Halena.
Siapa Halena?
Dia adalah wanita yang paling dikagumi semua orang satu ketika dahulu kerana kepintaran dirinya. Dia adalah wanita yang sangat cantik dan dia digilai ramai pemuda. Ini adalah kisah sebelum munculnya Nesuferit di dalam hidup mereka sekeluarga. Halena Ainsley Hamiltone atau lebih dikenali sebagai anak perempuan kesayangan keluarga Duke Aimar atau Siegward Loid Hamiltone, merupakan seorang wanita berpengaruh. Ke mana saja dia pergi, dia menjadi tumpuan ramai. Siapa tidak kenal dengan Halena?
Namun malang sekali, keluarga bangsawan ini mempunyai satu rahsia yang tidak diketahui orang lain kecuali keluarga diraja yang memerintah. Duke Aimar hanya menerima arahan daripada keluarga diraja dan mereka adalah keluarga yang paling taat pada pemerintah. Ini adalah kerana rahsia mereka yang dipegang dan dilindungi oleh keluarga diraja. Sebagai ganti kesetiaan keluarga Duke Aimar terhadap keluarga diraja, rahsia itu kekal sebagai rahsia.
Keluarga bangsawan ini tidak akan menerima orang luar dan mereka tidak akan pernah memberi peluang untuk orang luar mendekati mereka. Anak lelaki dan anak perempuan dari keluarga ini hanya akan berkahwin dengan orang yang dipilih keluarga. Orang ramai tidak tahu dan tidak dapat memahi mengapa keluarga bangsawan ini terlalu tertutup. Dikatakan mereka ingin menjaga darah bangsawan dan tidak mahu bercampur.
Tetapi, hanya orang dalam sahaja yang tahu akan bahawa sebenarnya, perkahwinan diantara mereka dari keluarga itu adalah dikalangan mereka sendiri. Ya, Duke Aimar, keluarga bangsawan ini sejak dahulu melakukan hubungan perkahwinan diantara keluarga terdekat. Disebabkan ini juga, ada anak lelaki atau anak perempuan yang disembunyikan kewujudan mereka sehinggalah sampai masa untuk mereka berkahwin.
Halena adalah anak perempuan pertama Duke Aimar. Semua orang tahu bahawa Duke Aimar mempunyai anak perempuan. Maka, anak kedua yang mana merupakan seorang lelaki, telah disembunyikan kewujudannya. Dia adalah Vlair Kieran, yang mana keluarga mereka mahu satukan dengan Halena, kakaknya sendiri. Dia dilahirkan hanyalah untuk menjadi pasangan kepada Halena. Selepas dilahirkan, Vlair Kieran dihantar ke rumah keluarga lain untuk dibesarkan sebelum dia dipulangkan semula apabila telah mencapai umur 18 tahun.
Walaupun Halena tahu keluarga mereka bermasalah dan tidak normal, dia tidak mampu membenci Vlair Kieran, adiknya sendiri. Namun begitu, tidak bermaksud dia juga bersetuju dengan keluarganya yang mahu dia berkahwin dengan Vlair Kieran. Sejak awal, Halena hanya mahu menentang Duke Aimar dan keluarga diraja yang membiarkan perkara tersebut terus berlanjutan. Memikirkan yang dirinya akan menjadi sama seperti ibubapa mereka yang mana juga adik beradik, Halena tidak sanggup.
Selepas Vlair Kieran mencapai umur dewasa, Halena merancang untuk menjatuhkan Duke Aimar dan keluarganya sendiri. Vlair Kieran juga tahu tentang apa yang dirancang oleh Halena dan kerana sayang akan wanita itu, dia membiarkan saja Halena melakukan sesuka hati. Walaupun dia tahu perkara itu salah, namun jauh di dalam sudut hati Vlair Kieran, dia cuma mahu Halena gembira. Di malam majlis yang sepatutnya menjadi hari mereka berdua disatukan, Halena telah memberitahu berita mengejut kepada semua orang. Dia telah tidak lagi suci dan telah bersama seorang pemuda.
Mengetahui akan darah keluarga bangsawan mereka yang kini telah tercemar, Duke Aimar dan ibu mereka mengamuk. Vlair Kieran yang mana ketika itu baru tahu tentang Halena yang telah mengandung anak lelaki lain merupakan orang paling malang. Dia dituduh oleh ibubapa mereka sendiri yang dia tidak tahu menjaga bakal isterinya. Dia juga telah dihalau bersama Halena untuk keluar dari rumah. Sesuatu yang tidak disangka oleh semua orang pada ketika itu, penjatuhan keluarga bangsawan Duke Aimar baru sahaja bermula.
