Bab 9

14 2 0
                                    

"JEMPUT makan, Nafeesa. Jangan malu-malu. Tambahlah lagi lauknya." Sharifah Ayu menambahkan lauk ayam masak kicap ke dalam pinggan Nafeesa yang agak kosong dek lauknya sudah habis diratah buat kali kedua.

Ismail sembunyi senyum tatkala Nafeesa kelihatan serba-salah ingin menghalang emaknya dari menambahkan lauk ke dalam pinggannya. Geli hati dia melihatnya.

"Malam ni tidur sini jugalah ya, Nafeesa?" Sharifah Ayu meluahkan soalan yang berbunyi seperti sebuah permintaan yang dihadirkan bersama pengharapan tulus dari hati.

"Uhuk! Uhuk!" Memerah wajah putih kekuningan Nafeesa gara-gara tersedak. Tergesa-gesa Ismail yang duduk selang satu kerusi daripadanya menghulur segelas air kosong agar dia dapat meredakan tekaknya yang gatal itu.

Ismail menghamburkan tawa kekoknya. "Awal lagi ni mak nak ajak dia tidur sini. Lagi dua minggu nak langsung dah, tak perlulah Nafeesa tidur sini lagi. Biar dia dapatkan masa bersendirian dia dengan secukupnya. Sebab selepas itu..." Mata Ismail melirik sekilas ke arah Nafeesa yang sedang meneguk air.

"...saya akan pastikan dia di sisi saya di mana saja saya berada." Satu senyuman manis tergantung di bibir Ismail.

"Uhuk! Uhuk!" Sekali lagi Nafeesa tersedak. Ismail dijelingnya tajam. "Encik Smile!" Tegurnya dengan nada geram.

Ismail sekadar menjongket bahunya tanpa riak serba-salah. Senyumannya masih terpapar jelas pada wajahnya. Wajah lelaki itu kelihatan bahagia mengusik bakal isterinya. Perilaku mereka asyik dipandang oleh pasangan suami isteri yang duduk bertentangan dengan mereka.

Jika diingat kembali, tidak pernah sekalipun Ismail dan bekas isterinya berkelakuan seperti ini. Sharifah Athirah, bekas menantu mereka itu lebih suka meluangkan masa dengan telefon pintarnya dan tidak menghiraukan Ismail ketika di awal perkahwinan anak sulungnya itu. Bukannya mereka tidak nampak. Tetapi mata lebih rela buta demi mengekalkan keturunan daripada menyaksikan bahawa anak mereka terseksa di dalam perkahwinan yang dipaksakan terhadapnya. Kini barulah Ismail dapat mencari bahagianya sementara Athirah sudah lama meninggalkan keluarga mereka dan bahagia dengan pilihannya.

Jelas dan nyata, salah itu terletak di atas bahu mereka, ibu bapa kepada Ismail dan Athirah. Hanya kerana nama, mereka buta. Hanya kerana nama, mereka memaksa. Tidak semua pilihan ibu bapa itu terbaik buat anak mereka. Keputusan yang dibuat berpaksikan keinginan hati dan ketamakan diri tidak akan pernah berakhir dengan baik. Keputusan yang dibuat tanpa memikirkan hati mereka yang lain takkan pernah memberikan manfaat. Bahkan, keputusan yang dilakukan tanpa reda itu hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan tiada keikhlasan dalam diri. Perkahwinan itu merupakan satu ibadah. Tanpa ikhlas dalam hati, ibadah akan rasa berat. Maka, terputuslah ikatan antara mereka berdua. Bukan kerana berbalah, tetapi sama-sama ingin berdamai dengan diri dan tidak ingin memaksa lagi hati yang tidak mahu bersama.

Sharifah Ayu termenung panjang. Sehinggalah Nafeesa sudah dihantar pulang Ismail, dia masih dalam lamunannya. Alangkah baiknya sekiranya hati dia tidak berdegil dan mendengar pendapat anaknya. Pasti kala ini Ismail sudah bahagia dengan dua atau tiga orang anak dan isteri yang setia dan penyayang. Sharifah Ayu menggelengkan kepalanya perlahan. Kesal dengan tindakannya di masa lampau.

Tangan halus menyentuh kekura tangannya yang sudah berkedut itu. Sharifah Ayu tersentak. Pandangannya jatuh memandang Inara yang sedang merenung risau ke arahnya.

Kenapa ni nenek? Nenek sakit ke?

Sharifah Ayu ukir senyum kecil. Mulutnya bergerak seiring pergerakan tangannya yang menunjukkan isyarat perkataan yang disebutkan olehnya.

"Nenek okay," jawabnya. Rambut Inara yang lembut itu dielusnya.

"Inara suka Nafeesa jadi mama Inara ke?"

Laju anak kecill itu mengangguk kepalanya teruja. Dia seakan-akan bersorak gembira apabila disebutkan Nafeesa menjadi mamanya.

Keluarga saya.

Tangan kecil itu melakukan isyarat keluarga dan menunjukkan dirinya. Kemudian jarinya menghala ke arah nenek kesayangannya.

Nenek. Atuk. Papa.

Keluarga saya.

Bergenang tubir mata si tua. Namun bibirnya memberikan reaksi gembira. Tangannya pula didepakan, menjemput si kecil masuk ke dalam dakapan hangatnya.

Inara ketawa suka. Tangan kecilnya memegang kedua-dua belah pipi si nenek. Dahi mereka dicantum rapat. Inara paling suka melakukan sentuhan sebegitu rupa bagi menunjukkan kasih sayangnya pada orang lain.

Sharifah Ayu tersenyum gembira. 

Smile!Where stories live. Discover now