SELEPAS selesai solat tadi, Ismail yang tidak pernah menjejakkan kaki di surau kampung itu menjadi perhatian para jemaah yang menunaikan solat zuhur berjemaah di surau yang sama. Habis dari soalan ke soalan ditanyakan kepada dia yang sedang dalam keadaan terpinga-pinga itu. Nafeesa tak ada beritahu dia pun bahawa perasaan ingin tahu (aka busybody) warga-warga kampung ni tinggi.
"Assalamualaikum!" Salam diberi oleh beberapa orang kampung apabila mereka tiba di hadapan rumah Mak Cik Kalsum. Nafeesa cepat-cepat memberitahu mak ciknya bahawa orang kampung sudah tiba bersama Ismail yang diiringi rapat bagaikan mereka merupakan pengawal peribadinya. Inara yang baru sahaja dimandikan juga turut mengekor Nafeesa yang ke pintu untuk menjemput tetamu mak ciknya masuk ke dalam rumah.
"Waalaikumussalam. Jemputlah masuk." Nafeesa bersama senyumannya yang tidak lekang dari bibir menjemput mereka yang di luar untuk masuk ke dalam.
"Apa pula kau ni Nafeesa oi? Kau fikir rumah mak cik kau ni sebesar istana nak jemput kami masuk ramai-ramai? Kami duduk dekat bawah bumbung ni pun tak apa." Salah seorang daripada mereka menolak dan yang lainnya ikut mengangguk. Kalau ikutkan, muat sahaja rumah Mak Cik Kalsum itu untuk menampung mereka beramai-ramai. Tapi sempitlah nanti. Selalunya pun, mereka akan duduk di bawah bumbung tepi rumah yang memang sudah siap sedia meja dan kerusi untuk digunakan. Macam khemah katering pun ada. Tetapi jenis yang tidak pernah ditutup.
Nafeesa tersipu-sipu malu. "Yalah, jemputlah duduk. Ambil tempat masing-masing." Laluan diberikan kepada mereka para lelaki untuk mengambil tempat di bawah bumbung tepi rumah manakala para wanita membawa diri mereka masuk ke dalam rumah seperti kebiasaan mereka. Si kecil Inara disapa dengan begitu mesra. Teruja si kecil itu apabila ada di antara mereka yang berbual dengannya dengan bahasa isyarat yang dia ketahui.
"Anak kamu, Nafeesa?"
Nafeesa senyum dan mengangguk. "Haah. Inara namanya."
"Comel budaknya. Cerdik."
Nafeesa tersenyum bangga. Dia mengelus rambut Inara yang berada di sisinya. Ismail yang menyaksikan perbualan itu dari jauh turut mengukir senyuman lebar. Tidak lama kemudian, bayang Mak Cik Kalsum muncul bersama beberapa para lelaki gagah yang membawa dulang makanan ke hadapan rumah. Ismail terkedu sebentar kerana dia tidak melakukan apa-apa untuk membantu mak cik kepada Nafeesa itu. Baru sahaja dia ingin menawarkan pertolongan, tangan Mak Cik Kalsum sudah terangkat menghentikan perbuatannya.
Kau duduk sini. Makan apa mak cik masak. Faham?
Terangguk-angguk kepala Ismail bagaikan burung belatuk sebagai respon kepada arahan Mak Cik Kalsum itu. Faham, mak cik.
Nafeesa menekup mulutnya menahan tawa dari terburai apabila nampak Ismail menjadi patuh semacam apabila mendapat arahan sebegitu oleh mak ciknya.
"Behave betul, budaknya," komen Nafeesa sambil mata tidak lepas pandang Ismail dari jauh.
"Suami depan mata pun kamu angau lagi ya, Nafeesa."
Terkejut wanita muda itu apabila ditegur oleh salah seorang warga kampung. Terus dia tayang sengih tidak bersalahnya sambil berkata, "apa salahnya, makcik? Bukan selalu."
Mak cik itu sekadar senyum nipis mendengar jawapan yang keluar dari mulut Nafeesa. Dalam hatinya, dia berdoa agar perkahwinan antara Nafeesa dan Ismail berkekalan hingga ke syurga dan dilimpahi rahmat Allah SWT.