Tetapi dalam masa yang sama juga, sesuatu yang tidak diduga telah berlaku. Halena mungkin anak muda berdarah panas yang mahu memberontak, namun dia tidak tahu mengapa keluarganya mengambil keputusan sebegitu. Mungkin salah untuk mereka berkahwin sesama mereka. Mungkin alasan tidak mahu darah bangsawan mereka bercampur adalah salah. Ada sesuatu yang ibubapa dan keturunan mereka yang terdahulu tidak memberitahu. Ini adalah kerana rahsia keluarga mereka hanya akan diberitahu selepas majlis perkahwinan mereka.
Keluarga bangsawan Duke Aimar telah disumpah. Mereka tidak boleh bersama dengan orang lain selain keluarga mereka sendiri. Mereka selamanya hanya boleh berkembang jika berkahwin sesama sendiri. Jika mereka berkawin dengan orang luar dan mempunyai anak, tidak kira apa sekalipun, mereka pasti akan mati. Pelik? Namun inilah yang berlaku. Tiada siapa yang tahu mengapa mereka jatuh sakit dan berakhir dengan kematian. Duke Aimar hanya melakukan tugasnya sebagai ketua keluarga untuk melindungi keluarga mereka.
Namun perbuatan Halena telah menyebabkan apa yang dirisaukan oleh keluarga bangsawan itu berlaku juga. Halena tidak berkahwin dengan Vlair Kieran sebaliknya memusnahkan majlis perkahwinannya sendiri. Dia juga telah bersama dengan lelaki lain malah telah mengandung anak yang mana bapanya tidak diketahui. Setahun pertama selepas anaknya dilahirkan, Vlair Kieran adalah orang yang menjaga Halena dan bayi tersebut. Walaupun mereka dihalau oleh Duke Aimar, Vlair Kieran masih lagi seorang lelaki kuat yang mampu untuk menyara dirinya sendiri serta Halena.
Dia telah membawa Halena merantau ke tempat lain bagi memulakan hidup baru. Halena dan bayi kecilnya disara oleh Vlair Kieran sehinggalah pada tahun berikutnya, muncul perubahan pada wanita itu. Halena jatuh sakit dan sedikit demi sedikit tubuhnya semakin lemah. Ke semua wang yang didapati Vlair Kieran habis untuk merawat Halena. Anak yang baru mahu membesar semakin terabai. Vlair Kieran mula terasa akan hidup yang susah. Dia yang tidak pasti tentang apa yang sedang berlaku mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Duke Aimar dan ibunya bagi mendapatkan jawapan.
Malang sekali, apabila dia tiba di rumah agam keluarga bangsawan itu, dia mendapati hampir kesemua ahli keluarganya jatuh sakit. Mereka yang terselamat hanyalah Duke Aimar dan dua tiga orang sepupu lelakinya. Wanita di dalam keluarga itu pula sudah tidak lagi dapat diselamatkan. Apa yang Halena mahukan telah tercapai. Dalam masa hampir tiga tahun, keluarga bangsawan Duke Aimar musnah. Ketika itu jugalah, Duke Aimar telah memberitahu perkara sebenar tentang rahsia keluarga mereka kepada Vlair Kieran.
Walaupun tidak ada apa lagi yang mampu Vlair Kieran lakukan, dia berjanji yang dia tidak akan memberitahu Halena tentang perkara sebenar. Dia tidak mahu Halena berasa serba salah atau merasakan yang dirinya telah menyebabkan kematian ramai orang. Perkara terakhir yang dilakukan oleh Duke Aimar sebelum Vlair Kieran pergi adalah memberikan jawatan serta harta kepada satu-satunya anak lelaki dan pewaris yang dia ada. Tidak lama selepas itu, keluarga bangsawan yang dikenali ramai di kawasan tersebut lesap tanpa diketahui.
Vlair Kieran membawa bersamanya apa yang tinggal akan sisa-sisa. Nama Duke Aimar serta harta keluarganya, dia membawa diri ke perantauan. Bagi mencari rawatan untuk masalah kesihatan yang dialami Halena, anak kecilnya turut dibawa bersama. Walaupun Vlair Kieran tahu tiada rawatan yang mampu merawat masalah Halena, dia masih belum mahu berputus asa. Halena adalah satu-satunya keluarga yang dia masih ada. Satu-satunya.

YOU ARE READING
ELYSIUM
VampirPernah dengar tentang Elysian? Elysian berasal daripada perkataan Greek, Elysium. Elysium membawa maksud suatu tempat kebahagiaan selepas kematian. Manusia yang meninggalkan dunia akan mendapat berkat dan restu di dunia selepas kematian. Mereka dija...