15 ✿ Siapa

7 3 0
                                    

"Tuan Vlair, bilik telah siap." panggil wanita pembantu rumah tadi, seraya memecahkan sunyi di antara Vlair Kieran dan Celeste Raul yang sedang bertentangan mata. Masing-masing laju mengalihkan pandangan ke arah lain.

Vlair Kieran berdehem. Dia memandang ke arah wanita itu sebelum mengangguk. Wanita tadi beralih ke tepi sebelum menunduk hormat dan sebelah tangan didepakan ke arah menuju ruang koridor. "Silakan, Tuan." ujarnya.

"Mari." Vlair Kieran memanggil Celeste Raul sambil dia berjalan mengekori wanita pembantu rumahnya menunjukkan bilik.

Mahu atau tidak, Celeste Raul terpaksa ikut. Dia berjalan dibelakang Vlair Kieran. Koridor rumah agam itu agak luas dan panjangnya boleh disamakan dengan panjang padang bola sepak. Buat seketika, Celeste Raul mengutuk orang kaya di dalam hatinya kerana membazir. Buat rumah besar-besar tapi yang tinggal di situ cuma seorang. Pembantu rumah dan pekerja lain pula tinggal di bangunan berasingan.

Sedang dia mengomel di dalam hati, Celeste Raul terhantuk pada belakang tubuh Vlair Kieran yang berhenti secara tiba-tiba. Dia menggosok hidungnya yang terasa pedih. "Kenapa berhenti?" soal Celeste Raul. Dia melihat pembantu rumah tadi yang mana telahpun meninggalkan mereka di hadapan sebuah pintu bilik yang terbuka.

"Kenapa tak masuk?" soal Celeste Raul lagi. Dia memandang Vlair Kieran yang kaku di hadapan pintu lalu menolak lelaki itu ketepi sedikit supaya dirinya juga boleh masuk untuk melihat ke dalam bilik. Namun setelah itu, dia juga turut sama tercengang seperti Vlair Kieran.

"I..ini??!" Dia menunjuk ke arah bilik yang terhias cantik dengan renda berwarna merah dan katil bercadar putih dengan hiasan kain merah. Bunga mawar yang ditabur menambahkan lagi seri katil tersebut. Bau yang sangat aromatik dari lilin di sekitar bilik itu hampir saja membuatkan Celeste Raul meremang bulu roma. Bilik itu tidak ubah seperti bilik hotel untuk pasangan berbulan madu dan bagi menikmati malam pertama.

"Salah bilik." Vlair Kieran menarik Celeste Raul keluar lalu pintu bilik ditutup dengan hempasan yang kuat. Masing-masing terdiam. Vlair Kieran memanggil semula pembantu rumahnya dengan menggoyangkan loceng di tepi pintu bilik.

"Tuan Vlair." tidak sampai berapa minit, wanita tadi kembali dengan tunduk hormat.

"Kau pasti ini biliknya?" soal Vlair Kieran sambil menunjuk ke arah bilik tadi.

Wanita itu kelihatan hairan saat ditanya. Dia mengangguk. "Tuan minta sediakan satu bilik. Semuanya sudah dikemas dan dihias." balasnya.

"...." Vlair Kieran membuka pintu bilik tadi dan dia menunjukkan situasi itu pada wanita tersebut namun reaksi wajah wanita itu masih kelihatan bingung seperti tidak faham akan apa salahnya.

"Bukankah Tuan Vlair mahu bermalam dengan lelaki ini? Jarang sekali Tuan Vlair membawa seseorang pulang ke rumah, tapi kami sediakan sama seperti yang sebelum-sebelum ini. Lagipun, lelaki ini orang yang sama yang Tuan Vlair bawa pulang sebelum ini. Tuan tak mahu bermalam dalam bilik ni? Patutkah kami sediakan di bilik utama?" pembantu rumah itu bersuara.

Vlair Kieran terdiam seraya dalam masa yang sama mahu menepuk dahi. Celeste Raul yang mendengar dari tepi membuntangkan mata dengan besar. Terkejut. Dia menunjuk jari ke arah wanita itu sebelum menunjukkan pula ke arah Vlair Kieran. "Jadi, ini rancangan awak?!" Celeste Raul mendengus marah lalu terus berpaling dan berjalan laju mahu beredar dari situ.

"Raul!" Vlair Kieran pantas menarik semula lelaki itu supaya berhenti berjalan.

