Bab 15

10 3 0
                                    

"ADAKAH semua dah bersedia?!" Nafeesa bersorak sambil tangannya tergawang di udara apabila berkomunikasi dengan Inara. Tidaklah Inara terasa seperti ketinggalan.

Inara melompat-lompat sambil mengangguk-anggukkan kepalanya dan menepuk tangan tanda gembira dan teruja. Ismail muncul dari dalam bilik. Di tangannya ada dua beg baju berwarna hitam milik mereka bertiga. "Dah siap semua?" Ismail bertanya. Dia ingin memastikan bahawa percutian pertama mereka sebagai sebuah keluarga baharu berjalan dengan lancar.

"Sudah!" Nafeesa menunjuk ibu jarinya. Tangan Inara dipimpin dan mereka turun ke bawah untuk bertemu dengan Sharifah Ayu dan Syed Halim yang sedang berada di kebun mini mereka. Mereka akan pergi bercuti kemudian terus pulang ke rumah yang ditinggal oleh Ismail dan Inara.

"Mak! Abah!" Dulu-dulu Nafeesa yang menegur ibu bapa mentuanya. Wajahnya ceria dihiasi senyuman lebar-selebarnya. Dia berasa seronok setiap kali menyebut dua gelaran itu. Hatinya yang dulu sedikit kosong terisi penuh dengan segala rasa yang memenuhi setiap sudutnya. Perasaan yang dah lama hilang dalam dirinya sudah kembali. Kadangkala, dia rindu untuk memanggil kedua-dua gelaran itu. Itu dulu, ketika dia tiada sesiapa untuk dipanggil gelaran itu. Kini, sudah dua orang tua hebat yang layak dipanggil 'mak' dan 'abah' olehnya.

"Nak pergi dah?" Sharifah Ayu bangun dari cangkungannya lalu berjalan ke arah paip air untuk membersihkan tangannya yang cemar dengan tanah. Syed Halim juga turut berbuat demikian. Dia mendapatkan cucu kesayangannya, si kecil Inara dan anak kecil itu terus masuk ke dalam pelukannya. Memang kesayangan yang sering dimanjakan.

"Haah. Nak gerak dah. Dah janji dengan mak cik Nafeesa yang kita orang akan singgah rumah dia dulu." Nafeesa memberitahu. Dia mencapai tangan Sharifah Ayu untuk dicium.

"Mak cik kamu yang seorang tu ya?" Sharifah Ayu bertanya untuk mendapatkan kepastian. Setahunya Nafeesa ada seorang sahaja mak cik yang merupakan kakak kepada arwah ibunya. Mak ciknya itu sudah tua. Umurnya lebih lanjut dari Sharifah Ayu dan Syed Halim. Kira-kira dalam 6 tahun lebih tua. Suaminya sudah meninggal dunia gara-gara sakit jantung. Yang ada hanyalah anak-anaknya 2 orang yang jarang pulang ke rumah. Majlis perkahwinannya tempoh hari tidak dihadiri oleh mak cik Nafeesa itu kerana kurang sihat.

"Betul tu mak. Yang bisu sama macam Inara tu." Nafeesa menganggukkan kepalanya mengeyakan.

"Kalau macam tu, sekejap." Sharifah Ayu masuk ke dalam rumah. Sementara menunggu maknya yang hilang ke dalam rumah itu, Ismail mengisi beg pakaian ke dalam but kereta.

Sharifah Ayu keluar semula dengan membawa sebungkus plastik berisi bekas makanan. Terus bungkusan plastik itu diberikan pada Ismail sebelum sempat Nafeesa menghalang. "Ya Allah, mak. Tak apalah." Nafeesa tak sempat untuk menghalang Ismail dari meletakkan bungkusan plastik itu tadi ke dalam kereta. Tangannya kemudian direntap oleh Sharifah Ayu sebelum dia merasakan sesuatu dalam genggamannya.

