Prolog 2 : AJIB 2.0

44 3 0
                                    

Prolog 2

~Moments become memories and people become lessons. That's life.~

2022.

Jebat Iskandar menutup diari merah jambu yang dihiasi dengan renda putih itu dengan perasaan yang bercampur gaul. Entah apa yang dia rasakan sekarang ini, dia pun tak tahu. Ada masa bahagia, dia tersenyum sendiri. Ada masa sedih, hatinya pedih. Agaknya inilah yang dirasakan oleh pemilik diari pink ini.

Sudah berminggu-minggu lamanya Jebat duduk menghadap dan menerokai helaian demi helaian isi diari yang diberikan oleh Abid kepadanya beberapa bulan yang lepas. Dan kini tamat sudah sesi penerokaannya. Nampak betapa gigihnya si dia menulis dan mencurahkan segala rahsia hati di dalam buku ini sejak dari tahun 2007 sehingga tahun 2016. Ada sembilan buah kesemuanya. Kau, betul-betul Miss Diary.

Seketika, Jebat menghela nafas. Tangan kanannya dibawa menyentuh kulit diari yang tertera nama pemiliknya dengan tulisan berangkai mencoretkan satu barisan nama yang begitu indah.

~Siti Nur Malihah.

Perlahan jarinya mengusap nama itu. Bibirnya bergaris nipis. Sekelipan, dia mendongak sedikit menghalakan matanya tepat ke hadapan. Gambar perkahwinan mereka masih tergantung di situ. Sama seperti 5 tahun yang lalu. Tiada satu pun yang berubah meskipun segala-galanya telah berubah. Matanya berkerdip, terasa pedih. Hatinya berbisik,

'Aku rindukan kau, Mimo. Rindu sangat-sangat. Aku cintakan kau dan ketahuilah Mimo, hanya kau satu-satunya perempuan yang selalu ada dalam hati aku sejak dari dulu. Kau perempuan yang terbaik untuk aku. Aku minta maaf di atas apa yang terjadi. Aku tahu, aku salah. Aku berdosa dengan kau dan dengan anak kita. Jadi aku... aku ikhlas dengan apa yang dah aku lakukan dengan hubungan kita. Mungkin ini... mungkin ini balasannya di atas penderitaan yang kau perlu tanggung selama ini. Maafkan aku, Mimo.'

Jebat mengatup mata dan ada cecair jernih mula membasahi pipi jantannya. Dia terlalu rindukan Malihah. Rasa rindu itu semakin hari semakin mencengkam jiwanya tapi dipendamkan saja kerana dia tahu dia tidak mampu untuk mengubah apa-apa. Biarlah apa orang mahu katakan apa pun, dia tidak kesah. Kerana dia tahu, dia memang layak dimaki. Dia memang layak dihina. Dia... seorang lelaki yang berdosa.

"Da... ddy..." Pintu bilik tidurnya ditolak dari luar.

Jebat lekas-lekas menyapu sisa air mata di pipi. Dia menoleh sedikit ke belakang, terjengul kepala seorang anak kecil yang bertocang dua di muka pintu.

"Ilah.. come here..." Jebat bingkas bangun dan melorotkan lututnya ke lantai lalu mendepakan tangannya mengamit anak kecil itu masuk ke dakapannya.

Athilah Humaira berlari terkedek-kedek mendapatkan Jebat Iskandar. Jebat peluk erat anak gadisnya. Dipinjamkan sedikit kekuatan dari anak itu untuk berhadapan dengan pelbagai rintangan di masa hadapannya. Dengan anak kecil ini dia belajar untuk jadi seorang lelaki yang kuat. Jebat menguraikan pelukan mereka. Dia menatap anak kecil itu tunak. Tangannya naik menyentuh tocang kiri anak itu.

"Ilah dah siap ya?" tanyanya. Matanya dilarikan ke sekitar raut cantik anak gadisnya yang saban hari kian suka berdandan persis mamanya dahulu.

Athilah mengangguk.

"Siapa yang siapkan Ilah? Papa?"

Athilah mengangguk laju. Baju kurung cotton berwarna merah bercorak polkadot putih itu di tayang depan muka si ayah. Berpusing-pusing dia di hadapan si ayah.

Jebat tersenyum dengan tingkah si anak yang sungguh mencuit hatinya. Lalu dia tunduk, membawa tubuh kecil itu masuk ke dalam dukungannya pula. Sekilas pipi bulat itu dicium sayang. Bau wangian anak kecil ini menenangkan jiwanya yang resah. Seketika begitu, dia bangkit berdiri sekali membawa Athilah atas dukungannya.

Aku Juga Ingin Bahagia 2.0Where stories live. Discover now