"Kau jaga diri kau baik-baik, Acik. Ingat, jangan berani kau pergi rumah Kak Dayang sendirian! Kita tak tahu apa mamat itu akan buat dekat kita nanti. Kita tak boleh percaya orang sangat pada zaman moden ini." Sebelum kakinya melangkah keluar dari rumah sewa kakaknya, sempat dia memberi teguran.
Dafinah pula tidak habis-habis mengeluh apabila ada sahaja nasihat overthinking adiknya memasuki cuping telinganya berkali-kali. Rungsing kepala dibuatnya kalau Dara sudah menggantikan tempat kakak sulung mereka, Daniza. Kalau diam, nampak sombong pula.
Selang beberapa saat kemudian, dia terbatuk-batuk di hadapan adiknya yang sedang menyarungkan kasut Nike yang baru dibelinya kelmarin. Tekaknya terasa gatal itu sudah menyerang kembali.
"Ha. Tengok itu. Waktu aku nak baliklah, kau nak sakit. Kalau batuk sikit tak apa, ini dah dengar macam jantung nak terkeluar." Dara menepuk-nepuk belakang kakaknya.
Batuk kakaknya itu baru sahaja menyerang malam kelmarin sewaktu mereka membeli makanan penting di pasar malam. Mungkin disebabkan banyak asap dari penjual-penjual yang membakar makanan seperti ayam, daging dan sebagainya. Biasalah, tekak kakaknya itu kalau menyedut asap yang terlampau banyak, memang gatal sedikit. Tidak sangkalah pula sehingga berlarutan hingga kini.
"Alah, kau ini... Malam nanti aku pergilah sendiri ke farmasi. Lagipun tak jauh pun farmasi itu..." Dafinah membalas seraya dadanya diurut.
"Tak payah nak gedik pergi waktu malam. Petang ini kau pergi sajalah terus. Malam-malam kau nak keluar, senanglah kerja lelaki jahat itu nak buat benda buruk lagi dekat kau. Jangan kau lupa yang selama ini dia sakitkan kau pada waktu malam." Dara bercakap dengan nada yang berbaur geram. Dirinya sudah mengetahui setiap jalan cerita kakaknya itu setelah diberitahu padanya tempoh hari.
"Ya, aku tahu. Kau cakap macam aku pula yang adik sekarang ini. Lagi pun kau kan dah bagi aku ubat paracetamol. Aku makan tadi, dah hilang batuk." Dafinah terbatuk lagi. Eh, lain pula yang terjadi.
"Tengoklah sekarang. Batuk juga. Paracetamol itu cuma sementara saja. Kau pergilah jumpa doktor sebab dia orang lagi arif."
"Hmm..." Mahu tak mahu sahaja dia membalas. Belakang cuping telinganya digaru. Jarang adiknya menegur sebegini rupa.
"Ingat. Kalau kau suspicious dengan sesiapa, lari dapat bantuan atau call aku cepat-cepat."
Lah. Tak habis lagi rupanya... Ingatkan apabila dah bergerak beberapa langkah menjauhinya, dia akan berlalu pergi tanpa menamatkan perbualan. Ada lagi tambahan untuk menyedapkan perisa. Cakap serupa Superwoman sahaja. Macamlah dia boleh terus terbang selamatkan dirinya setelah dihubungi.
"Hmm..."
"Lagi satu. Sorry Acik aku tak dapat nak teman kau sebab bas aku akan sampai lagi setengah jam. Kau faham-fahamlah kan... Bas ini kalau datang lambat, tertinggal pula. Lebih baik datang awal." Sempat Dara memohon maaf dari kakaknya yang kelihatan sedikit pucat daripada raut wajahnya yang biasa.
"Hmm... Kau itu hati-hati cari jalan balik ke kolej."
Dia tidak menjawab pesanan kakaknya, malah langkahnya pantas menuruni anak tangga satu per satu. Beg galas yang berjenama Adidas di belakangnya sudah terlantun-lantun di belakangnya kerana dirinya yang tergesa-gesa mahu menamatkan langkah sehingga ke penghujung tangga. Rumah sewa kakaknya berada di tingkat lima, jadi agak letih jugalah untuk dia yang jarang bersenam ini.
Setibanya tapak kakinya berjaya mendarat di lantai terakhir, dapat dirasainya betapa lajunya degupan jantung yang menjadi organ penting dalamannya. Lif tiba-tiba sahaja buat hal waktu dia membawa beg yang berat. Geram betul! Omelnya sendiri sambil bibirnya dijuih.
YOU ARE READING
Rahsia Kau dan Aku
Action[ON GOING] Dafinah Awatif Dilamar oleh lelaki yang serba-serbi hidup mewah dan perwatakannya yang baik, masakan mahu ditolak. Umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Sudah terbayang betapa bahagianya kehidupan nanti dihujani dengan kemewahan. Ba...