Nafeesa, 24 tahun, merupakan salah seorang manusia yang bekerja sebagai pemandu di syarikat Pemandu yang fungsinya sama sahaja seperti grabcar atau taxi, cumanya Pemandu membenarkan penumpang untuk memilih gerangan yang menjadi pemandu mereka di dalam aplikasi Pemandu. Dia buat kerja ni kira-kira selama 2 tahun sebab nak kumpul duit untuk bayar yuran PTPTN dia menggunakan kereta yang arwah ayah dia berikan. Bagi dia kerja ni dah cukup untuk tampung dia, sementara dia ada bisnes kecil-kecilan buat nasi lemak dan bekalkan kepada warung-warung terdekat.Dia perasan bahawa akan ada seorang lelaki yang menggunakan perkhidmatan dia selang tiga atau empat bulan. Lelaki tu akan ke tempat yang sama. Pulang pun ke rumah yang sama. Tapi setiap kali pergi riak wajahnya pasti akan berlainan. Bau wangiannya pasti berlainan. Bunga yang dia singgah beli pun pasti berlainan selepas beberapa bulan. Curang ataupun lelaki itu buaya? Nafeesa tak tahu. Kalau boleh dia tak nak tahu. Sampai lahenam bulan selepas dia menghantar lelaki itu pulang, baru kali ini dia dapat pesanan untuk memandu ke tempat yang sama, orang yang sama. Dari kafe yang sama ke rumah yang sama. Kali ini lama sedikit sebelum khidmatnya diperlukan kembali. Dan kali ini agak menghairankan kerana lelaki itu cuba untuk berbual dengannya.
Kebetulan kafe yang dituju lelaki itu merupakan tempat sahabat baiknya bekerja. Sahabatnya itu merupakan barista di sana. Jadi setiap kali dia berhentikan keretanya di hadapan kafe tersebut, rakannya akan datang menghulurkan secawan coklat panas.
Sahabat baiknya itu bernama Elyana. Selalu juga Yana mengajak dia bergosip. Dan dari Yana lah dia dapat tahu yang penumpang dia datang ke kafe tersebut untuk temu janji bersama teman wanitanya. Setiap kali penumpang itu di hantar oleh Nafeesa, itu lah kali pertama temu janji mereka di situ. Bermakna, Nafeesa dah bawa penumpang dia berjumpa dengan 4 orang yang berbeza. Wah, tak sangka dalam orang itu mencuba membina hubungan dengan wanita, Nafeesa masih seorang yang single mingle. Nak kata sedih atau tak ya?
Pulang dari kafe itu juga, lelaki yang sama menjadi penumpangnya.
"Nama saya Ismail. Syed Ismail."
Nafeesa pandang cermin pandang belakang bagi meneliti wajah yang sedang berbicara dengannya. Apa motif lelaki itu memperkenalkan dirinya?
Lelaki itu tersenyum kecil. Seperti dipaksa. "Disebabkan setiap kali ke sini, saya akan minta awak yang hantar kan, saya rasa nak bercerita pula pada awak. Maaf lah kalau awak tak selesa."
Nafeesa diam kemudiannya. Cuba fokus dengan pemanduannya.
"Saya ni duda."
Kereta berhenti secara tiba-tiba. Nafeesa tergamam. Waduh, macam mana pula dia boleh brek kecemasan pula ni? Orang tu bagi tahu dia duda je pun, bukannya bagi tahu yang dia tu penjenayah atau anak raja.
"Sorry." Ringan mulut meminta maaf sebelum dia kembali memandu dan kali ini dengan lebih berhati-hati. Ismail tersenyum kecil. Dapat dia agak bahawa gadis itu akan terkejut. Silap dia juga beri informasi yang terlebih. Tapi hati dia dah banyak sangat menyimpan rasa. Kali ini dia perlu untuk luahkannya, kalau tak dia rasa dada dia akan meletup.
"Silap saya."
"Saya sangka mereka akan dapat jadi peneman hidup saya selepas bekas isteri saya, tapi tidak."
"Saya reda bila isteri saya cintakan lelaki lain, tetapi anak saya, maksud saya anak kami, perlukan seorang ibu untuk dia dapat kasih sayang secara sempurna."
"Saya sedih sebab tak dapat nak penuhi keperluannya."
"Saya cuba untuk cari calon isteri dan ibu untuk anak saya. Tapi mereka semua hanya mahukan harta saya."
"Saya fikir peribadi mereka sudah baik. Saya fikir mereka akan jatuh kasih terhadap anak saya. Tetapi sangkaan saya salah."
"Bagaimana anak saya nak dapatkan kasih sayang yang cukup kalau yang mereka fikir hanyalah shopping dan keluar berjalan sahaja? Inara perlukan kasih sayang ibu, tapi tiada yang sanggup jadi ibu dia." Nada lelaki itu bertukar sayu.
Nafeesa jadi serba salah. Apa yang perlu dia buat dengan informasi yang diberi ini? Perlukah dia pujuk lelaki itu? Tetapi untuk apa? Cukup kalau dia sekadar menjadi pendengar sahaja, kan?
"Saya pernah nampak awak berbahasa isyarat. Awak belajar dari mana?"
"Hah?" Terpinga-pinga apabila dirinya diberikan soalan oleh lelaki itu.
"Saya tanya, awak belajar bahasa isyarat tu dari mana? Sebab saya pernah nampak awak berbual dengan juruwang di kafe itu dengan bahasa isyarat."
"Oh." Jeda seketika sambil dia menimbang tara adakah dia perlu untuk memberitahu lelaki itu tentang hal itu.
"Mak cik saya bisu dan pekak." Dia memberitahu. Bukannya perkara yang memalukan pun. "Tapi bahasa isyarat tu pun saya masih baru sahaja belajar. Belum mahir lagi. Sekadar asas tu saya tahu la."
"Saya nak bawa awak jumpa anak saya, boleh?"
"Huh?"
YOU ARE READING
Smile!
RomanceTentang Ismail, Inara dan Nafeesa yang menjadi satu keluarga demi merasa bahagia.