya.

Setahunya, harga rumah di sini rata - ratanya hampir mencecah jutaan ringgit.

Daiyan mengerling Luth senyap - senyap. Rasa ingin tahunya mencanak. Tertanya, pekerjaan lelaki itu yang sebenarnya.

Saat Luth kalih pandangan secara tiba - tiba, Daiyan turut pantas larikan pandangannya. Dia berdehem, cuba menyembunyikan rasa janggal yang berkunjung.

Luth menekan punat alat kawalan jauh pintu pagar automatik rumahnya sebelum memandu Lexus LC itu masuk ke dalam kawasan rumah banglo zero-lot miliknya.

Usai memarkirkan keretanya, Luth menanggalkan tali pinggang yang dipakai. Enjin kereta dimatikan lalu dia berlalu keluar ke bahagian bonet kereta. Daiyan juga turut melakukan perkara yang serupa.

Daiyan mengambil beg pakaiannya yang telah Luth tinggalkan di luar bonet kereta.

Kaki menapak perlahan, jujur takjub dengan tempat kediaman Luth ini.

"Daiyan, kau puteri raja ke apa? Nak aku bentang karpet merah, tabur bunga sepanjang jalan baru reti nak bergerak cepat? Terhegeh - hegeh!" Luth bersuara dengan keadaan badannya disandarkan malas ke bingkai pintu sambil berpeluk tubuh.

Cuak dengan kata - kata berserta pakej ekspresi wajah beku Luth itu, Daiyan pantas membuka langkahnya dengan lebih besar.

Daiyan memasuki ruangan dalam rumah selepas salam diberi. Tak lupa juga, daun pintu ditutup dan dikunci. Gugusan kunci lantas diletakkan ke dalam bakul anyaman yang dijadikan tempat khas simpanan kunci.

Mulut Daiyan melopong besar. Jikalau tadi dia begitu takjub dengan persekitaran luar rumah, kini dia menjadi lebih terkesima sewaktu melihat dekorasi dalaman rumah yang bercirikan urban.

"Daiyan. Bilik kau kat situ," Luth halakan jari telunjuknya ke arah sebuah bilik yang tersembunyi di sebalik tangga.

Daiyan memandang arah yang ditunjukkan Luth. Mulutnya ingin bertanyakan satu perkara namun Luth telebih dahulu mencantasnya.

"Sorry, tapi aku memang tak boleh nak tidur sekatil dengan kau. Yalah, takut kuman lepastu segala penyakit yang kau bawa dari penjara hinggap kat aku pulak,"

Daiyan hanya perhatikan belakang tubuh Luth yang mula mendaki tangga itu dengan mata yang kian hangat.

Hina sangatkah hidup sebagai bekas banduan?

Apa mereka bukan manusia sehinggakan berhak dilayan jelik sebegini rupa?

Daiyan menyangka corak pemikiran Luth adalah berbeza saat pertama kali bertemu dengannya. Namun sayang, sementelah Luth mengetahui kisahnya, lelaki itu turut berbuat hal yang sama.

***

Azan subuh yang sayup - sayup kedengaran dari surau berhampiran mengejutkan Daiyan daripadanya lenanya yang panjang.

Daiyan regangkan segala ototnya yang dirasakan longgar. Manakan tidak, saat semua orang lena diulit mimpi, dia pula berhempas - pulas hampir semalaman mengemas 'bilik tidurnya'.

Tuhan Akhiri DeritakuWhere stories live. Discover now