Sekilas jam di tangan di kerling. Sedar tak sedar, waktu tengah hari sudah tiba. Ismail kalih pandang isterinya yang sedang lena di atas sofa pejabatnya. Awalnya, Nafeesa terlelap ketika menemaninya bekerja sambil kepala berbantalkan lengan. Sebagai seorang suami yang mithalilah katakan, Ismail membawa Nafeesa tidur di atas sofa pejabatnya yang empuk lagikan selesa.
Ismail belek kertas yang terletak di hadapannya. Kertas dan buku bersaiz A5 milik Nafeesa yang digunakan oleh wanita muda itu tadi ketika menemaninya yang sedang bekerja. Lama mata Ismail pegun pada 'karya seni' yang dihasilkan oleh Nafeesa ketika menemaninya tadi.
Kchak! Terus gambar lukisan Nafeesa yang ditangkap oleh kamera telefonnya dijadikan wallpaper pada skrin kekunci telefonnya. Ismail tahan dirinya yang dari tadi ingin meledakkan tawa.
Tok. Tok. Tok. Kepala laju menoleh ke arah pintu yang dibuka dari luar oleh pembantu peribadinya, Hasan. "Ya, Hasan. Kenapa? Tak pergi lunch ke?"
Hasan tersengih di muka pintu. Ada satu susuk yang terlindung di belakang badannya yang tinggi itu. Dia baru sahaja ingin keluar makan tengah hari sebelum dia terserempak dengan orang di belakangnya yang ingin berjumpa dengan bosnya itu. "Ada orang cari bos," katanya sebelum dia menginjak ke kiri dan memberi ruang kepada orang di belakangnya untuk menampakkan diri dan dia meminta diri untuk keluar makan tengah hari.
"Assalamualaikum!" Tangan diangkat tinggi tanda menyapa Ismail yang sudah tercengang di duduknya. Laju mata lelaki itu menjeling ke arah Cik Isterinya yang masih sedap tidur di atas sofa pejabatnya itu.
"Aku nak pinjam bini hang." Satu ayat yang Ismail dapat agak akan keluar dari mulut sepupunya itu bergema di dalam pejabat itu sehingga menyebabkan Nafeesa terbangun dari lenanya.
"Dah pukul berapa dah ni?" Nafeesa menenyeh matanya yang sedikit pedih sebelum dibuka luas bagi melihat jam di dinding pejabat suaminya.
"Dah pukul 12 dah Nafeesa. Jom lunch dengan Kaseh. Lepastu boleh Kaseh ambil ukuran badan Nafeesa untuk baju-baju yang Nafeesa akan pakai nanti. Kaseh akan buat gempak-gempak punya! Nafeesa pula nanti akan pakai dan baju tu akan nampak perfect, cantik terletak dekat badan Nafeesa. Lepas tu ramai orang akan berminat dengan koleksi baru Kaseh dan koleksi baru Kaseh itu akan terjual habis. Kaseh pula akan jadi kaya raya! Muahahahaha!"
"Oi! Berangan tak sudah." Ismail menganggu lamunan Kaseh yang sudah sampai ke tahap dia menjadi pereka baju yang terkenal di peringkat antarabangsa.
"Ini bukan sekadar angan-angan Mat Jenin, okay! Hang tengok je nanti."
Nafeesa tersenyum. Nak ketawa macam tak patut pula kerana dia tahu angan-angan Kaseh bukan kosong. Perniagaan Kaseh sudah dikenali dalam kalangan wanita muda Malaysia. Tidak mustahil sekiranya nama Fitri Kaseh ini akan dikenali oleh wanita di serata dunia pula.
"Ah, malas aku nak tengok. Baik aku keluar makan dengan bini aku. Hang pi lah makan dengan staf hang tu. Model-model hang pun ramai lagi, Kaseh. Bini aku hang toksah kacau." Ismail menghalau Kaseh yang niat datangnya adalah untuk 'meminjam' isterinya.
"Wah, hang! Mentang-mentang bini hang lawa, hang halau aku. Mana boleh macam ni. Bagilah aku pinjam sat. Nanti aku pulanglah balik kat hang." Kaseh masih belum berputus asa.
"Bini aku dah janji nak teman aku kerja hari ni."
"Hak tuih, hang! Dah jadi bapak budak pun nak kena teman qeja ka? Gedik." Kaseh mencemuh Ismail yang kedekut itu.
Nafeesa yang melihat pertelingkahan antara dua saudara itu menjadi serba salah. Nampak macam bergaduh, tapi cara percakapannya sahaja yang sedikit kasar. Dia tahu apa yang dikatakan oleh mereka itu tidak berniat untuk melukakan hati masing-masing. Tapi setahunya, Ismail tiada darah utara. Atau selama ini dia tersilap sangka?
"Kau orang ni orang utara ke?" Nafeesa mencelah.
Dua pasang mata terus tertumpu pada Nafeesa yang sudah berdiri merapati meja Ismail.
"Saya tak." Ismail angkat tangan.
"Bapak Kaseh asal Kedah." Kaseh memberitahu. Mak dia merupakan adik kepada abah Ismail.
"Oh.." Nafeesa mengangguk. Perhatiannya teralih pada bukunya dan kertasnya yang ditinggalkan di atas meja Ismail tadi. Terbeliak matanya apabila lukisan hodohnya kelihatan jelas apabila kertas yang dicontengnya tadi berada paling atas kedudukannya. Bukankah dia dah selit letak bawah buku tadi kertas tu sebelum dia melayan kantuknya dan kemudian terlelap di hadapan Ismail.
"Awak tengok eh?" Nafeesa terus bertanya dengan wajahnya yang sudah mula membahang itu. Malu weh, lukisan level budak tadikanya diketahui orang.
"Tengok apa?" Ismail pura-pura tak faham.
Terus Nafeesa mengambil kertas dan buku-bukunya dan disumbatkan ke dalam beg silangnya. Dia agak yang Ismail tak ada nampak hasil seninya yang terlakar di atas kertas putih itu tadi. Fuh, mujur tidak dilihat oleh sesiapa. Nafeesa hela nafasnya, lega.
"Okaylah, macam ni." Nafeesa kembali menghadap dua saudara itu sebelum dia meluahkan rancangannya. "Kita bertiga lunch sama-sama. Lepas tu saya ikut Kaseh. Enc- Ismail naik atas, sambung buat kerja. Lepas tu kalau awak siap awal kerja awak tu, kita balik. Ambil ukuran tak lama mana pun kan, Kaseh?" Nafeesa pandang wajah Kaseh yang sudah mula bercahaya itu.
"Dak aih. Sat jaa." Kaseh membalas sebelum dia tersengih-sengih busuk. Kepala mula memainkan angan-angan peringkat antarabangsanya lagi sekali. Ismail pula diam sebelum dia menganggukkan kepalanya tanda setuju.
YOU ARE READING
Smile!
RomanceTentang Ismail, Inara dan Nafeesa yang menjadi satu keluarga demi merasa bahagia.