"Apa?!" Celeste Raul geram. Walaupun dia tahu sejak dahulu, rupanya agak lembut dan cantik, dia masih dalam kategori lelaki kacak. Dia seorang lelaki. Lelaki yang rupawan.

"Awak salah faham."

"Oh? Salah faham? Tapi pembantu rumah awak macam sudah biasa sediakan semua ni. Kenapa? Selain saya, awak bawak lelaki lain balik rumah juga ke? Tak tahu pula saya yang awak ni minat pada lelaki. Maaf, tapi saya bukan macam tu. Sekian!"

"Tak. Bukan apa yang awak fikirkan."

"Apa yang saya fikir? Pembantu rumah awak sendiri cakap, mereka cuma sediakan macam yang sebelum ini. Ahaha!!" Celeste Raul ketawa selepas itu, dia rasa mentalnya agak berat untuk menerima tentang segala yang terjadi. Sejak bertemu Vlair Kieran, hidupnya tunggang-langgang. Semua benda jadi tak kena.

"Raul."

"Sudah!" Celeste Raul menepis tangan Vlair Kieran yang menahan dirinya dari beredar. Dia laju meninggalkan lelaki itu namun Vlair Kieran juga masih belum mahu berputus asa. Tangan Celeste Raul kembali diraih.

"Raul!"

"Stop it! Awak siapa sebenarnya? Apa yang awak mahukan dari saya? Tolonglah, jangan ganggu saya lagi lepas ni. Saya nak balik. Hantarkan saya balik. Saya dah penat."

Vlair Kieran menarik nafas dalam. Pergelangan tangan Celeste Raul masih dalam genggamannya. Perlahan, jari-jemari milik Vlair Kieran melurut ke bawah dan jarinya merangkul jari-jemari milik Celeste Raul. Dalam masa yang sama, dia dapat melihat riak wajah Celeste Raul yang bertukar menjadi gelap bagai awan mendung tatkala tangan mereka bertaut.

"Raul. Dengar penjelasan saya dulu. Boleh? Saya janji saya akan beritahu semuanya. Saya tak akan ada rahsia lagi dengan awak. Awak tinggal di sini ya? Dengan saya." pujuknya lembut.

Celeste Raul boleh rasa bulu romanya meremang apabila mendengar nada suara milik Vlair Kieran. Vampire, apabila mereka bersuara, semua mangsa boleh jatuh ke dalam dakapan mereka. Tanpa usaha, mangsa yang melihat ke dalam mata itu saja boleh jatuh cinta sehingga menusuk ke dalam hati. Jantung milik Celeste Raul berdegup kencang.

"A..apa yang awak dah buat?" soal Celeste Raul. Dia takut. Kakinya kejung, kaku di tempat yang sama. Walaupun mindanya menjerit minta dia melarikan diri, tubuhnya bukan lagi miliknya. Dia sedikit pun tidak mampu bergerak dari situ.

Vlair Kieran mendekati Celeste Raul. Semakin lama, jarak diantara mereka semakin berkurangan dan sehingga sampai beberapa sentimeter dari wajah Celeste Raul, lelaki itu kemudiannya menggunakan bahu Celeste Raul sebagai tempat untuk bersandar. Dahinya diletakkan di atas bahu. Dada mereka hampir bersentuhan, hanya dipisahkan dengan kain baju yang dipakai. Celeste Raul mahu menolak namun sekali lagi dia tidak mampu untuk bergerak.

"Halena..." panggil Vlair Kieran dengan perlahan.

Snap!

Sesuatu telahpun putus. Di dalam fikiran Celeste Raul tatkala itu, sesuatu yang dia sendiri tidak pasti apa, telah pun hilang. Sesuatu.. sesuatu yang tersembunyi.

Halena. Pertama kali dia mendengar nama itu dari bibir Vlair Kieran. Sesaat, satu potret wajah, terimbas sekilas di dalam minda. Pertama kali dia merayau di rumah Vlair Kieran kerana sesat, pertama kali juga dia melihat sebuah bilik khas yang hanya dihiasi dengan satu potret wajah yang besar. Barangkali lukisan potret itu dilukis sendiri oleh Vlair Kieran kerana ada tandatangan berhuruf V di bawah.

Wajah di dalam potret itu... tidak tumpah seperti wajahnya. Beza mereka adalah jantina.

Siapa Halena? Siapa Count Orlok?

Semuanya masih belum diterangkan oleh Vlair Kieran. Namun, ketika itu, di dalam fikiran Celeste Raul hanyalah persoalan 'siapakah aku?'.

ELYSIUMWhere stories live. Discover now