26

504 16 0
                                    

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

Luth renung wajah Daiyan buat ke sekian kali tanpa rasa jemu. Nafas dihela lemah selepas itu.

Lihat daripada gaya, memang isterinya itu langsung tidak mahu menunjukkan sebarang tanda untuk memulakan perbualan. Hendak memandang pun apatah lagi.

Mata Daiyan hanya tertumpu pada skrin telefon pintar berjenama Samsungnya sahaja.

Entah apa yang menarik di sana, Luth sendiri tak begitu pasti.

Rasa cemburu tiba - tiba menjentik diri. Iri pula dengan gajet yang tak bernyawa itu sementelah perhatian Daiyan lebih dicurahkan padanya berbanding dengan Luth yang berada di hadapan.

Apa Luth ini kurang segakkah?

Tidak dapat tidak, Luth akhirnya ambil langkah untuk mengalah dan dalam masa yang sama buat kali pertama, dia memilih untuk tidak menyanjung ego lelakinya.

"Daiyan sihat?" Luth mulakan bicaranya dengan soalan klisé sebagai pilihan.

"Hmm... sihat," Daiyan membalas tetapi wajahnya masih tidak berganjak daripada skrin telefon pintarnya.

Pandanglah abang kat sini, sayang.... batin Luth mula meronta. Terasa pula dengan layanan dingin yang Daiyan berikan kepadanya.

Walhal, kalau nak diikutkan memang itu yang setimpal untuknya terima selepas semua perkara yang dilakukan.

"Baby dalam perut Daiyan sihat?" Luth cuba memancing Daiyan untuk berbual lebih panjang dengannya. Disentuhnya pula soal bayi dalam kandungan Daiyan kini.

"Alhamdulillah, anak saya pun sihat!" Daiyan tekan istilah 'anak saya' apabila menutur kata bersama wajah ketat berserta kelat miliknya elok sahaja selepas dia matikan skrin telefon.

"Kenapa eh, awak nak kena buat ambil tahu pasal kami anak - beranak? Yalah, saya ni kan perempuan jahat. Bila suami sibuk kerja, saya dekat belakang sibuk melayan jantan. Entahnya anak siapa - siapa yang ada dalam perut ni. Anak Ean contohnya? Awak tak takut ke nanti kalau tiba - tiba jadi pak sanggup?" Daiyan menyindir pula selepas itu. Tajam. Langsung tak beri Luth peluang.

"Apa Daiyan kata ni? Kan orang yang pertama sentuh Daiyan...." Kata - kata Luth mati di situ apabila Puan Daliya mula menghampiri mereka bersama - sama dulang berisi minuman juga sedikit halwa mulut.

"Amboi, ibu! Dah saing - saing barista Starbucks Daiyan nengoknya.... lama betul kat dapur tadi buat air apa semua untuk Abang Luth?"

Abang Luth? Terasa ada rerama yang mengepak riang dalam perut Daiyan saat membahasakan lelaki itu abang.

Tolonglah! Kalau bukan kerana ibunya, memang perkataan keramat itu takkan lahir daripada bibir. Yalah, nanti - nanti dikata tak bermesra dengan tetamu pula kalau Daiyan terlampau ikutkan hati. Nak - nak pula yang boleh kata agak istimewa.

Ulang suara, Daiyan menyantuni Luth kerana Puan Daliya! Selisih malaikat sungguh untuk dirinya berbuat demikian di alam nyata.

Di satu sisi lain, Luth sudah sembunyi senyum. Suka pula mendengar suara lunak itu memanggilnya abang, meskipun Luth sendiri dapat menghidu nada tidak ikhlas milik tuan empunya badan.

"Itu soalan ke cemburu?" Puan Daliya yang tidak mengerti apa - apa hanya bergurau di situ, sebelum ia letakkan dulang itu di atas meja kayu di ruang tamu.

"Dua - dua ibu," Daiyan hanya tayang sengih menampakkan barisan giginya yang cantik tersusun rapi ketika membalas.

"Okeylah, Daiyan pun dah kenal - kenal dengan Abang Luth, borak apa semua. Kalau tak ada apa - apa, Daiyan ingat nak masuk dulu. Nak mandi dan buat apa yang patut," Daiyan pantas pamit elok sahaja selepas Puan Daliya siap menghidangkan Luth secangkir kopi panas. Laju, ibarat seekor lipas kudung.

