Bab 4🍁

80 23 9
                                    

Sudah kali ke lima dia mengerling jam di dinding tempat berehat pekerja. Dia menunggu ketibaan Pak Kasim yang ditugaskan bersama-samanya untuk bergerak menghantar barang ke Pasir Puteh.

Telefon bimbit di dalam poketnya berdering. Pantas tangannya mencapai gajet itu. Nama Pak Kasim jelas tertera di skrin telefon.

"Hello..." Suara lunak budak kecil memulakan perbualan mereka.

Segaris senyuman terlakar di bibirnya. Sudah dia kenal dengan pemilik suara itu.

"Kayra, ayah mana?" Lembut sahaja dia bertanya.

"Uhuk. Uhuk."

Kedengaran suara batuk menjengah gegendang telinganya. Pak Kasim tidak sihatkah?

"Ayah tengah baring atas katil. Ibu kata ayah demam panas." Kayra menjawab jujur.

"Kayra, bagi ibu telefon tu."

Telefon sudah bertukar tangan.

"Man, suami akak ni nampak macam tak berapa sihatlah... Boleh tak Man tolong bagitahu bos?"

Huzaiman sudah menggosok belakang tengkuknya. Pak Kasim sakit ni pasti disebabkan banyak kerja yang dilakukan untuk menyara keluarganya. Biarlah dia memberikan masa rehat kepada Pak Kasim kali ini. Lagipun, bukan masalah besar sangat untuk menghantar barang seorang diri. Sudah menjadi kebiasaannya sekarang.

"Okey, kak. Suruh dia rehat ya. Assalamualaikum."

"Baiklah. Waalaikumussalam."

Panggilan antara mereka dimatikan. Pejabat di mana bos mereka ditempatkan menjadi hala tujunya. Pintu bilik itu diketuk.

"Bos, boleh saya masuk?" Dia meminta izin.

"Masuk."

Terus sahaja kakinya melangkah masuk pejabat serba-serbi itu. Tidak terlalu luas dan tidak terlalu sempit. Lelaki berbangsa cina itu mengangkat kepala untuk melihat kedatangan pekerjanya.

"Ha, Man. Bukan sepatutnya you dah pergi ka itu hantar barang?"

Huzaiman mengangguk mengiyakan bosnya.

"Sepatutnya saya pergi dengan Pak Kasim. Tapi isteri dia call tadi. Katanya Pak Kasim demam panas." Terangnya.

"Oh macam tu. Alang-alang you dah ada sini, I nak you tolong hantarkan surat penting ni dekat pejabat Zhing Lei. Alah... Pejabat dia dekat-dekat sahaja dengan tempat you hantar barang."

Huzaiman hanya memerhati satu kertas yang telah dilipat dimasukkan ke dalam sampul surat bewarna coklat. Sampul surat itu diserahkan kepadanya.

"Alamat tempat tu nanti I bagi dekat mesej you."

Huzaiman mengangguk. Sampul surat yang sudah bertukar tangan itu dipegang selamat.

"Ada apa-apa lagi, bos?"

"Tak ada apa dah. You boleh pergi buat itu kerja."

Sebaik sahaja mendengar arahan itu, dia segera keluar dari pejabat bosnya, bersiap sedia untuk memulakan pekerjaan. Lori yang bernombor plat MDR 6966 dinaikinya. Setiap cermin dia memeriksa supaya dapat melihat dengan jelas.

"Apa kau nak buat lepas kau keluar dari sini?"

Tangannya yang lincah memotong sayur sawi itu terhenti seketika. Dia menoleh memandang Ijoi yang bertugas di bahagian dapur bersamanya.

Bahunya dijongket. Tidak pasti untuk menjawab apa dengan pertanyaan mudah itu kerana dia tahu apabila dia melangkah keluar dari tempat itu, dia tidak dapat lagi meneruskan kehidupan yang mudah. Sayur sawi dipotong semula.

Rahsia Kau dan AkuWhere stories live. Discover now