"Allahuakbar," ucap Ismail seraya melabuh punggungnya di atas tilam empuk. Rasa macam badannya mencair apabila merasai keempukan tilam itu.
"Amacam? Letih?" Soal Nafeesa yang sedang bersandar pada kepala katil sambil tangannya menatal skrin telefon pintarnya.
Ismail angguk kepala sebagai respon. Nak baring tapi Inara dan Nafeesa sudah mendominasi katil itu. Jadi dia duduk sahajalah di ruang yang ada. Sudah habis pelbagai versi wajah kasihan ditunjukkan olehnya kepada Nafeesa, tetapi isterinya itu seperti tidak mengerti pula erti riak wajahnya itu.
Nafeesa diam-diam tersenyum. Sengaja dia nak buli Encik Smilenya ini. Bukan selalu, kan? "Awak tidur mana? Lantai?"
Bahu Ismail kelihatan jatuh. Tapi dia pasrah sahaja memandangkan badan sudah letih dan mengantuk. Kepala diangguk lemah.
"Saya bentangkan toto, ya?" Nafeesa terus bangkit dan membuka almari yang diperbuat daripada kayu jati itu untuk mengambil toto yang disimpan oleh mak ciknya di dalam itu. Toto tersebut dihamparkan di ruang kosong di sisi katil. Dua bantal ekstra dan selimut juga dibawa keluar dari almari tersebut dan diletakkan elok di atas toto yang sudah dihampar tadi. Bantal ditepuk-tepuk bagi membuang habuk-habuk yang barangkali wujud setelah lama bantal itu tidak digunakan. Kemudian, dia mengambil tempat di bahagian kanan toto dan ruang kosong ditepuk-tepuk perlahan. "Sini, Encik Smile," panggilnya.
Ismail terkebil-kebil apabila Nafeesa sudah menyelesakan dirinya di atas lantai berlapik toto tebal. Ruang kosong di sebelah isterinya itu dikerling. Dia pandang Nafeesa pula yang masih tersenyum-senyum ke arahnya. Alahai, dia fikir Nafeesa akan tidur di atas katil bersama Inara. Langkah diatur perlahan sehingga dia tiba di sebelah Inara. Dia senyum senget ke arah Nafeesa yang sudah terbungkam itu. Katil ada ruang kosong, buat apa nak tidur dekat lantai, kan? Terus dia merebahkan badannya di sebelah Inara.
"Wah, kita buat baik kat dia, dia buat macam ni pula kat kita. Ini bikin panas ni," omelan Nafeesa kedengaran jelas di telinga Ismail. Sememangnya Nafeesa sengaja mahu cakap kuat-kuat biar suaminya itu ada kesedaran sikit. Sebal hatinya dibuat begitu oleh Ismail. Sudahnya dia memejam mata rapat sambil baring membelakangi katil. Sakit hati.
Tiba-tiba kedengaran tawa dari belakangnya. Nafeesa buat keras. Entah bila mamat ni muncul dekat belakang dia entah. Dia tahu bahawa Ismail sedang baring di belakangnya kerana kehangatan tubuh badan lelaki itu dapat dirasai olehnya.
"Ya. Terima kasih buat baik dekat suami awak ni. Saya bergurau saja tadi," ucap lelaki itu sambil tangannya membelai lembut rambut Nafeesa.
Nafeesa diam. Bergurau cara mereka suami isteri, dia tahu itu. Memang semenjak mereka berkahwin, sesi usik mengusik tak pernah nak habis. Dia usik Ismail, Ismail usik dia. Bukannya bercakaran betul-betul pun. "Hm." Itu sahaja yang kedengaran dari pihaknya. Tak larat nak bercakap kerana kantuk mula datang.
Selesa dengan keadaan mereka, mata Nafeesa mula memberat. Dia menekup mulut yang ingin menguap dengan tangan kiri. Badannya diubah kedudukan, tidak lagi mengiring. Kepalanya kini menghadap siling rumah. Tangan Ismail masih lagi kekal membelai rambutnya.
"Goodnight, Ismail."
"Goodnight, sayang..."
"...baby cinta hati belahan jantung hati kekanda."
Terbuntang luas mata Nafeesa. "Nooooo!!!"
YOU ARE READING
Smile!
RomanceTentang Ismail, Inara dan Nafeesa yang menjadi satu keluarga demi merasa bahagia.