SELUSUP dingin cumbui dua merpati. Duduk merapat sama sendiri di bangku kecil. Pasangan berhoodie hitam dan beige. Terletak berhadapan kedai dobi, bersebelahan kedai runcit 7 Eleven.
Ummar letakkan bekas Maggi kosong ke sisi. Panggung kepala. Tatap dada kelam bumantara. Butir kejora samar-samar sinari. Juga terangi cahaya lampu jalan membasahi mereka.
Sesekali, lirikan halus Ummar tertumpu sang isteri. Asyik dalam dimensi ciptaan sendiri. Sipi wajah Afra saja terlihat, dek terlindung kain hoodie yang dipakainya.
Afra suakan mi ke mulut. Maggi cup. Berdesur bunyi saat mi segera ayam kesayangan dinikmati. Suka. Kaki panjang di bawah pula ralit bergoyang depan belakang senang hati. Tampak gembira benar Afra tatkala ini.
Dalam diam, Ummar sembunyi senyum.
Semuanya gara-gara Afra lapar. Mahu nikmati Maggi ayam pagi buta ni. Jalan penyelesaian terbaik adalah bersiap seawal detik tiga, demi lunaskan permintaan yang dicintai. Tak membantah, dia sanggup.
Memalis muka. Kerjap terkebil-kebil tika Ummar renung redup padanya. "Ummar tak nak makan?"
Spontan, telapak tangan Ummar sentuh kedua-dua pipi Afra. Selit jari kelilingi wajah Afra. Masukkan juntaian rambut terkeluar ke cangkerang telinga. Betul-betul dalam kepala hoodie, kemas dan rapi. Riaknya kekal jumud pamerkan. Picing mata memastikan.
Afra serta-merta kaku. Berubah hangat kedua-dua pipi. Sekadar bibir terkumat-kamit tanpa suara. Birai mata berbahang. Meligih tulang jari-jemari, cuba genggam utuh bekas makanan masih dalam pegangan.
"Afshin cantik."
Ummar senyum tipis. Kuyu nan teduh tatapan. Berjaya meluruh laju buliran jernih nodai lurah pipi isteri.
"Afshin Ummar cantik. Cantik sangat-sangat."
Tangkup lebih erat, jarinya lembut seka juring mata bergenang Afra. Hati-hati persis kaca, harus dijaga rapi dan santun.
"U... Ummar..." lirih perlahan nadanya. Bergetar belahan bibir tika renungan Ummar tunak menerobos iris lazuardi miliknya. Penuh kornea mata raut Ummar. Sendu tatapan tatkala dirinya saling berlawan rasa dalam pekung dada.
Hangat. Selusup masuk ke segenap jiwa.
Suam. Balut dingin hidup yang telah lama sirna.
Indah. Serkup wujud erti bahagia buat dia.
Namun dalam setiap itu, ada selitan derita.
Luka. Masih rantai ketat pelosok atma.
Nestapa. Carik goresan terukir segar.
Sakit. Utuh terasa hingga lubuk terdalam di dada.
Ummar menjamah setiap inci roman muka Afra. Kesemuanya, tak lepas dari pandangan sepasang netra coklatnya. Sungguh-sungguh, bejat pada ulas bibir mengeligi. Basah mengalir air mata jatuh singgah pada tapak tangan terasa. Tak kalihkan waima seketika. Paling tidak, dia mahu renggut semua lara Afra. Duka yang membelenggu kepingan rapuh hati belahan jiwa.
Perlahan Ummar merapat. Afra pejam mata. Menggigil halus batang tubuh. Cuba untuk buang fikiran buruk menjauh.
Kalau Ummar, dia akan rela.
Kalau Ummar, dia akan terima.
Walaupun payah, dia perlu usaha.
Tak semena-mena, telefon berdering dalam poket seluar. Ummar leraikan pegangan sebelah. Seluk capai telefon miliknya. Gesel ikon hijau, angkat panggilan di sana. Afra celik mata, hampa. Selit kecewa saat Ummar tekap gajet itu pada telinga.
YOU ARE READING
Tulus Kasih Kirana
Romansa𝐇𝐢𝐫𝐫𝐚𝐳 𝐔𝐦𝐦𝐚𝐫 | 𝐀𝐟𝐫𝐚 𝐀𝐟𝐬𝐡𝐢𝐧 Susunan indah titian ceritera. Pertemuan tumpang teduh seketika. Bahagia daripada malapetaka dunia. Sering durja sehingga lemas dalam sepasang mata. Manis, leka khayal selamanya. Tikam dalam saat tiba...