Bab 25🍁

59 10 10
                                    

Hampir satu jam dia berjalan sambil mengangkay Dafinah di belakang batang tubuhnya. Tidak pasti sudah pukul berapa tatkala ini. Gerimis pun sudah lesap dari langit, cuma cuaca bertambah dingin. Baju mereka masih basah tetapi dengan adanya tubuh Dafinah di belakang, sedikit sebanyak ia menghangatkan kulitnya. Cengkaman tangan milik Dafinah pula mulai longgar dan kepalanya dilentok pada bahu luasnya.

Sudah tertidur? Boleh pula perempuan ini terlelap atas badannya. Nasib baik jugalah Dafinah tidak berat.

Perjalanannya terhenti apabila dia terpandang sebuah kabin usang yang ditumbuhi semak belukar di sekelilingnya. Akhirnya ada juga tempat mereka berdua bermalam. Dengan langkah kaki laju, dia meredah semak samun dan masuk ke dalam kabin gelap tersebut.

"Finah... Bangun."

Huzaiman cuba mengejut Dafinah dari tidur lenanya tetapi tiada respon langsung. Dia melepaskan keluhan yang berat. Disebabkan perempuan itu tidak terjaga, terpaksalah dia menurunkan tubuh kecil itu dengan berhati-hati. Kalau tersilap langkah, boleh terhempas pula badan itu nanti.

Dia duduk bercangkung. Kemudian, tangan Dafinah dipegang dan lantas menangkap badannya sebelum terjatuh. Masih tidak sedar juga perempuan ini. Sleepyhead.

Mungkin terlalu penat berlari sampai tertidur dalam keletihan. Retina mata miliknya merenung kejap raut wajah Dafinah yang comot dengan tudung yang tidak berada dalam keadaan baik itu. Perempuan itu langsung tidak mengenakan sebarang alat solek di kulit mukanya tetapi masih comel di matanya.

Huh. Apa yang dia merepek sekarang ini? Mengapa pula dia berfikir tentang kecomelan yang terdapat pada Dafinah? Bukannya Dafinah berubah lebih cantik daripada sebelum ini pun. Wajah itu masih kekal kebudak-budakan dari zaman remaja lagi. Kepalanya digeleng-geleng laju apabila otaknya kini sarat memikirkan tentang Dafinah sahaja.

Dia membetulkan posisi pembaringan Dafinah dan membiarkan sahaja dia tidur dengan baju basahnya. Kasihan pula melihat dia tidur dalam keadaan kesejukan. Hendak buat apa lagi? Kalau dia buka nanti lain pula anggapannya.

Akibat tidak selesa dengan pakaian yang masih basah, dia menanggalkan singlet hitamnya. Kemudian dia mengambil tempat yang jauh sedikit daripada Dafinah lalu dia duduk bersandar pada dinding. Dia tidak dapat menenangkan dirinya apabila detik cemas tadi berlangsung dalam kotak fikiran dan terus terfikir apakah nasib yang bakal ditimpanya nanti.

Bos Chong sudah tentu akan mengarah sekutunya memburu dirinya dan Dafinah. Hati dan fikirannya mulai gelisah dan perasaan takut mencengkam jiwa. Walaubagaimanapun dia memang tidak mahu terlibat dengan jenayah lagi. Dia mahu bebas daripada kerja-kerja kotor sebegitu. Biarlah dia menjadi penggali kubur sehingga tua kerepot sekali pun, asalkan dia tidak terjebak lagi dalam kerja itu.

Kalau dia dan Dafinah berjaya melarikan diri dari tempat ini, dia harus pergi jauh sehingga tiada siapa yang akan akan memburunya lagi. Tetapi bagaimana pula dengan Dafinah? Dia mahu ke mana? Kalau balik rumah pun akhirnya akan ditangkap jua. Tak akanlah Huzaiman kena membawanya sekali?

Belakang kepalanya kasar dihentak pada dinding. Sukar untuk dia mengungkapkan sesuatu yang kurang jelas di benak fikirannya. Ia seakan-akan sesuatu pada dirinya yang membuatkan dirinya sendiri mahu melindungi perempuan itu. Dafinah sudah kematian ibu bapanya, ke mana dia hendak pergi selepas dibebaskan nanti? Mungkin dia sudah mempunyai keputusan tersendiri. Dirinya pula masih membawa situasi yang bahaya pada kedua-dua orang tuanya yang merangkap ibu bapa kepada ibunya sendiri.

Tidak tahu lagi bagaimana cara untuk dia menjelaskan kesemua perkara yang sudah menimpanya ini. Sanggupkah nenek dan tok wannya menerimanya lagi? Tidak tahu mengapa tiba-tiba air matanya mengalir. Sedih terkenangkan nasib sendiri, menyesal kerana menjadi cucu yang tak berguna. Dia bertekad agar tidak akan terjerumus lagi dalam pekerjaan haram itu lepas ini.

Rahsia Kau dan AkuWhere stories live. Discover now