"Mak!" Terkejut Nafeesa apabila mengetahui ada gulungan sampul raya yang sudah tentunya berisi wang di dalamnya di dalam genggaman tangannya hasil pemberian Sharifah Ayu tadi. "Tak perlulah mak..." Nafeesa sudah berkerut dahi. Tangannya sudah sedia ingin memulangkan semula sampul itu kepada Sharifah Ayu. Tetapi tidak diterima oleh ibu kepada Ismail itu.

"Ambil tu. Bagi pada mak cik kamu." Sharifah Ayu memujuk.

"Tak apalah mak.." Nafeesa gelengkan kepalanya, berat hati ingin menerima. Dia sendiri memang bercadang ingin memberikan duit belanja kepada mak ciknya nanti. Nampaknya ibu mentuanya itu juga berfikiran yang sama. Tetapi kenapa? Bukannya Sharifah Ayu kenal dan pernah jumpa pun dengan mak ciknya itu.

"Ambil, Nafeesa. Salah ke mak nak beri? Bukannya pada sesiapapun. Mak cik kamu juga. Keluarga kamu dah jadi keluarga kami juga sekarang. Sampaikan salam pada dia, ya? Pesan pada dia untuk jaga diri." Sharifah memujuk lagi. Kali ini dia mengeluarkan ayat-ayat yang menyentuh hati sehinggakan Nafeesa tak sanggup pula untuk menolak pemberian ibu mentuanya kepada mak ciknya itu.

"Yalah mak." Nafeesa mengalah. Senyuman terus menghiasi bibir para penonton yang sedari tadi memerhatikan ulah dua beranak di hadapan mereka itu.

"Kami pergi dulu ya, abah, mak." Ismail pula mencium tangan orang tuanya.

Syed Halim menepuk sedikit belakang Ismail. "Yalah. Hati-hati. Jaga keluarga kamu, Ismail," pesan lelaki tua itu.

Ismail angguk. "Baik, abah. Saya akan buat semampu saya." Bibirnya terserlah senyuman tatkala berkata itu.

"Mak cik nama apa?" Soal Ismail sembari matanya fokus pada jalan.

Nafeesa menyelesakan duduknya sebelum menjawab pertanyaan Ismail. "Kalsum. Tapi saya panggil mak cik je."

"Oh." Ismail angguk kepalanya faham. "Anak dia dua orang?" Masih lagi dalam mood bersoal jawab dengan Nafeesa. Bukannya apa, ini adalah salah satu cara dia untuk mengenal Nafeesa sekali gus merapatkan hubungan di antara mereka.

Nafeesa senyum nipis. "Iya, dua orang. Seorang tu kerja sebagai cikgu. Dah kahwin dan tinggal dengan keluarga dia. Seorang lagi tu kerja atas laut. Balik setiap kali cuti, tapi lambatlah."

"Baik anaknya?"

Nafeesa angguk kepalanya. "Baik. Duit setiap bulan mereka beri pada mak cik. Banyak-banyak pula tu masing-masing bagi."

"Awak pun bagi juga," tambah Ismail.

Nafeesa ketawa kecil. Ya, dia pun turut menyumbang dalam memberi wang perbelanjaan kepada mak ciknya. "Tapi mak cik suka buat makan-makan jamu orang kat rumah dia. Dia akan jemput orang-orang kampung datang makan sebab dia suka masak."

"Oh ya?" Ismail terkejut dengan informasi yang baru dia terima. "Kiranya orang kampung layan mak cik baiklah ni?"

Nafeesa pandang Ismail pelik. "Yalah, ada saya pernah kata mak cik dilayan tak baik ke?"

Ismail tersengih menyedari kesalahannya. "Tak ada, tak ada."

"Tapikan, macam mana mak cik ajak orang datang makan dekat rumah dia kalau dia ada masak-masak?" Ismail hairan.

Nafeesa jeling suaminya. Apa suami dia fikir orang kampung tak reti berbahasa isyarat ke? "Awak tengoklah sendiri nanti. Saya yakin mak cik ada jamu makan hari ini sebab saya bagitahu nak singgah rumah dia." Biar Ismail saksikan sendiri dengan mata kepalanya cara orang bisu seperti mak ciknya berkomunikasi.

Smile!Where stories live. Discover now