Sedar - sedar sahaja, bunyi dentuman pintu kedengaran turut serta dengan figura Daiyan yang telah memboloskan diri.

"Maaf ya, Luth? Biasalah ibu mengandung... kadang ada masa dia cepat penat. Nak berehat," Puan Daliya berucap bagi pihak Daiyan sekali gus berjaya mengalihkan perhatian Luth.

Luth koyak senyum nipis seraya menggelengkan kepalanya perlahan.

"Eh, tak apa ibu. Luth tak kisah pun sebenarnya,"

"Ha, takpelah kalau gitu. Jemput - jemput minum," Puan Daliya tarik nafas lega selepas itu. Kopi yang siap dituang ditolak perlahan ke arah lelaki tinggi lampai itu.

***

"Kenapa ketuk pintu ni macam tak ada hari esok ibu? Kang roboh pintu kayu ni satu hal lagi nak kena telefon orang baiki," Ucap Daiyan dengan nada mamainya setelah ia buka daun pintu. Tangannya pula sibuk menggosok kelopak mata, cuba menghalau rasa kantuk yang masih bersisa.

"Kamu tu yang tidur macam tak ada hari esok. Gamaknya, kalau Bumi terbalik ni pun kamu tak sedar," Puan Daliya pulangkan paku buah keras kepada anak perempuannya sambil memeluk tubuh.

"Ni dah solat ke belum ni?"

"Hmm, dah. Mandi pun sama. Lepastu baru Daiyan pergi tidur," Daiyan laporkan perkara yang dia lakukan dalam kamar beradu tadi kepada sang ibu.

"Ha, eloklah kalau gitu. Jom, turun makan,"

Dengar sahaja perkataan 'makan' itu, Daiyan terus jadi segar - bugar. Langsung mata yang memberat sedari tadi hilang.

Daiyan rapikan rambut ala kadar, sebelum mula buka langkah namun tak sampai beberapa tapak ia menghampiri bingkai pintu, Puan Daliya terlebih dahulu menahannya.

"Aip, tudung mana tudung? Pergi sarung tudung dulu!"

"Lah, dah kenapa Daiyan nak kena tutup kepala? Bukan kita berdua je duduk rumah ni?" Mulut Daiyan mula berceloteh, mempertikai.

Sungguhpun begitu, dia tetap turuti suruhan Puan Daliya. Sehelai tudung sarung ungu gelap yang elok bersangkut di almari kayu lantas dicapai lalu disarungkan pada kepala.

"Abang Luth kamu duduk sini malam ni,"

Daiyan tersentak. Terhenti terus tangannya yang sibuk mengemaskan kedudukan letak tudung yang tersarung. Matanya yang sedia bulat itu lantas semakin dibulatkan. Tidak boleh dikawal rasa terkejutnya dengan ujaran Puan Daliya itu tadi.

"Eee... dia tu dah kenapa? Tak ada rumah ke?" Cebik Daiyan.

"Apa cakap macam tu! Tetamu tu kan pembuka rezeki?" Puan Daliya menegur. Bahu Daiyan ditepuk perlahan selepas itu, jelas mengekspresikan riak kurang senangnya.

"Tadi hujan, lebat pula tu. Kan bahaya, lagipun jalan kat sini licin kalau hujan. Itu yang ibu suruh dia bermalam kat sini," Terang Puan Daliya.

"Toksahlah buat muka cemberut tu! Abang Luth tu dah memang selalulah tidur sini. Sejak daripada Kak Yana ada lagi,"

Daiyan maniskan muka. Terpaksa. Itupun setelah sebelah pipinya ditarik Puan Daliya. Tak adalah kuat manapun, tetapi terasa juga pedih - pedih manjanya.

"Semalam kata nak makan masak lemak cili api kan? Ibu dah masak kat bawah tu, siap hidang pun. Lambat karang, habis jangan nangis," Pesan Puan Daliya sebelum ambil keputusan untuk meninggalkan Daiyan namun anaknya terlebih dahulu menempel pada tubuh tuanya, mahu turun bersama - sama.

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

Tuhan Akhiri DeritakuWhere stories live. Discover now