Televisyen sedang menayangkan drama korea bertajuk Weightlifting Kim Bok Joo. Sesekali biskut Marie kepunyaan rakan serumahnya diambil lalu dimasukkan ke dalam mulutnya. Ini mesti rindu dengan Dafinah sampai mahu mengikut gaya hidupnya yang menonton drama sambil menjamah biskut Marie. Otaknya mengusik.
Hish! Bukan rindu. Tarikh luput biskut ini mahu tamat. Tidak baik membazir, jadi dia perlulah memakannya segera. Kelihatan pelakon yang memainkan watak Kim Bok Joo sedang mengangkat guni berat yang berkilo-kilo terpapar jelas di kaca televisyen. Mulutnya terlopong luas. Sudahlah comel, kuat pula itu.
Bunyi daun pintu dibuka menyapa gegendang telinganya. Sudah tahu gerangan yang melangkah masuk ke rumah sewanya.
"Assalamualaikum..." Lemah sahaja suara rakannya berbunyi.
"Waalaikumussalam. Ha. Ni, pagi semalam mak kau ada call aku tanya mana kau. Bukan kau kata kau nak balik kampung terus ka selepas siapkan kerja kau?" Sejenak Amal menoleh dan menghalakan bola matanya ke arah rakannya.
Alangkah terkejut dirinya tatkala melihat kantung mata Dafinah sudah kelihatan agak gelap. Sembap sahaja. Menangis?
"Kau ada masalah ka? Sekejapnya kau balik kampung?"
Ada masalah keluargakah rakannya itu? Kalau tanya lebih-lebih, stres pula nanti. Tetapi, kalau dah sembap mata itu, sudah macam hilang keluarga sahaja. Amal meniskus di dalam hati.
"Mak aku... Dah tak ada, Amal..."
Keningnya terjongket tidak mengerti.
"Apa yang tak ada pula ni? Baru ja mak kau call aku pagi semalam..."
"Mak aku meninggal petang semalam, Amal." Tanpa disedarinya, air matanya sudah menurni pada pipi mulusnya.
"Innalillah..."
Segera dia bangkit dari sofa itu lalu mendekati Dafinah yang sudah seperti mayat hidup. Tubuh rakannya dibawa ke dalam pelukannya agar dia dapat menyalurkan sedikit kekuatan kepada rakannya. Kesal kerana bercakap tentang emak Dafinah setelah dia baru sahaja tiba.
"Aku tengok kau macam tak sihat ja. Kau rehat dulu eh, Finah. Kau makan belum ni?" Risau dia melihat keadaan rakannya.
Dafinah hanya membalas dengan gelengan kepalanya. Dia tidak pasti sama ada ini mimpi atau kenyataan yang sedang dilaluinya sekarang. Semuanya seakan-akan berlaku dalam masa yang singkat sahaja.
"Jom makan bihun goreng. Aku ada masak lebih tadi."
Dafinah merantai jari-jemarinya pada lengan Amal. Amal terhenti pergerakannya untuk menjamu rakannya yang baru sahaja didengar khabar tentang pemergian emaknya.
"Aku rasa kan... Semua ini salah aku."
Amal menggeleng kepalanya. Bahu Dafinah ditepuk perlahan.
"Ini kerja Tuhan. Yang kau nak salahkan diri sendiri kenapa?"
"Aku rasa selama aku duduk dekat sini, aku diperhatikan."
Tapak kakinya mengikut langkah rakannya yang cuba membawanya ke meja makan. Air mata mengalir lagi, lupa yang dirinya tidak seharusnya rapuh sebegitu.
Amal mendiamkan diri dan bersedia untuk menjadi pendengar kepada rakannya. Nampak serius juga cara Dafinah bercakap kali ini.
"Aku dapat mesej dari orang yang tak dikenali, Mal. Dia ugut aku untuk balik ke kampung. Kalau tidak, dia akan bakar rumah mak aku... Aku ada tanya adik dengan Kak Ngah aku, dia orang tak dapat pun mesej dari sesiapa pasal ugutan. Dah sah-sahlah dia nak umpan aku."
Amal sudah menghidangkan bihun goreng di hadapannya. Kali terakhir dia menjamah makanan adalah pada waktu pagi tadi kerana dia perlu memastikan adik bongsunya makan. Dia tahu sangat kalau budak itu tidak diajak, mana mahu dia makan sendiri. Badan pun nampak seperti tulang berjalan sahaja. Tetapi, tidak disangkanya, dia juga sebegitu sekarang ini.
YOU ARE READING
Rahsia Kau dan Aku
Action[ON GOING] Dafinah Awatif Dilamar oleh lelaki yang serba-serbi hidup mewah dan perwatakannya yang baik, masakan mahu ditolak. Umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Sudah terbayang betapa bahagianya kehidupan nanti dihujani dengan kemewahan. Ba...