48

378 12 0
                                    

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

"Luth, kita nak pergi mana ni?" Setelah beberapa lama hanya kesunyian menemani mereka sejak dari awal pemanduan, Daiyan pilih untuk mulakan perbualan.

"Cubalah, cuba sayang teka?"

Daiyan julingkan bebola matanya ke atas. Kurang berkenan dengan jawapan yang diberikan.

Sudahnya, jari - jemari runcing kepunyaan Daiyan selamba menutup aplikasi radio yang terpasang di skrin sesentuh kereta milik Luth. Tunjuk protes, betapa dia benar dahagakan sebuah jawapan daripada Luth tentang arah tuju mereka sekarang.

"Siapa yang bertakhta dalam jiwa. Adakah kau rasa?" Luth teruskan sesi nyanyian lagu Tasha Manshahar-nya secara Minus One pula. Sempat dikenyitkan sebelah mata ke arah Daiyan sambil dia menggendang stereng kereta. Menjiwai.

"Luth, saya tanya awak baik - baik. Kita nak pergi mana sebenarnya ni?" Pihak di sebelah sana sudah pasang nada bosan.

"Kan abang dah kata. Cubalah teka," Luth juga sama naiknya. Tetap memilih loyar buruk sebagai cara menjawab.

"Malaslah nak cakap dengan awak ni," Daiyan sendiri yang ambil keputusan untuk tamatkan bicara mereka apabila Luth pilih untuk berahsia dengannya.

Daiyan ubah postur tubuh. Duduknya di kusyen kereta lantas diselesakan. Pandangan dilempar keluar, melihat kehijauan alam sambil kereta yang dipandu membelah jalan.

Sehinggalah matanya tertancap pada sebuah pancuran air yang sepertinya terletak di sebuah bukit.

Bibir tanpa sedar mengukir senyum. Entah kenapa, terasa tenang melihat pemandangan itu.

Tangan mula naik menopang dagu. Mahu lebih menghayati.

Cantik, ikhlas daripada hati Daiyan memuji.

Mengingatkannya kepada....

The Giardino.

Serta merta mata Daiyan membulat saat dia tersedar akan satu perkara. Dikerling wajah Luth saat lelaki itu fokus dalam pemanduan dengan ekor mata.

Luth takkan bawanya ke tempat itu semula kan?

Lelaki itu tak menipu tentang perasaan bersalahnya selama ini, bukan?

Daiyan berperang dengan fikiran negatif yang sedang bersarang dalam diri. Bibir itu mula berzikir halus. Sedar, perasaan sebegitu didatangkan oleh makhluk keji yang dinamakan syaitan.

Tetapi sayang, keyakinan yang cuba dipupuk kian terhakis saat dia sendiri terpandangkan beberapa unit rumah yang ia sendiri cukup kenal dari mana asal - usulnya.

Jantung mula laju mengepam darah. Hati kian dipalu resah. Peluk sejuk merinik di dahi.

Suara - suara sumbang yang berlegar di kepala perlahan - perlahan beransur menjadi sebuah lakon layar yang memaparkan kisah hitam punya Daiyan dahulu.

"Strip,"

"Daiyan..." Suara sama yang bergema di ruang minda berpadu dengan suara Luth di alam nyata.

Luth tarik tangan Daiyan yang berada bersebelahan merapat. Jari - jemari mereka ditarik untuk bersulam.

Kebetulan, mereka kini sedang berhenti di lampu isyarat. Menanti kereta di laluan bertentangan untuk bergerak terlebih dahulu memasuki simpang.

Daiyan yang menerima sentuhan Luth secara tiba - tiba itu tersentak tubuhnya. Langsung tak bersedia. Sungguhpun begitu, lekas - lekas ia mengawal riak wajah agar tidak menampakkanya begitu ketara.

Tuhan Akhiri DeritakuWhere stories live. Discover now